Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Monday 7 April 2014

10 Tips Untuk Hidup Bahagia Bersama Jiran Bukan Muslim

Jiran mendapat status istimewa dalam Islam

Islam menggalakkan Muslim melayani jiran-jiran mereka dengan cara yang lembut yang menggambarkan semangat sebenar dan asli Islam seperti yang ditunjukkan dalam aspek toleransinya terutamanya dengan orang-orang yang menganut agama lain.

Tiada bezanya jika seseorang jiran itu Muslim ataupun bukan Muslim. Ummul Mukminin, Aisyah menyatakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. :

"Wahai Rasulullah! Aku mempunyai dua orang jiran. Kepada siapakah patut aku sampaikan hadiahku?"

Jawab baginda : "Kepada yang pagarnya lebih dekat dengan engkau." (Al-Bukhari, #6220)

Jelas sekali daripada hadis di atas bahawa Muslim digalakkan untuk bukan sahaja melayani jiran dengan baik, tetapi juga bertukar-tukar hadiah dengan mereka. Perkataan yang digunakan dalam hadis tidak menunjukkan bahawa orang yang dengannya kita bertukar hadiah ialah seorang Muslim ataupun bukan.




Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai jiran yang sentiasa menyakiti dan mengkeji baginda pada setiap pertembungan. Beberapa hari berlalu tanpa baginda diganggu oleh orang itu. Baginda merasakan sesuatu tidak kena dengan ketiadaan orang itu, lalu baginda melawatnya dan mendapatinya sakit.

Orang itu tertanya-tanya bagaimana baginda boleh membalas perbuatan buruknya itu dengan layanan yang sangat baik. Baginya, sifat mulia ang diajarkan oleh Islam merupakan sesuatu yang sangat baru.

Jika jiran anda meruakan saudara anda dan juga Muslim, maka mereka mempunyai tiga hak ke atas anda : Hak sebagai jiran, hak sebagai ahli keluarga dan hak sebagai saudara seagama.

Jika mereka merupakan bukan Muslim dan juga saudara anda, maka mereka mempunyai dua hak ke atas anda : Hak sebagai jiran dan juga sebagai ahli keluarga. Dan jika mereka adalah bukan Muslim yang bukan ahli keluarga, mereka mempunyai hak sebagai jiran ke atas anda.

Berkenaan hal ini, Allah s.w.t. berfirman :

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar..." (Al-Quran, 4:36)

Cukuplah untuk kita katakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam satu hadis bahawa Malaikat Jibril sentiasa menasihati baginda agar melayani jiran tetangga dengan baik hingga satu tahap di mana baginda merasakan seseorang boleh mewarisi harta jirannya.

Berikut merupakan sedikit tips mengenai bagaimana mendekati jiran bukan Muslim anda dengan cara yang baik yang diajarkan oleh Islam :
1. Berbuat baik kepada jiran tidak terhad kepada mereka yang mendiami bangunan yang sama dengan anda. Rakan sebilik di asrama anda ialah jiran anda, orang yang duduk di belakang atau sebelah anda di dalam bas atau di perhentian bas ialah jiran anda, orang yang berkongsi pejabat dengan anda di tempat kerja ialah jiran anda, orang yang menikmati udara segar bersama anda di sebuah tempat awam juga ialah jiran anda. Anda patut melayani mereka dengan baik.

2. Perkenalkan diri anda dan keluarga anda kepada jiran-jiran anda apabila anda berpindah ke tempat baru ataupun apabila ada jiran baru berpindah. Perbuatan ini akan meredakan ketakutan atau ketegangan yang mungkin ada pada mereka terhadap Islam. Juga, jangan lupa mengucapkan selamat tinggal apabila anda atau mereka berpindah ke tempat lain.

3. Ambil berat terhadap mereka secara berterusan, terutamanya pada waktu yang memerlukan ataupun waktu tertekan, kerana 'the neighbour in need is a neighbour indeed'. Jika seseorang jiran ialah orang tua ataupun sakit kronik, tawarkan diri untuk menjalankan kerja ataupun pergi ke kedai untuk mereka.




4. Apabila berurusan dengan jiran, adalah lebih selamat untuk berurusan dengan mereka yang sama jantina dengan anda. Hal ini tidaklah bermaksud anda patut berhenti bersosial dengan rakan sekerja atau rakan sekelas yang berlainan jantina di tempat kerja atau sekolah, tetapi berhati-hatilah terhadap bisikan syaitan. Bersosial selepas waktu itu patut berlaku dengan orang yang bersamaan jantina.

5. Apabila bersosial dengan bukan Muslim, berhati-hati agar tidak berlaku terlalu bertolak ansur sehingga mengabaikan ajaran agama dan prinsip anda. Contohnya, jangan minum arak bersama mereka. Mereka akan lebih menghormati anda kerana tetap dengan prinsip anda daripada jika anda melanggar peraturan yang ditetapkan.




6. Selain berkongsi idea, berkongsilah makanan bersama mereka dengan menjemput mereka menikmati makan malam pada hujung minggu ataupun menerima jemputan mereka, dengan syarat anda memberitahu mereka mengenai had pemakanan anda sebagai seorang Muslim.

7. Saling melawati agar ahli keluarga boleh berinteraksi dengan cara yang membina. Jika perbincangan membawa kepada agama, fokus kepada tajuk yang mempunyai persamaan. Contohnya, jika jiran anda beragama Kristian, maka anda tidak patut berbincang mengenai sama ada Isa a.s. merupakan jelmaan Tuhan ataupun bukan. Sebaliknya, beritahu mereka bagaimana Islam memuliakan semua nabi dan rasul secara keseluruhan, dan Isa a.s. diberikan status istimewa dalam kalangan nabi dan rasul.

8. Apabila bersosial dengan jiran, sampaikan Islam dengan cara yang terbaik. Jika anda menghadapi soalan yang susah ataupun salah faham mengenai Islam, jangan berasa malu untuk berhenti sebentar dan beritahu mereka bahawa anda akan menghubungi seseorang yang lebih berpengetahuan dan menanyakan isu yang dibangkitkan itu. Maka, aspek persamaan dapat diteguhkan manakala perbezaan pula patut dielakkan.




9. Jika jiran anda menunjukkan minat terhadap Islam, jemput mereka menghadiri acara Islamik, dan juga teman mereka ke masjid agar mereka boleh lihat bagaimana keadaannya. Boleh jadi hati mereka dilembutkan kepada Islam, dan jika mereka kekal sebagai bukan Muslim, sekurang-kurangnya anda sudah merobohkan penghalang antara mereka dengan Islam. Anda juga boleh melawat gereja di mana jiran anda sembahyang jika mereka mengajak anda, tetapi anda perlu berhati-hati agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang dilarang oleh agama anda. Secara ringkasnya, jadilah pemerhati yang teliti.

10. Sentiasa ingati Allah dan jangan lupakan ganjaran yang menanti anda di akhirat kelak jika anda menunjukkan kebaikan kepada jiran anda.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel '10 Tips For Living Happily with Your Non-Muslim Neighbours' oleh El Sayed M. Amin

Thursday 3 April 2014

10 Frasa Mudah yang Boleh Membawa Ke Syurga

10 frasa yang pendek, mudah dan ringan, tetapi akan memberikan anda apa yang tiada mata pernah lihat, tiada telinga pernah dengar, dan tiada minda yang pernah terbayang.

1. "Barangsiapa mengucapkan 'Subhanallah al-Azim wa bi hamdih' (Maha Suci Allah yang Maha Besar dan pujian bagi-Nya) akan diberikan sepohon kurma di syurga." (Sahih al-Jami' #5531)




2. "Barangsiapa yang dilanda kesedihan, kerisauan, kesakitan atau kesusahan lalu mengucapkan 'Allahu Rabbi, la sharika lah' (Allah Tuhanku, tiada sekutu bagi-Nya), ia akan dibebaskan daripadanya." (Sahih al-Jami' #6040)

3. " Barangsiapa memakan sesuatu lalu mengucapkan 'Alhamdulillah alladzi at'amani hadza wa razaqnih bi ghair haulin minni wa la quwwa' (Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makanan ini dan merezekikannya kepadaku, tanpa keupayaan dan kekuatanku) dosa-dosanya yang lepas dan akan datang diampunkan." (Sahih al-Jami' #6086)

4. "Barangsiapa memasuki pasar lalu mengucapkan 'La ilaha illa Allah, wahdahu la sharika lah, lahul Mulk wa lahul Hamd, yuhyi wa yumit, wa Huwa Hayyun la yamut, bi Yadihil khair wa Huwa 'ala kulli shay in Qadir' (Tiada Tuhan melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya Kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, Dia menghidupkan dan mematikan, Dia hidup dan tidak mati, di tangan-Nya segala kebaikan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu), maka Allah akan mencatatkan untuknnya sejuta kebaikan dan akan memadamkan sejuta keburukan daripadanya, dan akan mengangkatnya setinggi sejuta darjat dan membina rumah untuknya di syurga." (Sahih al-Jami' #6231)




5. "Barangsiapa mengawal kemarahannya apabila dia mampu untuk mengambil tindakan, maka Allah akan memanggilnya untuk hadir di hadapan segala makhluk-Nya agar dia boleh membenarkannya memilih mana-mana Hur al-'Ain dan mengahwini sesiapa yang dikehendakinya." (Sahih al-Jami' #6518)

6. "Barangsiapa meminta daripada Allah syurga sebanyak tiga kali dengan mengucapkan 'Allahumma inni asaluka al-Jannah', maka syurga akan berkata 'Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga!' Dan barangsiapa yang memohon perlindungan daripada neraka sebanyak tiga kali dengan mengucapkan 'Allahumma najjini minan nar', maka neraka akan berkata 'Ya Allah, lindungilah dia daripada neraka!'" (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan hadis ini bertaraf sahih)

7. "Barangsiapa memohon keampunan untuk lelaki dan perempuan yang beriman, Allah mencatatkan baginya untuk setiap lelaki dan perempuan itu satu pahala." (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Ibn Majah, dan Ahmad, dan hadis ini sahih)




8. Abdullah bin Mas'ud pernah berkata : "Barangsiapa membaca surah al-Mulk pada setiap malam, Allah akan melindunginya daripada azab kubur. Semasa zaman Rasulullah s.a.w., kami menggelarnya al-mani'ah (yang melindungi). Dalam Kitab Allah, ia merupakan satu surah yang mana sesiapa membacanya sudah melakukan sesuatu yang sangat baik." (Sahih at-Targhib wat-Tarhib #1475)

9. "Barangsiapa memohon syahid daripada Allah dengan berdoa (Allahumma inni as aluka ash-shahadah), Allah akan memberikannya darjat syahid walaupun dia mati di katilnya." (Sahih al-Bukhari #1909)

10. "Tiada siapa yang menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku pesuruh-Nya dengan sebenar-benarnya, melainkan Allah akan mengharamkan neraka daripada menyentuhnya." (Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel '10 Easy Phrases That Lead to Jannah' tulisan Abu Sabaayaa
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.