Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Sunday 29 December 2013

10 Amalan Seorang Suami Muslim yang Sangat Efektif


Alhamdulillah, saya sudah berkahwin selama hampir tiga tahun dan saya merasakan perkahwinan Muslim merupakan salah satu anugerah paling indah yang Allah kurniakan kepada Muslim di dunia ini.

Walau bagaimanapun, perkahwinan Muslim bukan mudah. Sebenarnya, ramai suami sekarang dirosakkan oleh keluarga, persekitaran, masyarakat ataupun media. Hal ini menyebabkan kita kehilangan ciri-ciri kelelakian kita dan susah payah yang bapa-bapa kita dan lelaki dalam sejarah Islam miliki.

Sekarang, sebagai suami Muslim generasi ini, saya tahu betapa penting dan perlu untuk setiap suami Muslim berusaha dalam rumah tangganya agar umat ini menjadi kuat semula. Lagipun, tanpa asas keluarga Islam, asas-asas lain tidak dapat diwujudkan.

Saya kumpulkan beberapa amalan sebagai peringatan peribadi untuk saya terlebih dahulu, dan mudah-mudahan senarai ini memberikan faedah kepada suami Muslim di luar sana yang ingin mewujudkan rumah tangga yang bahagia. Sesetengah idea yang diketengahkan adalah daripada apa yang saya baca dan dengar dan juga pengalaman saya. Ambil mana-mana yang berkaitan dengan anda, dan bertindak.

1. Bersenam, kekal cergas dan sihat.

Maaf, saudara, anda sudah pasti tahu akan hakikat ini. Amat penting untuk kita kekal sihat, bersenam dan terus cergas untuk isteri-isteri kita dan anak-anak. Ramai daripada kita membiarkan penampilan diri kita selepas perkahwinan sedangkan perkara sebaliknya yang patut berlaku. Apabila kita sihat, kita boleh lakukan lebih untuk isteri dan anak-anak. Kita juga akan berasa baik dengan hakikat bahawa kita memberikan sumbangan yang besar untuk umat.

Isteri saya memberitahu saya mengenai satu kisah bagaimana dia melawat negara Muslim baru-baru ini dan melihat ramai pasangan yang mana si isteri berpakaian dengan baik tetapi si suami tidak mempedulikan keterampilan dirinya.

Saya tidak meminta semua orang untuk menjadi Arnold Schwarzenegger tetapi bersenamlah agar apabila anak anda berusia 12 tahun, anda masih mampu bermain bola sepak bersama mereka. Disebabkan kerjaya saya dalam bidang perisian, saya harus bekerja keras kerana amat senang untuk saya ketinggalan dalam kerja ini (yang mana sudah berlaku pada saya beberapa kali).

Melakukan apa yang anda suka juga membantu anda kekal cergas. Anda tidak perlu mengangkat berat untuk menjaga badan. Asalkan apa yang anda lakukan membantu anda mengekalkan gaya hidup yang sihat, cergas dan Islamik.

Ia juga amat penting untuk anda mengambil makanan yang berkhasiat. Tidaklah wajar untuk anda bersenam dan kekal sihat dan menikmati makanan ringan dan manisan setiap hari. Saya sendiri menyukai makanan yang manis, dan sekarang saya sudah menghadkan pengambilan manisan kepada satu hari dalam seminggu dan menyedari perubahan positif seperti menjadi lebih bertenaga.

2. Berpakaian baik dan dengan ihsan.

Hal ini ialah sesuatu yang saya usahakan kerana saya membesar dalam keadaan tidak pernah mengetahui bagaimana berpakaian dengan baik. Tidaklah bermaksud anda perlu memakai pakaian yang mahal. Ia bermaksud pakaian anda dalam keadaan yang baik dan sesuai ditayang kepada orang.

Muslim dalam sejarah diketahui berpakaian indah dan menjaga badan. Pada zaman pertengahan, Sepanyol di bawah pemerintahan Muslim mempunyai saliran air dan mereka sentiasa membersihkan diri manakala manusia di bahagian Eropah yang lain hampir tidak membersihkan diri mereka.

Nabi Muhammad s.a.w. yang kita kasihi sentiasa memakai minyak kasturi agar berbau wangi.

Kata-kata daripada baginda :

Muslim meriwayatkan bahawa Abu Said al-Khudri berkata bahawa nabi s.a.w. bersabda : "Pewangi yang terbaik ialah kasturi."

Belilah yang berkualiti dan bukannya mahal ataupun banyak kerana inilah maksud berpakaian dengan ihsan. Di penghujung hari, isteri anda akan menjadi gembira kerana anda dan berfikir "Masha Allah."




3. Membaca.

Tidak mengejutkan bahawa kalimah pertama yang diwahyukan daripada al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. ialah "Bacalah..." (Surah al-Alaq, 96:1)

Semasa membesar, saya sentiasa cuba berusaha untuk membaca kerana saya kerap leka dengan televisyen dan permainan video. Walaupun saya cemerlang di sekolah, membaca dianggap sebagai kerja rumah dan saya jarang mengamalkannya.

Walau bagaimanapun, sebagai suami Muslim, membaca merupakan kemahiran penting untuk dimiliki. Ia bukan sahaja dapat mengkayakan anda dengan pengetahuan, malah ia juga boleh membantu anda dalam kemahiran berkomunikasi dan perbualan dengan isteri dan anak-anak. Anda juga akan mempunyai lebih banyak perkara yang menarik dan penting untuk dikatakan dan diajarkan kepada anak-anak.

Terutamanya pada zaman sekarang di mana media dan teknologi berubah, jiga anda tidak membaca dan belajar, anda akan lebih terdedah kepada pengaruh negatif di sekeliling anda.

4. Membantu di rumah - Bersihkan!

Ramai isteri hari ini melakukan lebih banyak kerja berbanding dahulu. Perkara seperti bekerja sepenuh masa, memasak, membersih dan menjaga anak-anak merupakan sebahagian daripada regimen hariannya. Isteri anda akan lebih gembira jika anda mengambil sedikit bebanan tersebut daripadanya.

Membersih pinggan, membersih hampagas, dan kerja-kerja lain di rumah sepatutnya anda ambil dan patut dilakukan secara proaktif. Baca : Lakukannya tanpa diminta.

Ciptaan terbaik, Nabi Muhammad s.a.w. pun membantu di rumah.

Aishah r.a., isteri baginda pernah berkata : "Rasulullah s.a.w. pernah menampal sandalnya, menjahit pakaiannya dan melakukan kerjanya sendiri di rumah sepertimana anda lakukan di rumah. Dia seorang insan, yang mencari kutu pada pakaian, memerah susu biri-birinya dan melakukan kerjanya sendiri." (Diriwayatkan oleh Tirmidzi)




5. Membaca al-Quran.

Seorang suami Muslim merupakan ketua keluarga Muslim. Dia perlu menunjukkan contoh yang baik kepada isteri dan anak-anaknya. Itulah sebabnya penting untuk dia membaca al-Quran.

Kanak-kanak meniru. Jika mereka melihat bapa mereka membaca al-Quran, mereka juga akan ingin membaca al-Quran. Hal ini akan membuatkan kanak-kanak teringin untuk menghadiri kelas al-Quran yang ditakuti.

Sebelum berkahwin, saya tidaklah membaca al-Quran dengan begitu baik dan hanya menghafal beberapa surah. Kemudian, saya berusaha keras untuk memperbaik bacaan saya dengan menghadiri kelas tajwid dan menghafal lebih banyak surah.

Bersembahyang bersama merupakan satu ciri-ciri yang penting dalam sebuah keluarga Islam dan mengetahui al-Quran akan membantu anda. seorang suami Muslim, untuk memimpin isteri dan keluarga anda. Suami atau bapa Muslim patut berusaha memimpin ahli keluarganya dalam sembahyang sekurang-kurangnya sekali sehari.

6. Menjadi kritikal dan analitikal - Berbual mengenai idea.

Semasa saya membesar, ibu saya telah meletakkan satu papan tanda di satu ruang di rumah kami yang tertulis di atasnya : "Orang kecil berbual mengenai orang lain. Orang biasa berbual mengenai perkara. Orang hebat berbual mengenai idea."

Adalah penting untuk seorang suami Muslim menjadi matang melebihi kepentingan diri dan mampu untuk merentasi perbualan tidak penting mengenai manusia di sekeliling dan perkara material. Dia perlu berbincang mengenai idea.

Kita perlu kembali kepada hakikat bahawa peranan Islamik seorang suami Muslim dalam sesebuah keluarga ialah memimpin. Jika perkara yang dia bincangkan hanyalah kebenciannya yang melampau terhadap bosnya di tempat kerja atau kasut barunya, keluarganya akan menderita.

Sebelum berkahwin, adalah mudah untuk saya melibatkan diri dengan rakan-rakan dan menikmati perkara yang tidak penting seperti filem dan sukan. Walau bagaimanapun, saya tahu saya perlu melakukan perkara lain dan mula membaca dan mempelajari lebih lagi tentang idea dan prinsip tentang bagaimana perjalanan dunia ini. Saya perlu meningkatkan pengetahuan saya. Saya tidak mahu perkahwinan yang tidak mendalam dan saya tidak mahu menjadi suami yang biasa. Jadi, saya melangkah keluar daripada zon selesa saya dan mengambil tindakan untuk menjadi lebih berintelektual. Saya percaya jika anda inginkan perkahwinan Muslim berjaya yang mana Allah limpahkan ke atasnya rahmat-Nya, ia perlu merentasi perkara yang lebih penting daripada makanan dan kereta.





7. Bawa isteri anda keluar - Rancang sesuatu.

Setiap isteri suka dibawa keluar, walau bagaimana kuat dia beragama. Anda juga tidak perlu menjadi kaya untuk melakukan yang demikian.

Pergi ke taman, atau membelikannya hijab baru, atau mencuba restoran halal yang baru merupakan aktiviti menyeronokkan yang anda boleh jalankann dengannya.

Saya tahu kadang-kadang saya tidak bijak merancang.. Tetapi setiap kali saya merancang untuk keluar dengan isteri saya, perkahwinan dan hubungan kami bertambah baik.

Saya dan isteri menetapkan satu hari dalam seminggu untuk keluar bersama-sama dan pergi ke satu tempat di bandar yang belum pernah kami pergi ataupun melawat semula tempat kegemaran kami. Ia merupakan satu hari dalam seminggu yang kami berhubung semula dan berbincang mengenai idea.

Cubalah, saya jamin anda tidak akan kecewa.

8. Bertindak seperti lelaki dan dengan yakin - Buat keputusan.

Lelaki hari ini bersifat kurang lelaki berbanding dengan lelaki dahulu. Jika anda imbas kembali zaman Rasulullah s.a.w., sahabatnya ramai daripada kalangan lelaki yang berkeyakinan dan bersemangat.

Pada asasnya, suami Muslim perlu mengambil tindakan dalam hidupnya dan tidak duduk bermalas-malasan dan membiarkankan kehidupan berjalan saja. Dulu saya suka berehat semasa tahun pertama perkahwinan saya tetapi saya menyedari bahawa kualiti ini tidak bermanfaat dalam perhubungan. Apabila saya mula bertindak dengan lebih yakin dan mengambil tindakan dalam hidup, saya mula melihat perubahan positif dalam perkahwinan dan kehidupan peribadi saya.

Adalah penting untuk meneliti perbezaan antara keyakinan dengan keganasan/dominasi. Keyakinan berkaitan dengan mengambil tindakan positif dalam cara seseorang membawa dirinya dan pada masa sama masih boleh mengekalkan hak mereka yang berada di sekelilingnya. Dominasi tidak fokus pada hak.

Seorang lelaki Muslim yang berkeyakinan, walaupun dia seorang pemimpin di rumahnya, dia juga mengetahui dan mengaplikasikan konsep syura/bermesyuarat. Adalah penting untuk melibatkan isteri dan anak-anak dalam mana-mana keputusan besar dan kecil yang boleh memberi kesan kepada semua orang.

Jadilah seorang lelaki Muslim. Ambil tindakan. Jadilah berkeyakinan. Isteri anda akan lebih gembira dan perkahwinan anda akan lebih bahagia, insha Allah.

9. Keseimbangan antara kerjaya dengan agama.

Seorang suami Muslim perlulah seimbang. Dia patut bekerja dan berusaha dalam kerjayanya untuk memberikan nafkah kepada keluarganya kerana ia merupakan hak isteri untuk diberikan nafkah (walaupun dia memilih untuk bekerja). Si suami juga mestilah memahami asas-asas agamanya. Dia tidak perlu menjadi seorang alim, tetapi dia seharusnya mengetahui sekurang-kurangnya perkara asas.

Saya ingat suatu ketika dulu sewaktu bersembahyang hari raya, saya melihat seorang bapa mengajarkan anaknya bersembahyang. Sebagai pemimpin di rumah, seorang suami Muslim perlu mengetahui secukupnya mengenai Islam supaya dia boleh mengajarkan isteri dan anak-anaknya. Dia tidak patut melakukannya semasa solat hari raya. Dia mestilah melakukannya di rumah.

Jikalau boleh, hadiri kelas agama dan baca lebih banyak tentang agama. Terdapat juga banyak sumber atas talian tentang agama kita yang indah ini.

Juga, seorang suami Muslim perlulah berusaha menjadi cemerlang dalam mana-mana kerjaya yang dia ceburi. Ingat bahawa menyeimbangkan antara kedua-duanya adalah sukar tetapi boleh dicapai sikit demi sikit.

10. Memasak dan membantu dalam menyediakan makanan.

Baik, ini ialah isu yang boleh membangkitkan debat.  Walaupun undang-undang Islam tidak menyatakan isteri mestilah memasak untuk suaminya, si isteri selalunya berbuat begitu. Dan, saya amat bersyukur dia melakukannya!

Sebagai suami Muslim, anda patut membantu dalam menyediakan makan malam dan menyiapkan hidangan. Perbuatan ini akan mengurangkan bebanan di atas isteri anda dan dia akan berterima kasih jika anda membantu.

Anda boleh melakukan yang demikian dengan membuat jadual dan memberitahunya pada hari mana yang anda boleh membantu. Percayalah, hal ini akan membantu perkahwinan anda dan membaiki hubungan anda.

Cadangan Terakhir

Itulah dia. 10 amalan yang boleh menjadikan anda suami Muslim yang lebih baik. Anda mungkin sudah melakukan beberapa perkara yang saya sebutkan ataupun tiada langsung. Anda boleh juga bersetuju atau tidak dengan saya. Anda mungkin punyai amalan-amalan lain untuk ditambah. Beritahu saya apa pendapat anda di ruangan komen di bawah.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel '10 Habits of Highly Effective Muslim Husbands' oleh Abu Nura

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.