Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Monday 27 January 2014

Islam dan Kosmologi – Bahagian I

Oleh : Uswatun Bahirah Binti Ahmad Hisham dan Jaysuman




Surah Qaf (50:6) : 

“Maka tidakkah mereka memerhatikan langit yang ada di atas mereka, bagaimana cara Kami membangunnya dan menghiasinya dan tidak terdapat retak-retak sedikit pun.”

Sejak ratusan tahun lalu, manusia cuba untuk memahami dan merungkai tentang rahsia penciptaan alam semesta yang terbentang luas ini. Pelbagai kajian kosmologi dan astronomi telah dilakukan dan bermacam teori dan penemuan sains yang telah dikemukakan bagi menerangkan apa yang terjadi di langit. Bidang kosmologi dan astronomi telah melahirkan ramai saintis hebat seperti Al-Battani, Al-Biruni, Ibnu Aflah, Az-Zarqiyali, Majriti termasuk juga saintis barat seperti Ptolemy, Keppler, Stephen Hawking, Edwin Hubble dan ramai lagi. Persoalan tentang bagaimana alam semesta bermula dan terbentuk telah menjadi subjek penting yang membawa kepada teori yang terkenal iaitu teori Big Bang pada tahun 1915 oleh Georges Lemaître. Teori Big Bang menyatakan bahawa alam semesta yang terbentuk sejak 13.70 bilion tahun dahulu sebenarnya bermula dari satu titik yang sangat padat dan panas, yang seterusnya mengembang dengan cepatnya. Setelah ledakan Big Bang, penyejukan alam semesta berlaku serta merta lalu menukarkan tenaga kepada pelbagai jenis zarah seperti proton, elektron dan neutron yang seterusnya membentuk jisim lain.

[Baca - Kosmologi; Kajian Kewujudan Alam Semesta]

Jika kita mengimbas kembali Al-Quran, surah Al-Anbiya ayat 30 :

“Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi dulu keduanya menyatu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal dari air maka mengapa mereka tidak beriman?”

Perhatikan perkataan ‘menyatu’ dalam ayat diatas yang mempunyai hubung kait dengan teori Big Bang di mana langit dan bumi dahulunya bercantum sebagai satu titik yang padu lalu Allah pisahkan antara keduanya. Walhalnya Al-Quran diturunkan 1400 tahun lalu kepada Nabi Muhammad SAW yang pada ketika itu belum ada teleskop dan peralatan canggih yang lain.

Setelah terjadinya alam semesta, bulan, bintang, planet galaksi dan lain-lain mula terbentuk. Sebagai contoh, nebula yang berasal dari perkataan Latin bermaksud ‘awan’ adalah kawasan di mana bintang mula terbentuk seperti Eagle Nebula. Kawasan ini mengandungi debu-debu, gas hidrogen, plasma, helium dan lain-lain yang akan membentuk bintang, bulan, planet, komet, asteroid meteor dan sebagainya. Dalam proses pembentukan bintang, semua gas dan debu berlanggar dan bercantum antara satu sama lain hingga menghasilkan jisim yang lebih besar yang menarik jisim-jisim lain. Semakin besar jisim yang terhasil, semakin kuat daya tarikan graviti di kawasan tersebut sehinggalah ianya menjadi cukup besar untuk membentuk sebuah bintang. Baki debu-debu dan gas kemudian membentuk planet dan juga objek-objek angkasa lain seperti asteroid, meteorite, planet kerdil, komet dan banyak lagi. Keseluruhan proses ini mengambil masa selama berbillion tahun. Dalam Al-Quran telah menyebut tentang rupa bentuk langit pada waktu kejadiannya dalam surah Al-Fussilat ayat 11 yang bermaksud:

“Kemudian Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit itu masih merupakan asap, lalu Dia berkata kepadanya dan kepada bumi: “Datanglah kamu keduanya menurut perintah-Ku dengan rela hati atau terpaksa.” Keduanya menjawab: “Kami datang dengan rela hati.”

Lihat perkataan ‘asap’. Bukankah ianya sama seperti nebula yang dimaksudkan? Bukti saintifik menunjukkan bahawa pada suatu saat seluruh alam semesta masih berupa 'gumpalan asap'. Sungguh apa yang diterangkan Allah S.W.T dalam Al-Quran semuanya semakin jelas dan nyata dikaca mata sains moden.

Setelah planet, bulan dan bintang terbentuk, kesemuanya beredar pada paksi masing-masing seperti disebut dalam Surah Yaasin ayat 40 :

“Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.”

Manakala dalam surah Ibrahim ayat 33 menerangkan :

“Dan Dia telah menundukkan matahari dan bulan bagimu yang terus menerus beredar dalam orbitnya dan telah menundukkan malam dan siang bagimu.”

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.