Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Thursday 19 December 2013

Soalan-soalan Lazim yang Ditanya oleh Bukan Muslim Bahagian 3 : Hijab Untuk Wanita

Soalan : Mengapakah Islam merendahkan nilai wanita dengan memerintahkan mereka menyelubungi diri mereka dengan pakaian?

Jawapan :

Status wanita dalam Islam merupakan sasaran serangan oleh media sekular. Hijab ataupun pakaian Islam dinyatakan oleh ramai orang sebagai 'penaklukan' terhadap wanita bawah undang-undang Islam. Sebelum kita menganalisa sebab pemakaian hijab yang diperintahkan agama, mari kita kaji status wanita dalam masyarakat sebelum kedatangan Islam.


1. Pada zaman dahulu, nilai wanita direndahkan dan mereka digunakan sebagai objek pemuas nafsu.

Contoh-contoh berikut yang datang daripada sejarah banyak melakarkan fakta bahawa status wanita dalam tamadun-tamadun awal sangat rendah sehingga mereka dinafikan hak asasi manusia :

i. Tamadun Babylon : Nilai wanita direndahkan dan mereka dinafikan semua hak bawah undang-undang Babylon. Jika seseorang lelaki membunuh seorang wanita, bukannya dia yang dihukum. Sebaliknya, isterinya yang menerima hukuman mati.

ii. Tamadun Yunani : Tamadun Yunani dianggap sebagai tamadun purba yang paling gemilang. Bawah sistem yang 'gemilang' ini, wanita dinafikan semua hak dan dipandang rendah. Dalam mitologi Yunani, seorang 'wanita bayangan' yang digelar 'Pandora' merupakan punca segala kemalangan umat manusia. Orang Yunani menganggap wanita sebagai manusia yang lebih rendah martabatnya berbanding lelaki. Walaupun kesucian wanita itu bernilai dan wanita diberikan penghormatan, orang Yunani kemudiannya diatasi oleh keegoan dan keinginan seksual yang menyalahi fitrah manusia. Pelacuran menjadi amalan biasa dalam kalangan masyarakat Yunani di semua peringkat.

iii. Tamadun Rom : Apabila tamadun Rom berada di puncak kegemilangannya, seseorang lelaki diberikan hak untuk mengambil nyawa isterinya. Pelacuran dan berbogel merupakan kebiasaan dalam Rom.

iv. Tamadun Mesir : Orang Mesir menganggap wanita jahat dan tanda syaitan.

v. Arab Sebelum Kedatangan Islam : Sebelum penyebaran Islam di Tanah Arab, orang Arab memandang rendah wanita dan kerap sekali apabila seseorang anak perempuan dilahirkan, dia dikebumikan hidup-hidup.

2. Islam mengangkat darjat wanita dan memberikan mereka kesamaan dan mengharapkan mereka mengekalkan status mereka.

Islam mengangkat status wanita dan memberikan mereka hak-hak yang adil 1400 tahun lalu. Islam mengharapkan wanita mengekalkan status mereka.


Hijab untuk lelaki

Ramai orang hanya membincangkan hijab dalam konteks wanita. Walau bagaimanapun, di dalam al-Quran, Allah s.w.t. menyebutkan hijab untuk lelaki terlebih dahulu sebelum hijab untuk wanita. Al-Quran menyatakan dalam surah an-Nur :

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman bahawa mereka perlu merendahkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka kerjakan." (Al-Quran, 24:30)

Apabila seseorang lelaki melihat seseorang wanita dan jika fikiran yang berani atau kurang bermoral melintasi fikirannya, dia patut merendahkan pandangannya.


Hijab untuk wanita

Ayat seterusnya dalam surah an-Nur menyatakan :

"Dan katakan kepada perempuan yang beriman supaya mereka merendahkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka, dan mereka tidak patut memperlihatkan perhiasan mereka melainkan apa yang biasa kelihatan daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, bapa mereka, mertua mereka, anak-anak mereka..." (Al-Quran, 24:31)

3. Enam kriteria untuk hijab

Menurut al-Quran dan sunnah, secara dasarnya terdapat enam kriteria hijab :

a. Bahagian. Syarat yang pertama ialah bahagian badan yang perlu ditutup. Bahagian ini berbeza bagi lelaki dan wanita. Bahagian yang wajib ditutup oleh lelaki ialah pusat hingga lutut. Bagi wanita, bahagian yang wajib ditutup ialah keseluruhan badan kecuali muka dan kedua-dua tangan hingga pergelangan tangan. Jika mereka kehendaki, mereka boleh juga menutup bahagian ini. Sesetengah ulama mengatakan bahawa muka dan tangan merupakan bahagian yang wajib dihijab.

Kesemua syarat yang berikut sama bagi lelaki dan wanita.

b. Pakaian haruslah longgar dan tidak mendedahkan bentuk tubuh.
c. Pakaian tidak boleh bersifat lutsinar sehingga boleh dilihat menerusinya.
d. Pakaian tidak boleh begitu menarik perhatian orang yang berlawanan jantina.
e. Pakaian tidak boleh menyerupai pakaian yang dipakai oleh orang berlawanan jantina.
f. Pakaian tidak boleh mengikut pakaian orang yang tidak beriman. Mereka tidak boleh memakai pakaian yang dikhaskan atau merupakan simbol agama mereka yang tidak beriman.

4. Hijab termasuklah pembawaan diri dan sikap.

Hijab yang lengkap, selain enam syarat yang dinyatakan di atas, termasuklah pembawaan moral, sikap, atitud dan niat individu tersebut. Seseorang yang memenuhi syarat-syarat hijab pakaian hanyalah mematuhi hijab mengikut kefahaman yang terhad. Hijab pakaian sepatutnya disertai dengan hijab mata, hijab hati, hijab fikiran dan hijab niat. Termasuk dalam hal ini juga cara seseorang berjalan, bercakap dan sikapnya.

5. Hijab mengelakkan gangguan seksual.

Sebab mengapa hijab diwajibkan untuk wanita dinyatakan dalam ayat berikut daripada surah al-Ahzab :

"Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita yang beriman agar mereka melebarkan pakaian mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka mudah dikenali dan kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Quran, 33:59)

Al-Quran menyatakan bahawa hijab diwajibkan bagi wanita agar mereka dikenali sebagai wanita yang rendah diri dan hal ini juga mengelakkan mereka daripada diganggu.

6. Contoh dua beradik perempuan yang kembar.

Katakanlah terdapat dua beradik perempuan yang kembar, dan kedua-duanya sama cantik, berjalan di satu tempat. Seorang daripada mereka berpakaian hijab mengikut Islam - keseluruhan badannya ditutup melainkan muka dan tangan. Seorang lagi memakai pakaian Barat, skirt mini atau seluar pendek. Di satu sudut, terdapat seorang lelaki jahat yang bersedia untuk menangkap dan mengganggu seorang wanita.
Siapakah yang akan dia ganggu? Wanita yang mengenakan hijab mengikut Islam atau wanita yang memakai skirt mini atau seluar pendek? Secara semula jadinya dia akan mengganggu wanita yang memakai skirt mini. Pakaian demikian merupakan ajakan secara tidak langsung kepada orang berlawanan jantina untuk gangguan dan perkosaan. Al-Quran dengan betulnya mengatakan bahawa hijab melindungi wanita daripada diganggu.

7. Hukuman mati untuk perogol.

Bawah undang-undang Islam, seseorang lelaki yang didapati merogol seorang wanita dikenakan hukuman mati. Ramai orang terkejut dengan hukuman 'keras' ini. Ada orang juga mengatakan Islam ialah agama yang tidak ada belas kasihan serta tidak bertamadun. Saya pernah bertanyakan soalan yang mudah kepada ramai lelaki bukan Islam. Katakan, semoga Tuhan tidak izinkan, seseorang merogol isteri, ibu atau adik-beradik wanita anda. Anda dijadikan hakimnya dan si perogol dibawa menghadap anda. Apakah hukuman yang akan anda jatuhkan?  Kesemua mereka mengatakan mereka akan menjatuhkan hukuman mati terhadap perogol. Sesetengah mereka ingin lebih daripada itu, mereka ingin menyeksa perogol tersebut. Kepada mereka saya bertanya, jika seseorang merogol isteri atau ibu anda, anda ingin dia dihukum mati. Tetapi jika jenayah yang sama dilakukan ke atas isteri atau anak perempuan orang lain anda mengatakan hukuman mati adalah tidak bertamadun. Kenapa di sana ada perbezaan?

8. Masyarakat Barat dengan salah mengatakan mereka mengangkat darjat wanita.

Kata-kata Barat mengenai pembebasan wanita tidak lain merupakan bentuk eksploitasi terselindung terhadap tubuh wanita, penjatuhan darjat wanita dan penafian maruah mereka. Masyarakat Barat mengatakan mereka sudah mengangkat darjat wanita. Sebaliknya, mereka telah menjatuhkan nilai wanita ke taraf gundik, perempuan simpanan, dan rama-rama masyarakat yang merupakan alat kegunaan orang yang meninginkan kepuasan dan peniaga seks, dan hal ini terselindung di sebalik skrin berwarna-warni yang dikatakan 'seni' dan 'budaya'.

9. Amerika Syarikat mempunyai kadar jenayah rogol yang merupakan antara paling tinggi.

Amerika Syarikat sepatutnya menjadi salah satu negara yang paling maju di dunia. Ia juga mempunyai salah satu kadar jenayah rogol yang paling tinggi berbanding mana-mana negara di dunia. Menurut laporan FBI, pada tahun 1990, setiap hari secara purata terdapat 1756 kes rogol yang dilakukan di Amerika Syarikat saja. Kemudian, satu laporan lain menyatakan bahawa secara purata terdapat 1900 kes rogol di Amerika Syarikat. Tahunnya tidak dinyatakan. Mungkin 1992 atau 1993. Mungkin orang Amerika menjadi lebih berani pada tahun seterusnya.

Katakanlah terdapat satu senario di mana pemakaian hijanb mengikut Islam diamalkan di Amerika. Apabila seseorang lelaki melihat seorang wanita dan terdapat apa-apa fikiran yang berani dan memalukan melintasi mindanya, dia akan merendahkan pandangannya. Setiap wanita memakai hijab Islam, iaitu keseluruhan badan ditutup kecuali muka dan tangan. Selepas ini, mana-mana lelaki yang didapati merogol akan dijatuhkan hukuman mati. Saya tanya anda, dalam senario tersebut, adakah kadar rogol di Amerika akan meningkat, kekal sama ataupun menurun?

10. Penguatkuasaan undang-undang Islam akan mengurangkan kadar rogol.

Secara semula jadi apabila undang-undang Islam dikuatkuasakan, hasil positif tidak dapat dielakkan. Jika undang-undang Islam dikuatkuasakan di mana-mana tempat di bumi ini, sama ada Amerika atau Eropah, masyarakat dapat hidup dengan lebih mudah. Hijab tidak menjatuhkan darjat seseorang wanita, bahkan ia mengangkat nilai wanita dan melindungi kerendahan hati serta kesuciannya.

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada buku 'Most Common Questions Asked by Non Muslims' oleh Dr Zakir Naik

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.