Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Monday 20 January 2014

Jesus (Isa a.s.) Dalam Islam

Dilahirkan oleh Seorang Ibu Dara

Seperti orang Kristian, Muslim juga percaya bahawa Mary, Maria dalam bahasa Sepanyol, ataupun Maryam dalam bahasa Arab, ialah seorang wanita suci dan dara yang dengan ajaib melahirkan Jesus (Isa a.s.). Kelahiran baginda merupakan satu keajaiban kerana baginda tidak mempunyai bapa. Allah menerangkan perihal kelahirannya dalam al-Quran :

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) dalam al-Kitab perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri daripada keluarganya di sebuah tempat di sebelah timur. Kemudian dia membuat penghalang, maka Kami hantarkan kepadanya roh Kami lalu ia menyamar sebagai seorang lelaki yang sempurna kejadiannya. Dia (Maryam) berkata : "Sesungguhnya aku berlindung dengan Ar-Rahman daripadamu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa." Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk mengurniakan seorang anak yang suci." Maryam bertanya : "Bagaimanakah aku mendapat seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" Ia menjawab: "Demikianlah; Tuhanmu berfirman : "Hal itu mudah bagi-Ku; dan Kami hendak menjadikannya sebagai satu tanda untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya." (Al-Quran, 19:16-21)

Walau bagaimanapun, hakikat ini tidak menjadikan Jesus a.s. Tuhan pada asasnya ataupun dari segi kerohanian, dan baginda tidak juga layak disembah, kerana kejadian Adam a.s. lebih ajaib berbanding Jesus a.s.. Jika kelahiran ajaibnya ialah bukti bahawa baginda merupakan jelmaan Allah ataupun anak-Nya, maka Adam lebih berhak mendapatkan kedudukan ini berbanding Jesus a.s.. Akan tetapi, kedua-dua mereka hanyalah nabi yang mendapat wahyu daripada Tuhan Yang Maha Besar, dan mereka ialah hamba-Nya yang hidup berdasarkan perintah-Nya.

"Sesungguhnya perbandingan Isa di sisi Allah adalah sama seperti Adam. Allah telah menciptakannya daripada tanah lalu berfirman kepadanya : "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia." (Al-Quran, 3:59)



Keajaiban

Muslim, seperti orang Kristian percaya bahawa Jesus a.s. melakukan keajaiban. Keajaiban-keajaiban ini dilakukan dengan izin dan kehendak Allah Yang Berkuasa atas segala sesuatu.

"Ingatlah ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul Qudus, iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia dalam buaian dan sesudah dewasa; dan ingatlah ketika Aku mengajarmu al-Kitab dan al-Hikmah dan Taurat dan Injil; dan ingatlah ketika engkau jadikan daripada tanah bentuk burung dengan izin-Ku, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izin-Ku; dan ingatlah ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izin-Ku; dan ingatlah ketika Aku menghalang Bani Israil daripadamu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan, lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata : "Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata"" (Al-Quran, 5:110)




Allah mengutuskan para nabi dengan mukjizat (keajaiban) yang khas kepada kaum mereka untuk membuktikan kebenaran mesej yang dibawa. Keajaiban-keajaiban ini tidak dilakukan kerana kemampuan mereka, bahkan ia hanyalah kelihatan sedemikian dengan izin Allah. Keajaiban yang dilakukan oleh Jesus a.s. tidak berbeza. Orang-orang Yahudi pada waktu itu begitu maju dalam bidang perubatan, dan keajaiban yang dilakukan oleh baginda adalah dalam bidang ini, sekali gus membuktikan kebenaran mesej-Nya dan untuk meyakinkan orang-orang Yahudi.

Ketuhanan Baginda

Muslim mempercayai Keesaan Allah Yang merupakan Kuasa Besar yang bebas daripada had, keperluan dan kehendak manusia. Dia tidak mempunyai pasangan dalam kerajaan-Nya. Dia ialah Pencipta segalanya dan berbeza sepenuhnya dengan makhluk-Nya, dan segalanya patut menyembah-Nya sahaja.

Mesej inilah yang dibawa oleh semua nabi berkenaan Tuhan, termasuk Jesus a.s.. Baginda tidak pernah mengatakan dirinya Tuhan, dan tidak juga mengatakan dirinya layak disembah. Baginda tidak pernah mengatakan dirinya anak Allah ataupun sebahagian daripada 'Trinity', bahkan baginda ialah seorang rasul Allah yang dihantar kepada kaum Yahudi untuk mengembalikan mereka kepada agama yang sebenar, penyembahan Allah Yang Maha Esa dan mengikut ajarannya. Kebanyakan ayat al-Quran yang berkaitan dengan Jesus a.s. membincangkan aspek ini. Ayat-ayat tersebut membuktikan bahawa baginda dianggap sebagai objek penyembahan disebabkan penipuan yang diwujudkan terhadapnya. Hal ini menegaskan bahawa Jesus a.s. dalam hidupnya pernah menafikan bahawa baginda layak disembah, dan ia menyokong hakikat bahawa perumpamaan dan contoh yang Allah berikan membuktikan lumrah kemanusiaannya, dan bukan ketuhanannya atau hubungan anak-beranaknya dengan Allah. Allah menceritakan perihal Jesus a.s. dalam al-Quran :

"Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah al-Masih Ibni Maryam." Padahal al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Bahawasanya sesiapa yang menyekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah mengharamkan baginya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiada seorang penolong pun bagi orang-orang zalim". (Al-Quran, 5:72)

Allah menyatakan mengenai doktrin 'Trinity' di dalam Al-Quran:

"Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang berkata : "Bahawasanya Allah adalah yang ketiga daripada tiga." Padahal tiada Tuhan melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir daripada mereka akan dikenakan azab yang tidak terperi sakitnya. Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya? Padahal Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.Tiadalah al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang rasul yang telah terdahulu sebelumnya rasul-rasul dan ibunya seorang perempuan yang benar, mereka berdua adalah memakan makanan. Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka keterangan-keterangan, kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan." (Al-Quran, 5:73-75)

Dan juga :

"Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam hal ehwal agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; Sesungguhnya al-Masih Isa ibn Maryam pesuruh Allah dan kalimah-Nya yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan juga roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan : "Tiga." Berhentilah, ia baik bagi kamu. Bahawasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci-Nya daripada mempunyai anak. Bagi-Nya jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal." (Al-Quran, 4:171)


Gambar hiasan menunjukkan konsep 'Trinity'



Kepercayaan konsep ‘trinity’ merupakan sesuatu yang bercanggah terhadap zat-Nya :

"Dan mereka berkata : "Ar-Rahman mempunyai anak." Sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian, dan bumi pula hampir terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, kerana mereka mendakwa mengatakan Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tidak layak bagi Ar-Rahman untuk mempunyai anak. Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada Ar-Rahman, sebagai hamba." (Al-Quran, 19:88-93)

Pada Hari Kiamat, Jesus a.s. akan menjelaskan salah faham ini. Allah memberikan kita gambaran mengenai apa yang baginda ucapkan apabila ditanya mengapa manusia menyembahnya :

"Dan ingatlah ketika Allah berfirman : "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia : 'Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?'" Isa menjawab : "Maha Suci Engkau! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak. Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri-Mu; Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib. Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu : 'Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu', dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Quran, 5:116-117)

Dalam ayat-ayat ini, Allah menyatakan bahawa penyifatan Jesus a.s. sebagai anak Allah ataupun sebahagian daripada 'Trinity' merupakan satu penghinaan terhadap-Nya. Hal ini adalah disebabkan oleh hakikat asas bahawa Allah Maha Esa dan berbeza dengan mana-mana ciptaan-Nya; dan juga dari sudut zat-Nya, Dia Unik dari segi kerajaan-Nya, sifat-sifat-Nya dan kebesaran-Nya. Semua di atas membentuk monoteism ketat yang Dia wahyukan dalam risalah-risalah-Nya, dan daripadanya adalah yang pertama daripada Sepuluh Rukun (Ten Commandments). 

Mengatakan Allah mempunyai anak ialah sesuatu yang bertentangan dengan tujuan Dia menciptakan makhluk dan mengutuskan para rasul. Allah menyatakan dalam al-Quran :

"Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku." (Al-Quran, 51:56)

Dia juga berfirman :

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan setiap umat seorang rasul (untuk menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut." Maka di antara mereka, ada yang diberi hidayah oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itun kembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasul-Nya." (Al-Quran, 16:36)

Misi Baginda

Seperti yang sudah dibincangkan, al-Quran dengan jelas menegaskan bahawa Jesus a.s. ialah seorang nabi, dan tidak lebih daripada itu. Sesungguhnya para nabi ialah ciptaan terbaik. Mereka dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu-Nya, dan pada masa yang sama, mereka ialah perwakilan Allah dan tidak layak disembah. Jesus a.s., seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, tidak berbeza daripada mereka dalam hal ini.

Sepanjang al-Quran, Jesus a.s. diterangkan secara asasnya sebagai utusan Allah yang dihantar kepada orang-orang Yahudi yang setelah beberapa lama, menyimpang daripada ajaran Moses (Musa a.s.) dan nabi-nabi lain.

"Dan ingatlah ketika Isa ibni Maryam berkata : "Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku pesuruh Allah kepada kamu, untuk mengesahkan kebenaran apa yang diturunkan sebelumku, iaitu Taurat..." (Al-Quran, 61:6)

Isa bin Maryam a.s. ialah nabi terakhir daripada keturunan Yahudi. Baginda hidup berdasarkan kitab Taurat, iaitu Undang-undang Musa, dan mengajar pengikut-pengikutnya perkara yang sama.

Dalam aspek ini, baginda dan mesejnya tidak berbeza daripada yang dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya yang diutus oleh Allah. Mereka semua menyeru kepada menyembah Tuhan Yang Satu, dan mentaati perintah-perintah-Nya. Baginda secara ajaib dikuatkan oleh Allah semasa dalam kandungan, kelahiran dan zaman kanak-kanaknya. Baginda juga disokong oleh pelbagai keajaiban untuk membuktikan baginda ialah utusan Allah. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang Yahudi menolak kerasulannya.

Jesus a.s. bukan hanya menegaskan kebenaran kitab-kitab sebelumnya, malah baginda memberitahu perihal kedatangan seorang rasul selepasnya. Allah berfirman :

"Dan ingatlah ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata : 'Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku pesuruh Allah kepada kamu, untuk membenarkan apa yang diturunkan sebelumku, Taurat, dan memberikan berita gembira berkenaan kedatangan seorang rasul selepasku yang bernama Ahmad.'" (Al-Quran, 61:6)


Kedatangan Kedua Jesus a.s.

Seperti orang Kristian, Muslim juga mempercayai kedatangan semula Jesus a.s. ke bumi, walaupun peranan dan sebab kedatangannya berbeza dengan yang dipercayai oleh orang Kristian. Kembalinya baginda ke bumi adalah untuk membuktikan sifat kemanusiaan baginda dan menyangkal salah faham manusia terhadapnya. Baginda akan menjalani hidup biasa, berkahwin, dan juga mati sebagai seorang manusia. Pada waktu itu, hal berkenaannya menjadi jelas, dan manusia akan mempercayai bahawa baginda ialah seorang manusia.

"Dan tidak ada seorang pun dari kalangan Ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepadanya sebelum kematiannya dan pada Hari Kiamat kelak dia akan menjadi saksi terhadap mereka." (Al-Quran, 4:159)



Jesus a.s. juga akan menentang al-Masih palsu yang akan menyeru manusia agar mempercayai dialah Tuhan dan yang akan muncul sebelum kedatangan baginda. Jesus a.s. akan menewaskan Antichrist itu, dan manusia akan menerima agama sebenar daripada Allah. Dunia akan menyaksikan keamanan dan kedamaian yang belum pernah dinikmati dalam sejarah, kesemuanya menyembah Tuhan yang sama, menyerah diri kepada-Nya sahaja dan berdamai antara satu sama lain.

*Artikel dipetik, diubahsuai dan diterjemahkan daripada artikel 'Jesus in Islam' oleh M. Abdul Salam

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.