Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Friday 28 June 2013

Puasa: Kelebihan Berpuasa dari sudut Spiritual dan Fizikal





Syaum (puasa) adalah kata bahasa arab yang bermaksud MENAHAN atau MENCEGAH. Dari segi Istilah ia menahan diri kita dari makan dan minum dalam tempoh waktu dan cara yang ditetapkan. Namun, ia tidak terhad kepada MENAHAN makan dan minum, ia juga meliputi MENAHAN diri dari melakukan kejahatan, keburukan dan perkara-perkara yang negatif.

MENAHAN DIRI DARI MAKAN DAN MINUM

Allah telah memerintahkan Manusia berpuasa supaya manusia menjadi insan yang taat dan patuh kepada Allah seperti tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 183:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. “ (AlQuran 2:183)

Walaubagaimanapun, terdapat kelonggaran bagi manusia yang sakit, ada masalah dan sebab-sebab yang dibenarkan untuk menangguhkan puasanya atau membayar dalam bentuk wang untuk diberikan makanan kepada orang miskin seperti tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 184:

Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.” (AlQuran 2:184)

Kelonggaran ini diberikan kerana Allah cinta dan tidak mahu memberikan kesusahan kepada manusia jika manusia memang sebenarnya tidak mampu melakukannya seperti tercatat dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:

Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran” (AlQuran 2:185)

Dan tentang hal ini telah kami tulis di entri Apakah Islam itu Susah?

Waktu Bersahur dan Berbuka
Waktu Bersahur adalah adalah waktu ketika umat islam bangun awal pagi (sebelum subuh) bagi makan dan minum sebagai persiapan berpuasa pada siang harinya.

Waktu berbuka pula adakah waktu umat islam menamatkan puasanya pada hari iaitu ketika matahari tenggelam (ketika maghrib).

Waktu Subuh dan Maghrib boleh didapati secara online di website Pejabat Agama Negeri masing-masing.

MENAHAN DIRI DARI MELAKUKAN KEJAHATAN

Berpuasa juga bukan semata-mata menahan diri dari makan dan minum, tetapi ia juga menahan diri dari melakukan kejahatan, Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan kotor malah mengamalkannya, maka Allah tidak butuh dari rasa lapar dan haus yang dia tahan” (H.R Bukhari)


Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

 Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan lagwu (perkataan sia-sia dan semisalnya yang tidak berfaedah) dan rofats (kata-kata kotor). Apabila ada seseorang yang mencelamu atau berbuat usil padamu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa” (HR. Ibnu Majah dan Hakim)

Nabi Muhammad melarang orang yang berpuasa dari melakukan perbuatan yang jahat dan sia-sia, jika tidak puasanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Kelebihan Kesihatan dari Sudut Sains

     1) Berpuasa sepanjang bulan Ramadhan tidak akan menjejaskan kesihatan bagi manusia yang normal (Al      kandariJR, 2012), (Toda M & Morimoto K, 2000). Malah terdapat juga kajian akademik yang menunjukkan berpuasa sepanjang bulan Ramadhan tidak member kesan negatif kepada pesakit strok (Selcuk et. al, 2003), (Bener A et. al, 2006) dan juga kepada pesakit Kardivoskular (Salim I et. al, 2013).

     2)  Berpuasa sepanjang bulan Ramadhan juga dapat menurunkan berat badan dengan secara sihat malah jika konsisten menjaganya, ia boleh boleh menjadi titik perubahan dimana manusia boleh menurunkan berat badan mereka bagi yang berkeinginan sebegitu (Ziaee Vet. al 2006)

      3)   Berpuasa sepanjang ramadhan juga boleh menurunkan paras gula dalam badan dan ini membuka peluang kepada manusia untuk mengekalkan tahap kesihatan sepanjang tahun (Ziaee V et. al 2006), (Behnam Sadeghirad et.al, 2012)

 4) Terdapat kajian yang menarik iaitu sekumpulan saintis mengkaji tahap pemain bola sepak, kajian ini ditaja oleh FIFA pada tahun 2006 dengan melakukan 'case study' dimana hasil kajian tersebut dikalangan pemain muda bola sepak, ia tidak menunjukkan perbezaan samada berpuasa atau tidak dibulan Ramdhan terhadap prestasi mereka (Zerquini Yet. al, 2008), dan kajian ini diteruskan lagi pada tahun 2012 dengan cara pengendalian eksperimen yang sedikit berbeza namun ia masih menunjukkan keputusan kajian yang sama pada tahun 2006 (Zerquiny Y et. al, 2012). Hal ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana memang ada kaedah untuk mengekalkan tahap prestasi atlet bola sepak bagi mengekalkan prestasi mereka ketika berpuasa Ramadhan (Kirkendall DT et. al, 2012)

     5)  Berpuasa akan menghalang perokok dari menghisap rokok dan ini akan meningkatkan kesihatan mereka sekaligus membuka ruang menjadi titik perubahan kearah berhenti atau mengurangkan jumlah rokok yang dihisap.

KESIMPULAN

Sebenarnya, ada banyak lagi kelebihan-kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadhan yang telah dikaji dan ditulis oleh masyarkat sama ada orang Islam atau bukan Islam. Kesimpulan dari perbincangan ini, kita mendapati bahawa berpuasa di bulan Ramadhan, bagus untuk kesihatan fizikal dan ia juga mendidik spiritual supaya menjadi manusia yang dekat dengan Tuhan dan mendidik manusia supaya menahan diri dari melakukan kejahatan

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.