Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Monday 13 January 2014

Bagaimana Rasulullah s.a.w. Melayan Muslim-muslim Baru

Kita semua menyukai satu saat bilamana seseorang lelaki ataupun wanita memasuki masjid pada hari Jumaat, kemudian mengucapkan syahadah, dan seluruh masjid akan mengucapkan "Takbir, Allahu Akbar"; Saya tidak dapat menafikan bahawa saat ini memang mengagumkan, menyaksikan seseorang baru sahaja menemui jalan yang benar, dan mengambil satu langkah lebih dekat kepada Tuhan.

Soalan yang pahit : Apakah seterusnya? Bagaimanakah komuniti Muslim mengalu-alukan Muslim baru itu? Apakah nasihat yang akan diberikan kepada mereka dan bagaimanakah mereka memulakan perjalanan panjang mempelajari agama Allah?




Saya cuba mencari kehidupan Rasulullah s.a.w. untuk mengkaji cara apa yang digunakan ke atas para sahabat yang baru memeluk Islam. Kadang-kadang aspek ini kita terlepas pandang apabila kita hanya fokus kepada peristiwa tersebut (mengucapkan syahadah) dan menganggapnya matlamat mutakhir dalam dakwah, dan kita tinggalkan - atau menganggap kurang penting - nasihat atau kurikulum pasca syahadah yang diberikan kepada saudara baru.

1. Mengiktiraf bakat saudara baru tersebut

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Orang yang terbaik dalam kalangan kamu semasa zaman Jahiliyyah adalah yang terbaik selepas memeluk Islam, dengan syarat mereka mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang benar mengenai Islam." (Bukhari dan Muslim).

Setiap insan mempunyai bakat dan kebolehan yang unik, dan Rasulullah s.a.w. mengakui hakikat ini dan menggalakkan para sahabat sejak detik mereka memeluk Islam. Dua insan hebat dalam sejarah Islam, Khalid ibn al-Walid dan 'Amr ibn al-'As, memeluk Islam pada hari yang sama dan memberikan kelebihan yang besar kepada agama ini. Khalid ialah orang yang membawa tentera Islam menakluk Iraq, Parsi, Armenia dan Syam (Syria dan Lubnan). 'Amr ibn al-'As ialah orang yang menyebarkan Islam di Palestin dan Mesir.




Bayangkan impak besar yang dua orang ini berikan kepada Islam, dan berapa ramai orang diperkenalkan kepada Islam dan kemudian menyumbang kepadanya dan kepada umat manusia. Semua ini dipengaruhi oleh mereka yang baru (dalam perbandingan kepada sahabat yang lain, lewat) memeluk Islam. Amat menarik untuk kita ketahui bahawa kedua-dua mereka menentang Rasulullah s.a.w. dan orang Muslim dengan hebat pada awalnya; kedua-duanya pernah menumpahkan darah Muslim, terutamanya Khalid ibn al-Walid yang merupakan sebab utama kekalahan Muslim dalam peperangan di Uhud. Walaupun begitu, lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. mengalu-alukan kedua-dua mereka ke dalam keluarga Muslim :

- "Ya Allah, dia (Khalid) ialah salah satu pedang-Mu, maka bantulah dia." Sejak itu, Khalid digelar Pedang Allah.

- "Semua orang menjadi Muslim, tetapi 'Amr ibn al-'As menjadi mukmin." (menunjukkan bahawa dia dengan segera mendapat kedudukan yang lebih tinggi berbanding Muslim lain. Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmidzi)

Khalid diberikan hak kepemimpinan tentera Muslim dalam banyak peperangan, tanpa menjadi masalah kepada sahabat yang lebih mengetahui al-Quran daripadanya dan memeluk Islam bertahun-tahun lebih awal daripadanya. Sirah nabi memberitahu kita mengenai sesetengah peperangan di mana Khalid mengambil tindakan yang salah kerana kekurangan pengetahuannya; hal ini tidak menjatuhkan kedudukannya atau tidak menjadikan Rasulullah s.a.w. merendahkan kebolehannya dan sumbangannya kepada umat Islam.

2. Memberikan mereka perhatian istimewa



'Amr ibn al-'As berasa kagum terhadap perhatian khas yang Rasulullah s.a.w. berikan kepadanya. Dia menyangka bahawa dialah sahabat yang paling dikasihi oleh baginda, dan terus bertanya kepada baginda pada suatu hari : "Wahai Rasulullah, siapakah yang paling engkau cintai?" dan baginda menjawab : "Aishah";

- daripada kalangan lelaki?
- bapanya (Abu Bakr)
- Kemudian?
- Umar...

Daripada kata-kata 'Amr : "Selepas itu, Rasulullah menyebut banyak nama, dan hal ini membuatkan aku diam, kerana aku takut baginda akan meletakkan aku di hujung senarainya..." (Al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w. mempunyai kesan lembut ini ke atas semua yang berada di sekelilingnya, terutamanya mereka yang baru memeluk Islam, yang membuatkan 'Amr benar-benar menyangka dialah sahabat yang paling rapat di sisi baginda.

3. Misi dakwah sejak hari pertama

Sesetengah sahabat ditugaskan untuk mengajar Islam sejak hari pertama, dan diberikan kursus dakwah untuk tujuan tersebut. At-Tufail ibn 'Amr ad-Dawsi menerima Islam pada awalnya di Makkah, dan terus kembali ke kabilahnya untuk menyampaikan mesej kebenaran. Dia mempunyai cara yang kasar dalam menyampaikan Islam di mana dia memberitahu orang : "Sama ada kamu mengikut Islam ataupun saya tidak akan bercakap dengan kamu lagi!" Walaupun cara ini tidak berkesan pada tahun 2014 di pinggir bandar Manhattan atau Paris, nampaknya ia berkesan untuk sesetengah ahli kabilahnya dan bukan pada kesemuanya.

Dia kembali kepada Rasulullah s.a.w. (ini ialah perjumpaan keduanya dengan baginda selepas memeluk Islam) dan mengadu mengenai kaumnya. Baginda berdoa untuk kabilah Daws dan memberitahunya : "Kembali kepada kabilahmu, ajak mereka kepada Allah dan berlembutlah dengan mereka." (Ibn Ishaq)





4. Perubahan sikit demi sikit pada akhlak manusia

Ramai orang mungkin menerima idea menyerah diri kepada satu Tuhan, tetapi mereka mempunyai masalah dengan sesetengah perintah (seperti hijab, berpuasa sepanjang Ramadan, dll.). Kabilah Thaqif bersetuju memeluk Islam tetapi mereka memberitahu Rasulullah s.a.w. : "Kami tidak akan melakukan kebajikan, dan kami tidak akan berperang di jalan Allah." Baginda menerimanya, dan memberitahu sahabatnya : "Mereka akan (dengan rela) melakukan kebajikan dan berjihad apabila mereka memeluk Islam." (Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani). Sekali lagi, kita nampak kebijaksanaan baginda dalam mengenal pasti kelemahan manusia dan berurusan dengan mereka berdasarkan hal tersebut.

Sahabat lain mempunyai sesetengah permintaan, seperti bersolat dengan sujud tanpa rukuk (Ibn Rajab, Jami' al-'Ulum Wal-Hikam), dan yang lain meminta kebenaran untuk menunaikan dua solat fardu sahaja dan bukannya lima.

Adalah penting untuk kita lihat bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mengubah ajaran Islam untuk orang seperti mereka; bahkan baginda menganggapnya sebagai peringkat pengenalan yang diberikan kepada orang tertentu dalam perjalanan baru mereka kepada Islam. Pengecualian tersebut tidak diberikan semasa khutbah Jumaat, contohnya, dan tidak diajar dan disebarkan oleh sahabat lain; Semua insiden tersebut dan yang lain mengajar kita bagaimana utusan Rasulullah s.a.w. (iaitu kita) sepatutnya bijak dalam mengajak manusia kepada agama yang hebat ini.

Kadang-kadang dan dalam sesetengah situasi dengan sesetengah orang, meningkatkan kesusahan dan mencabar orang akan memberikan hasil yang terbaik. Dalam situasi lain, kita perlu memahami kelemahan manusia dan memberikan mereka rancangan sikit demi sikit sementara mereka membiasakan diri, sudah tentu tanpa kompromi terhadap asas-asas dan perkara penting dalam agama kita.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'How The Prophet Treated New Muslims' oleh Mohannad Hakeem

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.