Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Saturday 11 October 2014

Ujian Daripada Allah dan Ganjaran Kesabaran dan Keteguhan

Allah Taala memberitahu kita dalam al-Quran :

"Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya." (Al-Quran, 2:155-157)

Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa telah terpadam sebuah lampu, maka Rasulullah s.a.w. pun mengucapkan 'Innaa lillahi wa innaa ilaihi raji'un' (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali). Aishah r.a. berkata, "Ini hanyalah sebuah lampu." Baginda pun menjawab, "Segala yang menyusahkan hati seseorang mukmin itu ialah kesedihan." (Abu Daud dalam Marasil tulisannya)




Maksud kalimah 'Innaa lillahi wa innaa ilaihi raji'un'

Diterangkan dalam Tafsir al-Jalalayn bahawa ia bermaksud :

(Kami milik Allah) sebagai milik-Nya dan hamba-Nya, dan Dia boleh lakukan apa saja kepada kita mengikut kehendak-Nya. (Dan kepada-Nya kita kembali) di syurga, di mana Dia akan memberikan balasan kepada kita.

Menyedari akan Perhambaan

Kesabaran adalah keteguhan dalam perkara yang membawa kepada keredaan Allah.

Ibn Ajiba menyatakan : (Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar) iaitu, mmereka yang teguh dalam pencarian mereka. Mereka akan mencapai segala yang mereka inginkan, dan akan mendapat perkara yang perjuangkan. Mereka ialah orang-orang yang apabila berdepan dengan halangan ataupun cabaran, mereka menyedari bahawa mereka sangat memerlukan kepada sesuatu sebagai hamba Allah, dan mendekatkan diri mereka kepada kekuasaan-Nya. Jadi, mereka kembali kepada Allah dalam segala perkara. Allah pula akan mengurniakan kepada mereka perlindungan daripada semua perkara. Mereka itulah orang-orang yang mendapat perhatian istimewa daripada Tuhan mereka dan dekat kepada-Nya. (dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya) mendapat petunjuk untuk mendekati-Nya. (Ibn Ajiba, al-Bahr al-Madid)

Sheikhul Islam Abu Su'ud berkata dalam tafsir al-Quran tulisannya :

"Kesabaran bukan hanya dengan mengatakan 'Innaa lillahi' dengan lidah. Bahkan, ia adalah dengan menegakkan maksudnya dalam hati, sehingga seseorang itu menyedari akan tujuan penciptaannya; bahawa dia akan kembali kepada Tuhannya; mengingatkan seseorang itu kepada kurniaan Allah ke atasnya; dan mengingati bahawa segala kurniaan ini jauh lebih baik berbanding apa yang telah hilang melalui ujian yang lepas. Jika seseorang melakukan perkara ini, maka kesusahan akan menjadi mudah untuk dilalui.

Beliau meneruskan dengan menerangkan bahawa khabar gembira adalah apa yang dinyatakan kemudian: iaitu orang-orang yang teguh dan sabar ialah mereka yang benar-benar mendapat petunjuk ke jalan yang benar - yang mana merupakan sebab mereka berserah, merebahkan diri dan kembali kepada Allah dalam menerima ketetapan-Nya. Dan orang-orang inilah yang berjaya dalam mencapai matlamat keagamaan dan keduniaan, kerana sesiapa yang mendapat perhatian, rahmat dan keberkatan Allah tidak akan terlepas sesuatu yang perlu dicapai. (Tafsir Abu Su'ud)




Ibn Juzayy berkata :

Kesabaran dinyatakan dalam al-Quran di lebih daripada 70 tempat, disebabkan ketinggian kedudukannya dalam agama ini. Sesetengah ulama berkata bahawa semua perbuatan baik diketahui ganjarannya, melainkan kesabaran kerana ganjaran kesabaran tidak boleh diukur - kerana Allah Ta'ala berfirman, "Orang-orang yang bersabar akan diberikan ganjaran yang tidak ternilai."

Dan Allah jualah yang memberikan kejayaan.

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'Quranic Reflections: Divine Tests and the Great Virtue or Steadfast Patience' oleh Syeikh Faraz Rabbani
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.