Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Saturday 14 December 2013

Tujuh Golongan Yang Mendapat Naungan Allah

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Tujuh golongan yang Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya : Pertama, pemimpin yang adil. Kedua, pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Ketiga, insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Keempat, dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Kelima, insan yang digoda oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata "Sesungguhnya aku takutkan Allah." Keenam, insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. Ketujuh, insan yang mengingati Allah sendirian lalu menitiskan air matanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuh golongan yang dinyatakan itu berkaitan dengan tujuan serius yang patut kita usahakan dalam memajukan diri kita dan membantu orang lain dalam kehidupan mereka.

1. Pemimpin yang adil. Golongan yang pertama ini penting untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. apabila kita diberikan kuasa kepemimpinan. Kedudukan sebagai pemimpin merupakan satu tanggungjawab yang akan disoal dan sesuatu yang sangat berat di sisi Islam. Salah satu sebabnya adalah kita sentiasa berusaha mendapatkan kekuasaan dan dengan mudah menyalahgunakan kuasa itu lalu kita menyebabkan kesusahan kepada orang lain demi kesenangan kita. Hal ini ialah satu kepincangan kerana ia menunjukkan ketidaktanggungjawaban dan kerendahan nilai takwa. Kita melalui pelbagai situasi dalam kehidupan kita di mana kita diberikan kedudukan sebagai pemimpin. Apabila kita mendapat kedudukan sedemikian, kita haruslah bermusahabah diri dan berharap agar Allah mengurniakan kepada kita sahabat yang baik yang boleh membantu kita di atas jalan yang lurus. Pengajaran yang disampaikan di sini ialah cara-cara untuk memegang kuasa dengan tanggungjawab.

2. Pemuda yang membesar dengan ibadah. Golongan yang kedua ini ialah orang yang kita jarang temui. Mereka sangat baik dan sentiasa begitu. Mereka sangat istimewa kerana ketetapan mereka dalam beribadah membawa mereka lebih dekat kepada fitrah, ataupun keadaan asal manusia yang suci. Anda boleh merasakan kebaikan mereka apabila berinteraksi dengan mereka dan melihat keaslian daripada akhlak mereka. Kebanyakan kita tidak dibesarkan sebegini tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh memperbaharui komitmen kita terhadap Allah s.w.t.. Perkara ini ialah sesuatu yang kita boleh lakukan pada bila-bila masa dengan memohon keampunan daripada-Nya dan memulakan lembaran hidup yang baru. Pengajaran yang kita dapati di sini ialah menjadi hamba Allah dengan konsisten.

3. Lelaki yang hatinya terikat dengan masjid. Kumpulan yang ketiga ini terdiri daripada mereka yang mencintai rumah-rumah ibadah. Mereka ialah manusia yang memperuntukkan banyak masa untuk menunaikan solat. Mereka berusaha bersolat di masjid sekerap mungkin dan mendapati keindahan dan keseronokan daripada amalan tersebut. Mereka mengenali ketenangan dan kedamaian yang datang daripada masa di masjid, dan mereka mengingatkan orang lain agar melakukan perkara yang sama. Isi penting di sini ialah mencintai ibadah.

4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah. Terdapat banyak sebab mengapa kita boleh mengambil berat terhadap seseorang. Kadang-kadang sebab-sebab tersebut adalah kerana kepentingan diri, dan sebab-sebab tersebut boleh jadi juga kerana sebaliknya. Orang yang berkasih sayang hanya kerana Allah ialah mereka yang tidak mementingkan diri. Perkara ini ialah satu latihan hati yang harus dijalani oleh semua yang mencari keredaan Tuhan. Mereka mestilah belajar untuk menyucikan hubungan mereka dengan orang lain dan fokus pada tujuan yang mutakhir, iaitu keredaan Allah. Poin ini ialah mempelajari cara-cara berkasih sayang dengan betul dan untuk tujuan yang baik.

5. Orang yang menolak godaan daripada orang yang berlawanan jantina. Golongan yang kelima ini ialah orang yang diajak memenuhi nafsu mereka dengan cara yang bertentangan dengan syarak lalu dia menolaknya. Hal ini dinyatakan sebagai ujian yang besar yang boleh dilalui oleh seseorang dan ganjaran yang selayaknya untuk mereka yang lulus ujian ini ialah syurga. Mereka yang boleh melawan godaan sedemikian ialah orang yang mampu mengawal diri mereka dan sangat bertakwa kepada Allah s.w.t.. Pengajaran di sini ialah mempelajari bagaimana melawan kehendak segera untuk mendapatkan balasan yang lebih besar daripada Allah s.w.t..

6. Orang yang melakukan kebajikan tanpa kepentingan diri. Golongan yang keenam ini ialah mereka yang sangat dermawan sehingga mereka tidak tahu berapa banyak yang telah mereka sumbangkan. Perumpamaan yang digunakan adalah tangan kanan mereka begitu  bebas bersedekah sehingga tangan kiri mereka tidak sedar akan sedekah mereka. Amalan ini bukan hanya dilakukan apabila mereka senang atau pada perkara-perkara yang tertentu dan bukan yang lain-lain. Amalan ini sudah begitu sinonim dengan hidup mereka hingga ke satu tahap di mana ia mencapai semua punca kebaikan. Pengajaran di sini ialah menganggap kebajikan sebagai satu cara hidup.

7. Orang yang mengingati Allah lalu berlinangan air matanya.  Golongan yang ketujuh dan terakhir ini ialah mereka yang mengingati Allah bersendirian lalu menangis. Golongan ini menunjukkan perasaan yang sangat mendalam. Ramai orang mampu mengekalkan personaliti Islam yang stabil di khalayak ramai, tetapi apabila mereka bersendirian, mereka gagal melakukan sedemikian. Identiti dan ibadah mereka dianggap sebagai isu orang ramai tetapi mereka masih belum mencapai lubuk hati mereka di mana perihal kerohanian yang hakiki berada. Orang yang mengingati Allah s.w.t. secara bersendirian lalu menangis ialah mereka yang telah membina satu hubungan yang istimewa dan unik dengan Sang Pencipta ; satu hubungan intim yang tiada perkataan dapat menjelaskannya dan hanya dapat dirasai setelah berusaha kerana Allah dalam satu tempoh masa yang panjang. Matlamat ini ialah untuk menjadi rapat dengan Allah dan melepasi tujuan beragama yang biasa dan tidak mendalam.

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'The Seven Under Allah's Shade' oleh Jamaal Diwan

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.