Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Thursday 12 December 2013

Islam : Agama yang Paling Disalahfahami

Islam merupakan agama yang paling banyak disalahfahami oleh manusia. Salah faham terhadap Islam bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat bukan Islam, malah sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Pelbagai tuduhan, tohmahan dan anggapan salah dibuat terhadap Islam yang menggambarkan kesalahfahaman masyarakat terhadap Islam. Semua ini berlaku kerana kejahilan terhadap hakikat agama Islam itu sendiri.


Salah Faham Kerana Media

Salah faham terhadap Islam wujud dalam minda orang bukan Islam kerana mereka kerap dimomokkan dengan maklumat yang tidak benar mengenai Islam. Sebahagian besar media antarabangsa, sama ada ia siaran satelit antarabangsa, stesen-stesen radio, akhbar-akhbar, majalah-majalah atau buku-buku, dikawal oleh Barat. Baru-baru ini, internet menjadi sumber maklumat yang sangat berpengaruh dalam masyarakat dunia. Walaupun ia tidak dikawal oleh sesiapa, kita akan mendapati banyak propaganda buruk terhadap Islam dalam internet. Sudah tentulah Muslim juga menggunakan internet sebagai wadah untuk mempamerkan imej Islam dan Muslim yang baik, tetapi mereka masih lagi ketinggalan jauh berbanding mereka yang menyebarkan propaganda buruk mengenai Islam. Saya berharap agar usaha-usaha para Muslim akan meningkat dan diteruskan pada masa depan.


Salah Faham Berubah Mengikut Masa

Soalan-soalan yang lazim mengenai Islam berubah mengikut zaman. Soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam blog ini adalah mengikut zaman sekarang. Set-set soalan dalam beberapa dekad sebelum ini berbeza. Demikian juga yang dijangka akan berlaku dalam beberapa dekad yang akan datang. Set-set soalan boleh berubah bergantung pada cara bagaimana Islam disampaikan oleh media.


Salah faham Adalah Sama Sahaja Di Serata Dunia

Dr Zakir Naik sudah berinteraksi dengan ramai orang di banyak tempat di seluruh dunia dan beliau mendapati soalan-soalan yang paling biasa mengenai Islam adalah sama sahaja di semua tempat. Mungkin terdapat beberapa soalan tambahan mengikut orang-orang tempatan, persekitaran dan budaya. Contohnya, di Amerika, soalan tambahan yang biasa ialah "Mengapakah Islam melarang riba?".


Salah Faham Oleh Bukan Muslim yang Mempelajari Islam

Terdapat ramai bukan Muslim yang sudah mempelajari Islam. Kebanyakan mereka hanya membaca buku tentang Islam yang ditulis secara berat sebelah oleh para pengkritik. Orang-orang bukan Muslim ini biasanya melontarkan soalan-soalan tambahan mengenai Islam. Umpamanya, mereka menyatakan mereka menemui percanggahan di dalam al-Quran, mereka menegaskan bahawa al-Quran tidak selari dengan penemuan sains, dan sebagainya. Penerangan bagi membincangkan jawapan kepada salah faham mereka juga akan dimuatkan dalam blog ini. Penerangan kepada permasalahan ini juga boleh didapati daripada buku 'Answers to Common Questions About Islam by Non-Muslims Who Have Some Knowledge About Islam'.

*Sebahagian artikel dicedok dan diterjemahkan daripada buku 'Most Common Questions Asked By Non-Muslims' tulisan Dr Zakir Naik

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.