Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Sunday 20 July 2014

Meninggalkan Dosa : Preskripsi yang Mudah

Terdapat ramai Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia yang disebabkan pengaruh negatif dan elemen buruk, mendapati diri mereka semakin jauh daripada agama. Ramai yang lain duduk di atas pagar kerana ingin menikmati kedua-dua belah pagar - melibatkan diri dalam dosa dan juga mengamalkan sesetengah ajaran agama. Walau bagaimanapun, jauh di lubuk hati mereka ingin kembali ke jalan yang benar, menjadi baik, Muslim praktikal, turun dari pagar dan menikmati sisi-sisi baik dalam Islam. Jadi mereka menulis surat, emel, menelefon, mengfaks untuk mencari bimbingan dan arah tuju.

Kelemahan utama ialah mereka bergelumang dengan dosa; kadang-kadang banyak dosa dan banyak bergelumang dalam dosa tersebut. Satu preskripsi piawai yang saya berikan sebagai jawapan adalah seperti berikut. Alhamdulillah, ramai yang mengikuti preskripsi ini telah menemui hidup baru - yang penuh keamanan, kebahagiaan, keberkatan dan rahmat. Setelah merasakan kemanisan yang datang dengan kepatuhan, tiada lagi kemahuan untuk kembali ke mana-mana bentuk keingkaran.

1. Perkara ideal ialah kita halang diri daripada dosa kerana mencintai Allah Ta'ala. Dia telah memberikan banyak perkara kepada kita - Dia telah mengurniakan kepada kita segalanya dan sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia untuk mencintai orang yang baik dan pemurah kepada kita. Apakah yang telah Allah berikan kepada kita? Pandangan mata, pendengaran, percakapan, organ yang berfungsi dengan cara yang menakjubkan, anggota badan - semuanya berkhidmat untuk kita - untuk makan, minum, berjalan, duduk dan sebagainya. Nikmat harta benda : pakaian, tempat tinggal, kenderaan, makanan, minuman dan banyak lagi keselesaan yang lain. Kita gunakannya, tetapi adakah kita menyedari akan Si Pemberi yang Maha Pemurah? Adakah kita bersyukur atas kurniaan ini atau menunjukkan sebarang penghargaan kepada Pemberi?




2. Menyedari bahawa Allah Ta'ala bersama kita : Dia sedang menyaksikan, mendengar kita, Dia mengetahui semua dan segalanya mengenai kita; kita tidak boleh bersembunyi daripada-Nya; kita tidak boleh menyembunyikan perbuatan kita daripada-Nya. Kalau begitu, bukankah kita patut berasa malu untuk mengingkari-Nya jika Dia melihat kita? Bukankah kita mengingkari yang Maha Pemurah apabila kita melibatkan diri dengan dosa dalam pengetahuan-Nya?




3. Ingatlah bahawa para malaikat juga menyaksikan amalan kita; bahawa bumi ini sedang merakam perbuatan kita dan bahawa segalanya juga dicatatkan dalam buku amalan kita - bahawa kita bertanggungjawab kepada Allah Ta'ala pada Hari Kiamat. Tambahan pula, amalan kita juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w., jadi kita patut ambil perhatian sama ada amalan kita ialah sumber kegembiraan atau kesedihan buat baginda. Dengan itu, kita akan dapat mewujudkan perasaan malu dan rendah diri yang akan memudahkan kita untuk menjauhi perkara haram.

4. Muraqabah ialah bermuhasabah mengenai amalan yang dilakukan pada waktu siang. Kita perlu memikirkan amalan kita pada hari itu dan memohon keampunan atas kelemahan dan berazam untuk tidak kembali ke amalan buruk tersebut. Kita mestilah juga menunjukkan kesyukuran atas amalan baik dan berdoa agar bertambah amalan baik tersebut.

5. Fikirkanlah hakikat bahawa Malaikat Maut tidak akan memberikan penangguhan. Tidaklah patut apabila kita mengikut hawa nafsu dalam melakukan dosa, Malaikat Maut mendatangi kita dan berangkat dalam keadaan memalukan dan kemudian kembali kepada Allah di waktu Dia sedang murka, dan kematian ialah sesuatu yang memalukan kepada orang tersebut, keluarganya dan masyarakat yang mengetahui bahawa kematian tiba dengan dosa. Semoga Allah Ta'ala melindungi kita daripada kematian dalam keadaan mengingkari Allah, tetapi inilah realitinya. Kematian menjelma - lebih kerap lagi, tanpa diduga, dan tiada Muslim sebenar yang ingin disapa oleh Malaikat Maut dalam keadaan Allah Ta'ala tidak menyukainya. Saya kerap berkata : Kita sekarang mempunyai teh segera, dan kopi segera dan bijirin segera dan puding segera dan banyak lagi benda di pasaran yang segera - kita juga hidup di zaman di mana kematian juga segera. Jadi mana-mana dosa amatlah berisiko pada hakikat kematian. Hadis ini jelas : "Kita akan dibangkitkan pada Hari Kiamat sebagaimana kita telah mati dan kita akan mati sepertimana kita telah hidup." Apakah terdapat mana-mana Muslim yang ingin bangkit pada Hari Kiamat dalam dosa untuk seluruh umat manusia menyaksikan gaya hidup apa yang telah dijalaninya?




6. Fikirkanlah hakikat bahawa Allah Ta'ala telah mengurniakan kepada kita nikmat penglihatan, pendengaran, kesihatan, harta benda dan banyak lagi - dan juga telah memberikan nikmat kehormatan. Walau bagaimanapun, apa yang diberikan-Nya, boleh diambil-Nya juga. Dia dengan jelas mengatakan ketidaksyukuran atas nikmat-Nya akan menyebabkan azab yang berat. Jadi bukankah dosa satu bentuk penyalahgunaan dan ketidaksyukuran nikmat pendengaran, hati, minda dan anggota?

Sedikit peringatan mengenai kesan-kesan amalan tersebut dan sedikit mujahadah - dan alhamdulillah, penyakit ini diubati.

Disertakan dengan ini :

  • Hadiri ceramah oleh ulama bila-bila masa anda boleh, atau dengarkan rakaman ceramah mereka dan baca buku mereka untuk mendapatkan manfaat daripada teman yang warak dan berakhlak. Sertai aktiviti keagamaan dengan mereka yang mengikuti al-Quran dan sunnah. Insha Allah, anda akan mendapati perubahan yang besar dalam hidup anda dengan bertemankan orang-orang yang betul.
  • Berusaha untuk menunaikan solat tepat pada masanya. Lelaki patut berusaha untuk menunaikan solat Jumaat.
  • Baca bahan bacaan Islamik yang baik. Jauhi majalah atau buku yang mempunyai isi kandungan dan gambar yang kotor dan jijik.
  • Cuba tinggalkan televisyen. 90% daripada isinya haram. Jika seseorang menawarkan satu gelas yang penuh dengan air yang bersih dan suci dan menyebut bahawa terdapat hanya satu titik air kencing di dalamnya, adakah orang yang waras akan meminumnya?
  • Jika kebanyakan isi televisyen haram, apa yang patut kita katakan? Apabila pandangan, hati dan mata sedang menikmati dan melakukan perkara haram, apa lagi kesannya melainkan bergelumang dengan perkara haram.
  • Tundukkan pandangan daripada orang yang berjantina berlawanan.
  • Berpakaian sebagaimana yang patut oleh seseorang Muslim - pakai seluar di atas buku lali dan simpan janggut yang sama panjang dengan satu buku lima tidak patut dianggap sebagai amalan yang tidak signifikan. Perkara ini ialah ajaran Rasulullah s.a.w. yang ditekankannya. Walaupun harus memakai baju dan seluar, memakai pakaian seperti kurta mempunyai keistimewaan yang memberikan manfaat melalui cara yang berbeza. Orang yang berpakaian seperti ini akan berfikir banyak kali sebelum melibatkan diri dalam dosa secara terbuka apabila dia dilihat sebagai seorang yang warak. Jadi, pakaian dan penampilan ini akan memberikan perlindungan, insha Allah. Wanita juga patut berpakaian dengan cara yang patut seperti yang dituntut dalam shariah.
  • Dengan melakukan perkara ini, anda sudah memenangi separuh daripada peperangan ini. Dan ia tidaklah sesusah apabila syaitan dan nafsu menggoda kita. Hanya sedikit keberanian, usaha dan pengorbanan yang diperlukan.

Perkara ini hanyalah aspek asas dalam agama ini yang mana semua orang boleh mengimplementasi dengan cepat dan mudah. Ada juga perkara yang perlu dipenuhi dalam kewajipan seperti solat, zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan lain-lain, dan memenuhi hak keluarga, jiran dan sebagainya. Terdapat keperluan untuk membaca al-Quran dengan kerap, sekali dengan tafsir yang betul - sedikit demi sedikit, dan juga meluangkan masa untuk mempelajari hukum-hakam agama Islam dan membaca kisah hidup dan ajaran Rasulullah s.a.w., dan sebagainya. Membaca buku mengenai kebaikan amalan seperti solat, berpuasa, haji, bersedekah, zikir dan lain-lain oleh Sheikh Zakariyyah Saheb rahimahullah akan mewujudkan semangat untuk melakukan amalan ini.

Semoga Allah Ta'ala mengurniakan kepada kita cinta-Nya dan cinta Rasulullah s.a.w. sehingga kita boleh meninggalkan dosa dengan mudah dan berserah kepada ketaatan-Nya. Semoga Dia melindungi kita daripada segala keburukan nafsu dan syaitan. Semoga Dia mengisi hati-hati kita dengan cinta kepada agama yang indah ini dan memberikan inspirasi kepada kita untuk menjadi Muslim yang praktikal dan baik dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'Giving Up Sins : An Easy Prescription' oleh Maulana Yunus Patel Saheb

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.