Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Monday 27 January 2014

Islam dan Kosmologi – Bahagian II

Oleh : Uswatun Bahirah Bt Ahmad Hisham dan Jaysuman


New York Metropolitan Museum of Art, April 2003.


Seorang saintis Islam pada zaman Renaissance, Al-Biruni turut menyatakan bahawa bumi berputar pada paksinya mengelilingi matahari. Lebih istimewanya, penemuan ini dilakukan 600 tahun lebih awal daripada Galileo Galilei yang mencipta teleskop yang lebih sempurna setelah terciptanya teleskop pertama pada tahun 1609 di Belanda. Tambahan pula, bapa trigonometri, Al-Battani dapat membuat kiraan tahun dengan tepat iaitu setahun mengandungi 365 hari, 5 jam 46 minit dan 24 saat. Beliau turut mengubah sistem perhitungan sebelumnya di mana sehari mengandungi 60 jam kepada 12 jam siang dan 12 jam malam yang berjumlah 24 jam dalam sehari.

Hal ini turut dibuktikan oleh saintis Johannes Kepler pada tahun 1605 di mana beliau memperkenalkan Prinsip Pertamanya iaitu orbit setiap planet adalah berbentuk elips (ellipses), dengan matahari mejadi titik fokus dalam elips itu.

Cuba fikirkan secara logik, jika planet dan bulan bergerak secara rawak, dapatkah semua perkiraan ini dilakukan dan wujudkah siang dan malam yang teratur? Dengan kejadian siang dan malam, aturan hari, minggu, bulan dan tahun kita boleh menjalani hidup seharian dengan sempurna. Oleh sebab itulah semua planet dan bintang bergerak pada paksinya sepertimana yang Allah S.W.T aturkan.

Pada masa yang sama, alam semesta bukan hanya terbentuk dan kekal setempat, malah ia sebenarnya sedang berkembang pada kelajuan cahaya iaitu 300,000 km per saat. Hal ini ditemukan pada tahun 1927 oleh seorang saintis Belgium, Georges Lemaître. Beliau menerangkan semakin jauh sesebuah bintang dari bintang lain, semakin besar cahaya dari bintang itu dipindahkan ke spektrum merah, iaitu cahaya yang berfrekuensi rendah (redshift). Cahaya dari bintang tersebut mengambil masa tertentu untuk sampai ke bumi adalah kerana ianya ditegangkan oleh pengembangan alam semesta. Maka, semakin jauh perjalanan cahaya, semakin luas alam semesta mengembang jadi lebih besar penegangan cahaya atau redshift.

Profesor Edwin Hubble berjaya membuktikan bahawa galaksi-galaksi lain ada yang sedang menjauhi galaksi Bima Sakti dan ada pula yang mendekat. Pengukuran kadar perluasan alam semesta telah digunakan untuk mengira usia sebenar alam semesta iaitu dianggarkan berusia 13.70 billion tahun. Penemuan Pengembangan alam semester oleh Edwin Hubble adalah penemuan terbesar pada kurun ke-20. Menariknya, Allah S.W.T telah pun memberi kita tanda-tanda kejadian ini dalam Surah Az-Zariyat ayat 47 :

“Dan langit Kami bangun dengan kekuasaan Kami dan Kami benar-benar meluaskannya. Dan bumi telah kami hamparkan maka Kami sebaik-baik yang menghamparkan.”

Namun, seluas mana alam semesta ini mampu mengembang? Para saintis hanya mampu mengemukakan teori di mana ada yang berpendapat bahawa alam semesta akan terus mengembang selama-lamanya, atau terus mengembang dan mengecut semula (Big Crunch) atau mengembang dan berpecah (Big Rip). Teori Big Crunch adalah teori yang diterima oleh lebih ramai saintis walaupun ramai juga yang mempertikaikannya. Teori Big Crunch diperkenalkan berdasarkan teori relativiti Albert Einstein di mana alam semesta akan terus mengembang hingga sampai ke satu tahap, semua galaksi, planet, bintang, bulan, meteor, asteroid dan lain-lain akan ditarik ke satu pusat lalu membentuk lohong hitam (black hole) yang besar.

Analoginya adalah begini, jika kita melambung bola ke atas, bola itu akan terus melambung hingga ke satu tahap ia akan jatuh semula kerana tiada lagi kuasa yang menolaknya ke atas. Sama seperti alam semesta, bila ianya terus mengembang, sampai satu tahap di mana tarikan graviti antara galaksi melebihi nilai tertentu, alam semesta akan kembali semula ke pusat asal ianya bermula seperti dalam teori Big Bang. Jika dilihat dalam Surah Al-Anbiya ayat 104 :

“Dan ingatlah pada hari langit Kami gulung seperti menggulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya lagi. Satu janji yang pasti Kami tepati sungguh Kami pasti akan melaksanakannya.”

Allah menerangkan bahawa langit akan ‘digulung’ sepertimana ia berasal dari penciptaan pertama. Bila dilihat hubung kaitnya dengan teori Big Crunch di mana alam semesta akan kembali kepada bentuk asal ia dimulakan, bukankah teori ini menerangkan apa yang dikatakan Allah S.W.T ? Sebagai umat Islam, penulis percaya saat ini adalah apabila terjadinya hari kiamat seperti yang Allah S.W.T janjikan dalam Al-Quran.

Sebagai penutup, haruslah kita ingat bahawa Al-Quran bukanlah sebuah kitab sains yang memerlukan penemuan sains moden untuk membuktikan kebenarannya. Al-Quran itu sendiri adalah mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah menerangkan banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di serata alam yang terbentang luas ini dan pada diri kita sendiri sehingga ternyata jelas bahawa Al-Quran adalah benar. Hal ini disebutkan dalam Surah Fussilat, ayat ke-53 yang bermaksud :

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

Semoga penulisan ini dapat membuka mata hati kita semua untuk terus mengkaji menghayati keajaiban Al-Quran dan memberi manfaat buat semua insyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.