Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Sunday 20 July 2014

Meninggalkan Dosa : Preskripsi yang Mudah

Terdapat ramai Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia yang disebabkan pengaruh negatif dan elemen buruk, mendapati diri mereka semakin jauh daripada agama. Ramai yang lain duduk di atas pagar kerana ingin menikmati kedua-dua belah pagar - melibatkan diri dalam dosa dan juga mengamalkan sesetengah ajaran agama. Walau bagaimanapun, jauh di lubuk hati mereka ingin kembali ke jalan yang benar, menjadi baik, Muslim praktikal, turun dari pagar dan menikmati sisi-sisi baik dalam Islam. Jadi mereka menulis surat, emel, menelefon, mengfaks untuk mencari bimbingan dan arah tuju.

Kelemahan utama ialah mereka bergelumang dengan dosa; kadang-kadang banyak dosa dan banyak bergelumang dalam dosa tersebut. Satu preskripsi piawai yang saya berikan sebagai jawapan adalah seperti berikut. Alhamdulillah, ramai yang mengikuti preskripsi ini telah menemui hidup baru - yang penuh keamanan, kebahagiaan, keberkatan dan rahmat. Setelah merasakan kemanisan yang datang dengan kepatuhan, tiada lagi kemahuan untuk kembali ke mana-mana bentuk keingkaran.

1. Perkara ideal ialah kita halang diri daripada dosa kerana mencintai Allah Ta'ala. Dia telah memberikan banyak perkara kepada kita - Dia telah mengurniakan kepada kita segalanya dan sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia untuk mencintai orang yang baik dan pemurah kepada kita. Apakah yang telah Allah berikan kepada kita? Pandangan mata, pendengaran, percakapan, organ yang berfungsi dengan cara yang menakjubkan, anggota badan - semuanya berkhidmat untuk kita - untuk makan, minum, berjalan, duduk dan sebagainya. Nikmat harta benda : pakaian, tempat tinggal, kenderaan, makanan, minuman dan banyak lagi keselesaan yang lain. Kita gunakannya, tetapi adakah kita menyedari akan Si Pemberi yang Maha Pemurah? Adakah kita bersyukur atas kurniaan ini atau menunjukkan sebarang penghargaan kepada Pemberi?




2. Menyedari bahawa Allah Ta'ala bersama kita : Dia sedang menyaksikan, mendengar kita, Dia mengetahui semua dan segalanya mengenai kita; kita tidak boleh bersembunyi daripada-Nya; kita tidak boleh menyembunyikan perbuatan kita daripada-Nya. Kalau begitu, bukankah kita patut berasa malu untuk mengingkari-Nya jika Dia melihat kita? Bukankah kita mengingkari yang Maha Pemurah apabila kita melibatkan diri dengan dosa dalam pengetahuan-Nya?




3. Ingatlah bahawa para malaikat juga menyaksikan amalan kita; bahawa bumi ini sedang merakam perbuatan kita dan bahawa segalanya juga dicatatkan dalam buku amalan kita - bahawa kita bertanggungjawab kepada Allah Ta'ala pada Hari Kiamat. Tambahan pula, amalan kita juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w., jadi kita patut ambil perhatian sama ada amalan kita ialah sumber kegembiraan atau kesedihan buat baginda. Dengan itu, kita akan dapat mewujudkan perasaan malu dan rendah diri yang akan memudahkan kita untuk menjauhi perkara haram.

4. Muraqabah ialah bermuhasabah mengenai amalan yang dilakukan pada waktu siang. Kita perlu memikirkan amalan kita pada hari itu dan memohon keampunan atas kelemahan dan berazam untuk tidak kembali ke amalan buruk tersebut. Kita mestilah juga menunjukkan kesyukuran atas amalan baik dan berdoa agar bertambah amalan baik tersebut.

5. Fikirkanlah hakikat bahawa Malaikat Maut tidak akan memberikan penangguhan. Tidaklah patut apabila kita mengikut hawa nafsu dalam melakukan dosa, Malaikat Maut mendatangi kita dan berangkat dalam keadaan memalukan dan kemudian kembali kepada Allah di waktu Dia sedang murka, dan kematian ialah sesuatu yang memalukan kepada orang tersebut, keluarganya dan masyarakat yang mengetahui bahawa kematian tiba dengan dosa. Semoga Allah Ta'ala melindungi kita daripada kematian dalam keadaan mengingkari Allah, tetapi inilah realitinya. Kematian menjelma - lebih kerap lagi, tanpa diduga, dan tiada Muslim sebenar yang ingin disapa oleh Malaikat Maut dalam keadaan Allah Ta'ala tidak menyukainya. Saya kerap berkata : Kita sekarang mempunyai teh segera, dan kopi segera dan bijirin segera dan puding segera dan banyak lagi benda di pasaran yang segera - kita juga hidup di zaman di mana kematian juga segera. Jadi mana-mana dosa amatlah berisiko pada hakikat kematian. Hadis ini jelas : "Kita akan dibangkitkan pada Hari Kiamat sebagaimana kita telah mati dan kita akan mati sepertimana kita telah hidup." Apakah terdapat mana-mana Muslim yang ingin bangkit pada Hari Kiamat dalam dosa untuk seluruh umat manusia menyaksikan gaya hidup apa yang telah dijalaninya?




6. Fikirkanlah hakikat bahawa Allah Ta'ala telah mengurniakan kepada kita nikmat penglihatan, pendengaran, kesihatan, harta benda dan banyak lagi - dan juga telah memberikan nikmat kehormatan. Walau bagaimanapun, apa yang diberikan-Nya, boleh diambil-Nya juga. Dia dengan jelas mengatakan ketidaksyukuran atas nikmat-Nya akan menyebabkan azab yang berat. Jadi bukankah dosa satu bentuk penyalahgunaan dan ketidaksyukuran nikmat pendengaran, hati, minda dan anggota?

Sedikit peringatan mengenai kesan-kesan amalan tersebut dan sedikit mujahadah - dan alhamdulillah, penyakit ini diubati.

Disertakan dengan ini :

  • Hadiri ceramah oleh ulama bila-bila masa anda boleh, atau dengarkan rakaman ceramah mereka dan baca buku mereka untuk mendapatkan manfaat daripada teman yang warak dan berakhlak. Sertai aktiviti keagamaan dengan mereka yang mengikuti al-Quran dan sunnah. Insha Allah, anda akan mendapati perubahan yang besar dalam hidup anda dengan bertemankan orang-orang yang betul.
  • Berusaha untuk menunaikan solat tepat pada masanya. Lelaki patut berusaha untuk menunaikan solat Jumaat.
  • Baca bahan bacaan Islamik yang baik. Jauhi majalah atau buku yang mempunyai isi kandungan dan gambar yang kotor dan jijik.
  • Cuba tinggalkan televisyen. 90% daripada isinya haram. Jika seseorang menawarkan satu gelas yang penuh dengan air yang bersih dan suci dan menyebut bahawa terdapat hanya satu titik air kencing di dalamnya, adakah orang yang waras akan meminumnya?
  • Jika kebanyakan isi televisyen haram, apa yang patut kita katakan? Apabila pandangan, hati dan mata sedang menikmati dan melakukan perkara haram, apa lagi kesannya melainkan bergelumang dengan perkara haram.
  • Tundukkan pandangan daripada orang yang berjantina berlawanan.
  • Berpakaian sebagaimana yang patut oleh seseorang Muslim - pakai seluar di atas buku lali dan simpan janggut yang sama panjang dengan satu buku lima tidak patut dianggap sebagai amalan yang tidak signifikan. Perkara ini ialah ajaran Rasulullah s.a.w. yang ditekankannya. Walaupun harus memakai baju dan seluar, memakai pakaian seperti kurta mempunyai keistimewaan yang memberikan manfaat melalui cara yang berbeza. Orang yang berpakaian seperti ini akan berfikir banyak kali sebelum melibatkan diri dalam dosa secara terbuka apabila dia dilihat sebagai seorang yang warak. Jadi, pakaian dan penampilan ini akan memberikan perlindungan, insha Allah. Wanita juga patut berpakaian dengan cara yang patut seperti yang dituntut dalam shariah.
  • Dengan melakukan perkara ini, anda sudah memenangi separuh daripada peperangan ini. Dan ia tidaklah sesusah apabila syaitan dan nafsu menggoda kita. Hanya sedikit keberanian, usaha dan pengorbanan yang diperlukan.

Perkara ini hanyalah aspek asas dalam agama ini yang mana semua orang boleh mengimplementasi dengan cepat dan mudah. Ada juga perkara yang perlu dipenuhi dalam kewajipan seperti solat, zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan lain-lain, dan memenuhi hak keluarga, jiran dan sebagainya. Terdapat keperluan untuk membaca al-Quran dengan kerap, sekali dengan tafsir yang betul - sedikit demi sedikit, dan juga meluangkan masa untuk mempelajari hukum-hakam agama Islam dan membaca kisah hidup dan ajaran Rasulullah s.a.w., dan sebagainya. Membaca buku mengenai kebaikan amalan seperti solat, berpuasa, haji, bersedekah, zikir dan lain-lain oleh Sheikh Zakariyyah Saheb rahimahullah akan mewujudkan semangat untuk melakukan amalan ini.

Semoga Allah Ta'ala mengurniakan kepada kita cinta-Nya dan cinta Rasulullah s.a.w. sehingga kita boleh meninggalkan dosa dengan mudah dan berserah kepada ketaatan-Nya. Semoga Dia melindungi kita daripada segala keburukan nafsu dan syaitan. Semoga Dia mengisi hati-hati kita dengan cinta kepada agama yang indah ini dan memberikan inspirasi kepada kita untuk menjadi Muslim yang praktikal dan baik dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'Giving Up Sins : An Easy Prescription' oleh Maulana Yunus Patel Saheb

Sepuluh Hari dan Malam Terakhir Ramadan

Dalam bulan Ramadan yang diberkati ini, kita sudah sampai di penghujungnya - 10 hari terakhir Ramadan yang dianggap sebagai 'krim' Ramadan. Dalamnya terdapat satu malam yang diberitakan oleh al-Quran sebagai malam yang lebih baik daripada 1000 bulan (ya, bulan... bukan hari!).

Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Telah tiba kepada kamu Ramadan, bulan yang diberkati di mana Allah telah memerintahkan kamu untuk berpuasa, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan dirantai. Dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, dan barangsiapa yang dihalang daripada kebaikannya benar-benar rugi." (Hadis diriwayatkan oleh an-Nasai, 2106; Ahmad, Sahih at-Targheeb, 999)

Jadi, dalam persiapan untuk fasa terakhir ini, di sini ialah satu senarai semak mengenai perkara-perkara yang boleh kita lakukan untuk memanfaatkan hari-hari terakhir Ramadan ini :


Moolit Mermaid Night Sky


1. Bersedia untuk beberapa malam dan hari yang seterusnya. Masa sangat penting. Setiap detik perlu kita hargai. Apa-apa yang anda lakukan dalam hari-hari ini daripada ibadah, amalan baik, membaca al-Quran, zikir, berdoa dan lain-lain, pahalanya akan dilipatgandakan. Tiada siapa yang lebih mengetahui mengenai kepentingan hari-hari ini berbanding Rasulullah s.a.w. akan berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadah semasa sepuluh hari terakhir Ramadan kerana baginda tidak melakukannya di waktu lain. (Hadis Muslim)

Jika kita terlepas peluang ini, kita terpaksa menunggu setahun lagi, itu pun jika kita masih hidup dan sihat untuk melakukannya. Jika ya, kita menanggung dosa-dosa tahun lepas dan mempunyai ujian dan cabaran hidup untuk dihadapi sepanjang tahun seterusnya. Jadi, tiada waktu lain yang lebih sesuai untuk kita mohon kepada Allah agar memudahkan segalanya berbanding sekarang.

2. Dapatkan senaskhah al-Quran dan bacanya sekerap mungkin. Terdapat banyak kelebihan dan kebaikan al-Quran. Dinyatakan dalam sebuah hadis sahih bahawa al-Quran akan memberikan syafaat kepada sesiapa yang membacanya pada waktu malam, seperti yang Ahmad (6626) meriwayatkan daripada 'Abdullah ibn 'Amr bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Puasa dan al-Quran akan memberikan syafaat kepada seseorang pada Hari Kebangkitan. Puasa akan berkata, "Wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada makanan dan nafsunya pada waktu siang, jadi izinkanlah aku memberikan syafaat kepadanya." Dan al-Quran pula akan berkata, "Aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam, jadi izinkanlah aku memberikan syafaat kepadanya." Kemudian, kedua-duanya memberikan syafaat." (Diriwayatkan oleh Ahmad)

Seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis di mana Rasulullah s.a.w. bersabda : "Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah dia akan menerima satu kebaikan daripadanya, dan kebaikan itu digandakan 10. Aku tidak mengatakan bahawa alif laam meem itu satu huruf, bahkan alif satu huruf, laam satu huruf dan meem satu huruf." (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, ad-Darami)

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Orang yang terbaik dari kalangan kamu ialah dia yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)




3. Mendapatkan keampunan untuk dosa-dosa. Berita yang pertama, iaitu berita buruk - Dalam Musnad Ahmad, diriwayatkan bahawa Thawbaan berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Seseorang itu dihalang daripada rezeki kerana dosa yang dilakukannya." (Diriwayatkan oleh ibn Majah, 4022)

Dan sekarang berita baik -

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Barangsiapa menggunakan masa malam Lailatul Qadr untuk bersolat dengan penuh keimanan dan berharap, diampunkan segala dosanya yang lalu."

4. Apa yang boleh diucapkan pada malam Lailatul Qadr. Salah satu doa terbaik yang boleh dibaca pada Lailatul Qadr ialah yang telah Rasulullah s.a.w. ajarkan kepada Aishah r.a.. Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi yang mengelaskannya sebagai sahih, bahawa Aishah berkata : "Aku berkata, "Wahai Rasulullah, jika aku ketahui malam mana merupakan Lailatul Qadr, apakah yang patut aku ucapkan?" Jawab baginda, "Ucapkanlah : "Allahuma innaka 'afuwwun tuhibb al-'afwa fa'fu 'anni," (Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan Engkau suka memberikan keampunan maka ampunkanlah aku).""

5. Dampingi orang-orang yang warak. Allah menerangkan ciri-ciri orang yang warak seperti berikut :

"Mereka tidur melainkan sedikit pada waktu malam (dengan mengingati Tuhan mereka dan berdoa dengan penuh ketakwaan dan berharap)." (Adz-Dzariyat, 51:17)

"Dan pada waktu sebelum fajar, mereka memohon ampun (daripada Allah)." (Adz-Dzariyat, 51:18)

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Di dalam syurga terdapat sebuah bangunan, yang luarannya boleh dilihat dari dalam dan dalamannya boleh dilihat dari luar. Bangunan tersebut disediakan untuk mereka yang sopan kata-katanya, memberikan makanan kepada orang yang memerlukan, sentiasa berpuasa dan mengamalkan solat tahajjud tatkala orang lain sedang tidur." (Mishkat al-Masabih, hadis nombor 1232)

6. Akhir sekali... Fikirkanlah apa yang anda ingin minta daripada Allah dan mintalah sekarang. Jika belum, inilah waktu untuk anda berhubung dengan-Nya dan mendekati-Nya. Dan jika anda lakukannya dalam sepuluh malam dan hari terakhir ini, anda akan berasa ingin melakukannya lagi dan lagi walaupun bulan ini telah berakhir.

Dan akhir sekali, jika anda sedang beribadah, bukalah hati anda untuk orang lain juga dan ingatilah saudara-saudara anda yang kesusahan di seluruh dunia ini dalam doa anda. Ingat apa yang Rasulullah katakan :

"Doa yang paling cepat dikabulkan ialah yang dibuat oleh seorang Muslim untuk yang lain tanpa diketahuinya." (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Anda tekan butang 'snooze', anda akan tewas! Jadi, berusahalah dalam sepuluh hari terakhir ini seolah-olah inilah peluang terakhir anda. Seorang lelaki yang bijaksana pernah berkata :

"Aku akan berlalu seperti ini, dan sesudah itu, biarlah aku lakukan apa-apa perkara baik sekarang kerana aku mungkin tidak akan berlalu seperti ini lagi!"

Semoga Allah Ta'ala mengurniakan kepada kita kebijaksanaan, keberanian dan kekuatan untuk mendapatkan kebaikan sepenuhnya daripada bulan ini.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'Ramadan's Last Ten Nights and Days'

Monday 7 July 2014

4 Tips Praktikal Untuk Berpuasa

Muslim melihat Ramadan sebagai satu bulan yang suci dan penuh kehormatan. Bulan puasa ini memberikan peluang kepada kita untuk bermuhasabah mengenai di mana kita berada, apa yang telah kita lakukan dan ke mana kita berharap untuk pergi. Ramai Muslim berasa sangat teruja dan juga tidak sabar. Dalam keseronokan ini, kita memberikan cubaan yang terbaik untuk mengalu-alukan kedatangan bulan puasa dengan pelbagai persediaan. Walau bagaimanapun, kadang-kadang kita cenderung untuk terlupa perkara kecil. Di sini disertakan beberapa tips praktikal puasa dalam bulan yang diberkati ini.




1. Dalam bulan Ramadan, adalah penting untuk meyakini rutin Ramadan yang perlu anda ikuti. Bangun sebelum subuh, mengambil sahur dan menunaikan solat subuh. Rutin ini mestilah disemat dalam minda, badan dan jiwa. Adalah biasa untuk merasai peningkatan iman semasa hari-hari pertama Ramadan. Tenaga kerohanian bertambah dan anda berasa mudah untuk menghadapi Ramadan. Kemudian, kita mungkin akan menjadi lemah dan hilang keyakinan. Kita mungkin menjadi malas dan memberitahu diri kita bahawa kita mempunyai tiga minggu lagi untuk kembali tetap dalam perjalanan ini. Perkara terbaik yang boleh kita lakukan adalah kekal dengan rutin ini dan bersederhana.

2. Kurangkan pengambilan natrium dalam pemakanan anda, terutamanya pada waktu sahur. Hal ini akan mengurangkan perasaan untuk minum sepanjang hari. Makanan ekstrem perlu dihindari juga. Makanan ekstrem ini termasuklah makanan pedas, makanan yang tinggi kandungan gulanya, makanan berlemak dan apa-apa saja yang tidak sesuai dengan anda. Cuba ambil makanan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi (untuk penghadaman) dan apa-apa yang berkhasiat. Adalah penting untuk mengambil karbohidrat kompleks kerana ia lebih lambat dihadamkan. Bahan ini termasuklah bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, semolina, kekacang, biji sayuran, tepung mil penuh dan beras perang. Banyak buah dan sayur bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga memberikan keseimbangan kepada pemakanan anda. Makanan ini akan membantu menampung anda sehingga anda berbuka. Jika anda mengambil suplemen multi-vitamin, jangan berhenti. Rujuk penasihat kesihatan anda jika anda bercadang untuk memulakan suplemen multi-vitamin yang baru. Jangan lihat terlalu jauh untuk mencari suplemen kesihatan yang penting. Kurma banyak didapati sepanjang tahun terutamanya dalam bulan Ramadan. Kurma diketahui boleh membekalkan banyak nutrien penting dan sangat baik untuk kesihatan. Lagi satu perkara penting, hidrat! Minum banyak air pada waktu malam dan sebelum subuh. Pada waktu sahur, ingat bahawa kopi dan teh adalah bahan diuretik. Bahan ini boleh menyebabkan anda kehilangan air lebih cepat.




3. Jangan lahap. Mempunyai perut kosong dan kemudian makan banyak pada waktu malam boleh menyebabkan keletihan dan ketidakselesaan usus. Perkara yang anda harus elakkan ialah berakhlak seperti sloth dan kemudian terlepas waktu sahur.




4. Tips bonus: Bertemu dengan masyarakat. Banyak masjid menyediakan juadah berbuka. Menemui masyarakat mempunyai banyak faedah termasuklah mendengar mengenai tips resipi, aktiviti masyarakat dan mungkin juga jemputan untuk berbuka puasa!

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'Practical Tips For Fasting During Ramadan' oleh Mikael Pittam
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.