Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Friday 28 June 2013

~~Jom Jalan-Jalan Sembang-Sembang Ramadhan ~~








Assalammualaikum 

Inginkan cabaran hidup sebagai seorang Muslim? JOM sertai kami Hidayah Center Johor dalam menyampaikan mesej Ramadhan di sekitar Johor Bahru pada hari Ahad. 

Jangan lepaskan peluang merasai perjalanan berkongsi apakah itu Ramadhan pada masyarakat!

7 JULAI 2013.
Tempat berkumpul di IKRAM JBT jam 9 pagi. Sesi briefing dan lain lain.

Tarikh tutup pendaftaran pada 5 JULAI 2013
Sila daftarkan diri pada link di bawah

https://docs.google.com/forms/d/12LbwvrUB0GxH0QjRyKU1LYjFTx1imtv7o9Tf1vdLbXE/viewform?pli=1

untuk makluman lanjut, Sila hubungi Sahabat kami Syauqy Amin dan Aainaa Latiff

Puasa: Kelebihan Berpuasa dari sudut Spiritual dan Fizikal





Syaum (puasa) adalah kata bahasa arab yang bermaksud MENAHAN atau MENCEGAH. Dari segi Istilah ia menahan diri kita dari makan dan minum dalam tempoh waktu dan cara yang ditetapkan. Namun, ia tidak terhad kepada MENAHAN makan dan minum, ia juga meliputi MENAHAN diri dari melakukan kejahatan, keburukan dan perkara-perkara yang negatif.

MENAHAN DIRI DARI MAKAN DAN MINUM

Allah telah memerintahkan Manusia berpuasa supaya manusia menjadi insan yang taat dan patuh kepada Allah seperti tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 183:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. “ (AlQuran 2:183)

Walaubagaimanapun, terdapat kelonggaran bagi manusia yang sakit, ada masalah dan sebab-sebab yang dibenarkan untuk menangguhkan puasanya atau membayar dalam bentuk wang untuk diberikan makanan kepada orang miskin seperti tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 184:

Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (AlQuran 2:184)

Kelonggaran ini diberikan kerana Allah cinta dan tidak mahu memberikan kesusahan kepada manusia jika manusia memang sebenarnya tidak mampu melakukannya seperti tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:

Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran” (AlQuran 2:185)

Dan tentang hal ini telah kami tulis di entri Apakah Islam itu Susah?

Waktu Bersahur dan Berbuka
Waktu Bersahur adalah adalah waktu ketika umat islam bangun awal pagi (sebelum subuh) bagi makan dan minum sebagai persiapan berpuasa pada siang harinya.

Waktu berbuka pula adakah waktu umat islam menamatkan puasanya pada hari iaitu ketika matahari tenggelam (ketika maghrib).

Waktu Subuh dan Maghrib boleh didapati secara online di website Pejabat Agama Negeri masing-masing.

MENAHAN DIRI DARI MELAKUKAN KEJAHATAN

Berpuasa juga bukan semata-mata menahan diri dari makan dan minum, tetapi ia juga menahan diri dari melakukan kejahatan, Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan kotor malah mengamalkannya, maka Allah tidak butuh dari rasa lapar dan haus yang dia tahan” (H.R Bukhari)


Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan lagwu (perkataan sia-sia dan semisalnya yang tidak berfaedah) dan rofats (kata-kata kotor). Apabila ada seseorang yang mencelamu atau berbuat usil padamu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa” (HR. Ibnu Majah dan Hakim)

Nabi Muhammad melarang orang yang berpuasa dari melakukan perbuatan yang jahat dan sia-sia, jika tidak puasanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Kelebihan Kesihatan dari Sudut Sains

     1) Berpuasa sepanjang bulan Ramadhan tidak akan menjejaskan kesihatan bagi manusia yang normal (Al      kandariJR, 2012), (Toda M & Morimoto K, 2000). Malah terdapat juga kajian akademik yang menunjukkan berpuasa sepanjang bulan Ramadhan tidak member kesan negatif kepada pesakit strok (Selcuk et. al, 2003), (Bener A et. al, 2006) dan juga kepada pesakit Kardivoskular (Salim I et. al, 2013).

     2)  Berpuasa sepanjang bulan Ramadhan juga dapat menurunkan berat badan dengan secara sihat malah jika konsisten menjaganya, ia boleh boleh menjadi titik perubahan dimana manusia boleh menurunkan berat badan mereka bagi yang berkeinginan sebegitu (Ziaee Vet. al 2006)

      3)   Berpuasa sepanjang ramadhan juga boleh menurunkan paras gula dalam badan dan ini membuka peluang kepada manusia untuk mengekalkan tahap kesihatan sepanjang tahun (Ziaee V et. al 2006), (Behnam Sadeghirad et.al, 2012)

 4) Terdapat kajian yang menarik iaitu sekumpulan saintis mengkaji tahap pemain bola sepak, kajian ini ditaja oleh FIFA pada tahun 2006 dengan melakukan 'case study' dimana hasil kajian tersebut dikalangan pemain muda bola sepak, ia tidak menunjukkan perbezaan samada berpuasa atau tidak dibulan Ramdhan terhadap prestasi mereka (Zerquini Yet. al, 2008), dan kajian ini diteruskan lagi pada tahun 2012 dengan cara pengendalian eksperimen yang sedikit berbeza namun ia masih menunjukkan keputusan kajian yang sama pada tahun 2006 (Zerquiny Y et. al, 2012). Hal ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana memang ada kaedah untuk mengekalkan tahap prestasi atlet bola sepak bagi mengekalkan prestasi mereka ketika berpuasa Ramadhan (Kirkendall DT et. al, 2012)

     5)  Berpuasa akan menghalang perokok dari menghisap rokok dan ini akan meningkatkan kesihatan mereka sekaligus membuka ruang menjadi titik perubahan kearah berhenti atau mengurangkan jumlah rokok yang dihisap.

KESIMPULAN

Sebenarnya, ada banyak lagi kelebihan-kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadhan yang telah dikaji dan ditulis oleh masyarkat sama ada orang Islam atau bukan Islam. Kesimpulan dari perbincangan ini, kita mendapati bahawa berpuasa di bulan Ramadhan, bagus untuk kesihatan fizikal dan ia juga mendidik spiritual supaya menjadi manusia yang dekat dengan Tuhan dan mendidik manusia supaya menahan diri dari melakukan kejahatan

Wednesday 19 June 2013

Mari Belajar Asas-Asas dalam Agama Islam: Muslim dan Non-Muslim Dijemput Hadir !!


Apakah Islam Agama yang Susah dan Penuh Dengan Peraturan?


Sudah menjadi kebiasaan bagi manusia, apabila dikenakan peraturan terhadap diri mereka, pasti mereka akan berasa tidak selesa, merungut dan merasa bahawa ia sesuatu yang menyusahkan diri mereka. Namun, realitinya tanpa peraturan manusia akan hidup dalam keadaan tidak terurus serta pelbagai masalah-masalah besar akan timbul.

Sukan Bola Sepak merupakan sukan nombor 1 dalam dunia, cuba kita bayangkan sejenak adakah ia akan menjadi sukan yang diminati oleh semua orang jika tidak ada peraturan dalam permainan itu? pemain boleh melakukan apa yang dia suka? tidak ada penjaga garisan? tidak ada pengadil? adakah permainan Bola Sepak itu akan menjadi seronok?

Perasaan manusia yang tidak selesa dengan peraturan itu adalah perkara yang biasa walaupun jauh disudut hati manusia itu sedar mereka memerlukan peraturan bagi menjaga keharmonian, Ajaibnya, Al-Quran tahu apa yang dirasakan oleh manusia, sebab itulah Al-Quran sudah menjelaskan yang bermaksud:

“ boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Quran 2:216)

Apa sahaja perintah dari Allah itu bukanlah sengaja menyusahkan manusia sehingga manusia tidak mampu melakukannya, perintah berpuasa dan solat juga ada keringanan dengan sebab yang dibenarkan, itulah yang dinyatakan dalam (Al-Quran 2:185) dan (Al-Quran 5:6) dimana Allah menyatakan:

“ Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”


Perkara yang dibenarkan dalam Islam adalah sangat banyak dan terlalu banyak jika dibandingkan dengan perkara yang dilarang oleh Islam dan ini dijamin oleh Allah sendiri bahawa apa sahaja perintah yang Allah beri kepada Manusia, ia mampu dilaksanakan oleh manusia, tidak ada satu pun perintah yang Allah perintahkan kepada manusia itu manusdia tidak mampu lakukan, tidak ada perintah dalam Islam arahan yang diluar kemampuan normal manusia.

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Al-Quran 2:286)

Jadi, siapakah Tuhan yang faham bahawa manusia perlu ada peraturan? Siapakah Tuhan yang menetapkan peraturan tanpa membebankan manusia diluar keupayaan mereka? Siapakah Tuhan yang menetapkan peraturan demi kebaikan manusia? Itulah Allah, Tuhan yang sangat hebat yang tahu segalanya keperluan manusia.

Perintah Solat, Berpuasa, Zakat, Haji dan lain-lain kesemuanya ada kepentingan dari sudut Moral, Kesihatan, Ekonomi manusia itu sendiri. Kita akan bincangkan kebaikan dan Rahsia perintah-perintah ini, namun yang paling penting, siapakah yang begitu hebat tahu akan keperluan-keperluan ini? itulah Allah yang Maha Mengetahui dan Bijaksana. lihat (sini) jika mahu tahu secara ringkas siapa itu Allah.

Siapakah ALLAH?

 



Pada artikel yang lepas disni kita telah membincangkan secara asas apa itu Islam serta kesimpulannya untuk menjadi seorang Muslim kita perlu percaya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah.

Sebelum itu penulis hanya ingin mengingatkan bahawa Allah menggunakan  perkataan “Kami” terhadap dirinya dalam Al-Quran bukanlah menunjukkan bahawa Allah itu lebih dari satu, tetapi ia menunjukkan ketinggian dan kebesarannya (Majesty), silakan baca (disinipenjelasan tentang hal ini.

Surah Al-Ikhlas, Surah nombor 112 ayat 1-4

Artikel kali ini kita akan melihat siapakah Allah menurut Al-Quran secara ringkas, secara ringkasnya, Allah telah mendefinisikan dirinya sendiri dalam Al-Quran dalam Surah Al-Ikhlas, Surah nombor 112 ayat 1-4 iaitu yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (Al-Quran 112:1-4)

Allah itu Satu/Tunggal/Esa

Allah (Pencipta/creator)  seperti diceritakan dalam Al-Quran surah nombor 112 ayat nombor 1 bahawa Allah adalah Esa iaitu Allah itu satu. Allah tidak ada dua, tiga atau empat, kerana jika Allah (Pencipta/creator) adalah lebih dari satu, maka ia akan berkongsi kuasa serta akan berbincang terlebih dahulu jika mempunyai permasalahan untuk membuat keputusan, disinilah logiknya mengapa Tuhan mesti satu.

Allah Tempat Bergantung Sekelian Makhluk

Pada ayat berikutnya, Tuhan (Allah) itu sangat kuat sehingga ia menjadi pergantungan sepenuhnya oleh segala ciptaannya (creation) dalam apa jua permasalahan Tuhan (Allah) adalah tempat meminta segala sesuatu hajat dan semestinya Tuhan tidak perlu meminta kepada sesiapa pun kerana Tuhan sangat hebat dan berkuasa.

Allah Tidak Beranak dan Tidak Diperanakkan

Apabila Tuhan itu sudah satu (1), maka Tuhan tidak perlu kepada anak, pakcik, makcik dan apa-apa jua yang sama seperti itu kerana Tuhan tidak perlu kepada semua perkara tersebut disebabkan kesuciannya dan kekuatannya yang terlalu hebat dan besar.

Allah Tidak Sebanding dengan Apa-Apa

Tuhan tidak sama dengan sesuatu pun, tidak sebanding dengan apa pun. Tuhan hanya mempunyai sifat yang hebat dan tinggi, Tuhan tidak perlu mempunyai sifat yang aib (memalukan), antara analogi yang boleh digunakan adalah Ratu Elizabath, adakah beliau akan berpakaian kurang sopan di khalayak ramai? jawapannya pasti tidak kerana dia tidak akan menjatuhkan martabat dirinya, namun adakah dia mampu berbuat demikian? ya, dia mampu berbuat demikian tetapi dia tidak mungkin mahu melakukannya. Tuhan tidak akan berbuat sesuatu yang menjatuhkan martabatnya sendiri, itulah sifat tuhan, hanya sifat yang kuat, layak dan tinggi sahaja bagiNya.

Kesemua ini telah diringkaskan oleh Allah dalam AlQuran dalam surah Al-Ikhlas surah nombor 112 ayat 1-4.

Berikut adalah beberapa atau sebahagian lagi ayat Al-Quran yang menjelaskan siapa itu Allah, Allah tidak sebanding dengan apa pun ciptaan (creation), di catat dalam Al-Quran yang bermaksud:

Tiada sesuatupun yang sebanding dengan dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat” (Al-Quran 42:11)

Allah Sentiasa Dekat Dengan Manusia

Allah sangat hampir dengan kita, tidak mampu dibayangkan kerana Allah lebih hampir dari urat leher diri kita dan sentiasa mengawasi serta menyaksikan setiap sesuatu dan ini semua tidak mampu dibayangkan kerana melampaui kemampuan akal manusia yang terhad, apa yang pasti, Allah sangat hampir seperti diceritakan dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” (Al-Quran 57:4)

dan juga diceritakan lagi dalam Al-Quran yang bermaksud:

..sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya..” (AlQuran 50:16)

Maksud pengetahuan Allah lebih dekat kepadanya adalah kerana Allah mampu untuk mengetahui segala bisikan hati kita seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran:

Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya” (Al-Quran 50:16)

Dijelaskan lagi dalam Al-Quran yang bermaksud:

Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka - pada hari kiamat - apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Quran 58:7)

Allah Kekal Selamanya 

Sesungguhnya Allah hidup kekal selama-lamanya, tanpa ada permulaan dan pengakhiran, kerana Allah bukan sebahagian dari Alam yang terikat dengan masa dan waktu. Allah yang menciptakan Alam ini dan Allah jua lah yang menciptakan masa dan waktu, maka Allah tidak terikat dengan masa seperti dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Al-Quran 57:3)

Dan akan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan” (Al-Quran 55:27)

Allah adalah Tuhan yang berkuasa menyelenggara dan menguruskan setiap perkara mengikut kehendaknya, atau yang memelihara, atau menyaksikan setiap sesuatu seperti dinyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud:

Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya” (Al-Quran 39:62)

Allah juga adalah Tuhan yang mempunyai kekuasaan yang sangat sempurna seperti yang diberitahu dalam Al-Quran yang bermaksud:

...sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Quran 2:20)

Allah Maha Mengetahui Setiap Perkara dan Rahsia

Allah Maha Mengetahui sekecil-kecil perkara juga tidak terlepas dari pengetahuan Allah dalam Al-Quran ada menceritakan iaitu yang bermaksud:

“Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.” (Al-Quran 10:61)

Dimana-mana sahaja kita berada, Allah sentiasa melihat kita, sama ada kita di langit atau di bumi atau dimana-mana sahaja, dalam Al-Quran menceritakan:

“Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” (Al-Quran 57:4)

Walaupun jika kita menyembunyikan sesuatu, namun Allah dengan kekuasaannya yang hebat tahu dan dapat melihat apa yang kita sembunyikan.

“..Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi” (Al-Quran 20:7)
Begitulah sebahagian kecil kekuasaan Allah yang kita bincangkan pada kali ini, sesungguhnya, terlalu banyak jika mahu menulis dan menyenaraikan segala kekuasaan Allah dan kehebatan Allah.

Rujukan:

1.      Jauhatut Tauhid – Sheikh Ibrahim al-Laqony
2.      Qul Hazihi Sabili – Al Muhaddith Prof Dr. Sayyid Alawi Al- Maliki

Apa Maksud Allah Gunakan Perkataan ‘Kami’ Dalam Al-Quran?


Jika kita lihat dalam terjemahan Al-Quran, Allah memanggil dirinya kadang-kadang sebagai ‘Aku’, kadangkala sebagai ‘Kami’. Adakah ini bermaksud Allah itu ramai apabila Allah membahasakan dirinya sebagai ‘Kami’ ? Berikut adalah penjelasan ringkas dan mudah untuk difahami oleh masyarakat umum.

Perkataan ‘Kami’ dalam membahasakan diri sendiri ini juga tidak terhad kepada bahasa arab, jika kita lihat Queen Elizabeth dalam ucapannya juga menggunakan perkataan ‘We’ apabila berkata berkenaan dirinya. Jadi adakah disini bermaksud ‘We’ itu menunjukkan lebih dari seorang? Jawapannya adalah bukan, ia hanya simbolik menunjukkan kebesaran dan kekuatan sahaja.

‘We’ yang digunakan oleh Queen Elizabeth itu digelar sebagai ‘Royal We’, dan pembaca boleh melihat kamus-kamus apa yang dimaksudkan sebagai ‘Royal We’ atau layari sahaja 
http://en.wikipedia.org/wiki/Royal_we )

Jadi, jelaslah disini secara ringkas dan mudah  apabila Allah menggunakan perkataan ‘Kami’ atau ‘We’ ketika menceritakan dirinya bukanlah bermaksud Allah itu banyak, tetapi ia menunjukkan kebesaran (Majesty) selain penggunaan gaya bahasa.

Apa itu Islam?



Perkataan “Islam” adalah perkataan bahasa arab, iaitu sama maksud dengan kata akar (root word):

  1.   ”Salam” yang bermaksud aman, sejahtera
  2. “Aslama” bermaksud penyerahan secara total, taat, patuh
  3. “Salima” bermaksud suci, ikhlas (sincere), sahih (authentic)
Demikianlah Islam dari sudut bahasa, manakala dari sudut istilah konteks keagamaan (religious context) pula, Islam adalah HUBUNGAN antara pencipta (creator) dan ciptaan (creation). HUBUNGAN yang dimaksudkan disini adalah penyerahan diri secara total, ikhlas (sincere) dan taat dengan cara yang sahih (authentic) oleh Ciptaan (creation) kepada Pencipta (creator)

Apa sahaja yang mencakupi definisi seperti yang dijelaskan diatas, ia merupakan seorang muslim seperti apa yang telah dimaklumkan di dalam Al-Quran:

Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia?” (AlQuran 22:18)

Berdasarkan definisi tersebut, maka kita faham, sedar dan jelas bahawa untuk menjadi seorang muslim, ia tidak terikat dengan bangsa, warna kulit, status kedudukan dan lain-lain. Sesiapa sahaja yang berserah diri secara total, ikhlas (sincere) dengan cara yang sahih (authentic) kepada Pencipta (creator), maka ia adalah Muslim.

Oleh kerana Islam perlu dipercayai dengan cara yang sahih (authentic), maka manusia (creation) diberikan panduan (guidance) dalam mengenal Pencipta (creator) kerana kemampuan akal manusia adalah terhad. Akibat dari kemampuan akal manusia (creation) yang terhad dan pada masa yang sama tidak mendapat panduan (guidance) dari Pencipta (creator), maka hasilnya adalah pelbagai variasi, perspektif dan kaedah-kaedah yang berbeza akan terjadi dalam menyembah Pencipta (creator), maka kaedah penyembahan itu tidak akan menjadi sahih (authentic) lagi. Disebabkan perkara inilah Pencipta (creator) memilih dari kalangan manusia (creation) sebagai Rasul (Messenger) bagi menyampaikan panduan (guidance) kepada manusia.


Sejak awal kejadian alam ini apabila Pencipta (creator) mula menciptakan manusia (creation), Pencipta (creator) telah memilih Rasul (Messenger) dari kalangan manusia untuk memberi panduan (guidance) kepada manusia, dari manusia pertama iaitu Adam dan contoh yang lain adalah Noh (Noah), Ibrahim (Abraham), Ishaq (Isaac), Musa (Moses), Isa (Jesus) dan banyak lagi yang lain disebutkan dalam Al-AQuran telah dipilih menjadi Rasul (Messenger). Sehinggalah Rasul (Messenger) yang terakhir sebagai pelengkap kepada Rasul-Rasul (Messengers) yang lain iaitu Muhammad seperti yang disebut dalam Al-Quran:

...tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi....” (Al-Quran 33:40)

Nabi Muhammad dihantar untuk memberi panduan kepada seluruh manusia di muka bumi ini seperti yang diceritakan dalam Al-Quran:

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Quran 21:107)

Nabi Muhammad telah diberikan Al-Quran kepadanya sebagai panduan bagi seluruh manusia dik dunia untuk mengenali Penciptanya (creator), dari sinilah orang Islam mengenal Pencipta (creator) mereka, orang Islam mengenal Pencipta (Creator) mereka melalui Rasul (Messenger) yang dihantar kepada mereka, bukan mengenal Islam dari individu lain kecuali hanya dari Rasul (Messenger) yang dipilih oleh Pencipta (creator) sahaja dan ia bersumberkan panduan  yang diberi oleh Pencipta (creator) itu sendiri melalui Rasul yang dipilihnya iaitu Al-Quran.

Oleh sebab itulah orang Islam mesti mempercayai dan berkeyakinan bahawa Muhammad adalah Rasul (Messenger) Allah, melalui Al-Quran yang diberikan kepada Nabi Muhammad ini telah dinyatakan siapakah Pencipta (Creator) kita:


Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".  (Al-Quran 112:1-4)
Allah (pencipta/creator)  seperti diceritakan dalam Al-Quran surah nombor 112 ayat nombor 1 bahawa Allah adalah Esa iaitu Allah itu satu. Allah tidak ada dua, tiga atau empat, kerana jika Allah (pencipta/creator) adalah lebih dari satu, maka ia akan berkongsi kuasa serta akan berbincang terlebih dahulu jika mempunyai permasalahan untuk membuat keputusan, disinilah logiknya mengapa Tuhan mesti satu.

Pada ayat berikutnya, Tuhan (Allah) itu sangat kuat sehingga ia menjadi pergantungan sepenuhnya oleh segala ciptaannya (creation) dalam apa jua permasalahan Tuhan (Allah) adalah tempat meminta segala sesuatu hajat dan semestinya Tuhan tidak perlu meminta kepada sesiapa pun kerana Tuhan sangat hebat dan berkuasa.

Apabila Tuhan itu sudah satu (1), maka Tuhan tidak perlu kepada anak, pakcik, makcik dan apa-apa jua yang sama seperti itu kerana Tuhan tidak perlu kepada semua perkara tersebut disebabkan kesuciannya dan kekuatannya yang terlalu hebat dan besar.

Tuhan tidak sama dengan sesuatu pun, tidak sebanding dengan apa pun. Tuhan hanya mempunyai sifat yang hebat dan tinggi, Tuhan tidak perlu mempunyai sifat yang aib (memalukan), antara analogi yang boleh digunakan adalah Ratu Elizabath, adakah beliau akan berpakaian kurang sopan di khalayak ramai? jawapannya pasti tidak kerana dia tidak akan menjatuhkan martabat dirinya, namun adakah dia mampu berbuat demikian? Ya, dia mampu berbuat demikian tetapi dia tidak mungkin mahu melakukannya. Tuhan tidak akan berbuat sesuatu yang menjatuhkan martabatnya sendiri, itulah sifat tuhan, hanya sifat yang kuat, layak dan tinggi sahaja bagiNya.

Kesemua ini telah diringkaskan oleh Allah dalam AlQuran dalam surah Al-Ikhlas surah nombor 112 ayat 1-4.

berdasarkan apa yang telah dijelaskan diatas, untuk menjadi seorang muslim, maka seseorang itu mesti

1)         Percaya Tiada Tuhan Selain Allah
2)         Percaya Muhammad adalah Rasul Allah

Jika Manusia (creation) telah percaya dua perkara utama ini, maka seseorang itu telah menjadi muslim. Begitulah mudahnya untuk menjadi seorang Muslim.
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.