Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Saturday 14 December 2013

Keluarga yang Bertanggungjawab Ialah Keluarga yang Penyayang



Dalam kehidupan berkeluarga, setiap individu memainkan peranan untuk melancarkan segala urusan. Peranan yang harus dijalankan oleh individu ini haruslah berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh al-Quran dan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.. Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran :

"Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan banyak mengingati Allah." (Surah al-Ahzab, 33:21)

Tidak kira sama ada individu itu ialah bapa, ibu, anak lelaki ataupun anak perempuan, bagi mereka petunjuk dan contoh yang jelas untuk diikuti daripada kehidupan Rasulullah s.a.w.. Peranan bapa bermula sejurus selepas dia menjadi seorang bapa. Tugasnya ialah menghalang perkara haram yang berlegar dalam masyarakat daripada menghampiri keluarganya. Hal ini termasuklah memberi keluarganya makanan yang halal dan menjauhkan mereka daripada pelbagai jenis hiburan yang haram seperti yang disiarkan di kaca televisyen dan sebagainya. Dia digalakkan melayani isterinya dengan cara yang sangat baik. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. :

"Orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang terbaik terhadap isteri mereka." (Tirmidzi)

Pada hari ini seseorang boleh berjalan di khalayak ramai dan berbuat baik kepada ramai orang, dan mereka boleh mempunyai persepsi yang baik terhadapnya, contohnya mereka menganggapnya warak, tetapi di rumah dia ialah seorang yang kasar terhadap isterinya dan si isteri itu hidup dalam ketakutan terhadap suaminya. Daripada hadis yang dinyatakan, kita tahu bahawa orang yang paling layak menilai seseorang lelaki ialah isterinya kerana jika dia berlaku baik kepada isterinya, isterinya akan menyatakannya.




Si bapa mestilah berusaha mendapatkan wang yang halal dan memastikan semua urusannya adalah bertepatan di sisi Islam. Dia haruslah mengelakkan semua jenis urusan yang melibatkan riba. Apabila seseorang terlibat dengan riba walaupun nilainya kecil, keberkatan akan dicabut daripada pendapatannya dan Allah s.w.t. akan menjadi murka terhadapnya. Perkara ini membawa kesan negatif kepada seluruh isi rumah yang seterusnya akan menyebabkan pertelingkahan suami dengan isteri dan pengingkaran anak-anak.

Tugas lain seorang bapa ialah mendidik ahli keluarganya dengan nilai-nilai Islam. Pendidikan sekular juga sangat penting tetapi hal ini kurang mengajar  anak-anak untuk berakhlak. Pengetahuan Islam akan membantunya hidup sebagai seorang manusia yang sebenar setiap hari. Perkara ini akan mengajarnya menghormati ibu bapanya, orang-orang tua dan guru-guru. Ia juga akan mendidik dirinya untuk melayani anak-anaknya serta ahli keluarganya yang lain. Jika seorang bapa tidak mendidik keluarganya dengan nilai-nilai Islam, mereka dikhuatiri akan terlibat dengan perkara yang haram, dan kemudian mereka akan menjadi derhaka. Apabila semua ini berlaku, si bapa hanya perlu menyalahkan dirinya.

Seorang ibu mestilah mengetahui peranannya dalam keluarga. Tugasnya ialah menggembirakan suaminya dan mewujudkan suasana sayang menyayangi di dalam rumahnya. Dia patut teliti dalam membesarkan anak-anaknya dengan memberikan perhatian kepada mereka mengikut umur. Oleh sebab perhatian dan kasih sayangnya, anak-anak akan membesar dengan baik dan menjadi warak. Mereka akan menjadi patuh dan mempunyai akhlak yang baik. Mereka yang sedang membesar haruslah menunjukkan penghormatan yang besar terhadap ibu bapa mereka.

Anak-anak tidak patut mengucapkan perkataan yang kasar kepada ibu bapa mereka dan mengingkari ibu bapa tanpa sebab yang sesuai. Kepatuhan kepada ibu bapa adalah dalam dua perkara ; apabila ibu bapa adil kepada anak-anak dan mereka sendiri mempunyai sifat jujur dan baik, mereka akan dipatuhi. Jika tidak, pengingkaran akan muncul dalam ahli keluarga itu. Anak juga haruslah menjauhi rakan-rakan yang tidak baik kerana hal ini, tanpa keraguan, memusnahkan sifat individu itu dan menyebabkan mereka gagal mencapai matlamat. Jika setiap orang memainkan peranan masing-masing dalam keluarga dan membantu untuk membetulkan mereka yang tidak melakukan tugas mereka, maka keluarga ini akan menjadi apa yang dinyatakan dalam al-Quran sebagai 'penyejuk mata' untuk si bapa, dan segala perkara akan berjalan dengan lancar insha Allah.

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'A Dutiful Family is A Loving Family'

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.