Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Tuesday 4 February 2014

Kita Tidak Dilahirkan Dalam Keadaan Berilmu, Kita Perlu Belajar

Bismillah

Diriwayatkan bahawa Umar ibn al-Khattab r.a. pernah berkata : "Setiap hari, kita diberitahu si fulan baru sahaja meninggal dunia. Yang pasti, satu hari nanti akan dikatakan : 'Umar telah meninggal dunia.'"

Mari kita renungkan sebentar. Satu hari nanti, akan dikatakan : "[Masukkan nama anda] sudah meninggal dunia."

Kematian bermaksud masa sudah tamat, peluang sudah tiada, tindakan sudah habis. Melainkan...

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : "Apabila seseorang mati, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara : Sedekah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat, dan anak-anak yang mendoakannya." (Sahih Muslim)

Insha Allah, ramai daripada kita mampu untuk menderma dan menjadi sukarelawan dan mungkin mempunyai anak, tetapi bagaimana boleh kita dapatkan perkara yang kedua di atas jika kita bukan ilmuwan? Terdapat banyak cara untuk seseorang menyampaikan ilmu yang bermanfaat; menganjurkan halaqah ataupun persidangan untuk berkongsi pengetahuan kita dengan orang lain.

Terdapat satu lagi cara untuk kita lakukan perkara yang sedemikian, iaitu sesuatu yang diberikan ganjaran yang lebih besar daripada memberikan al-Quran walaupun itu merupakan satu perbuatan sedekah jariah yang terpuji.

Mempelajari dan Mengajarkan al-Quran

Kepada para pembaca yang sudah membaca subtopik ini dan ingin berhenti membaca kerana anda merasakan artikel ini bukan untuk anda - nanti dulu, artikel ini memang untuk anda.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : "Orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Bukhari)




Mungkin apabila sebahagian kita membaca hadis ini, kita secara automatik menafikan bahawa kita boleh termasuk dalam kalangan orang sedemikian dan mengaitkan ganjaran yang dijanjikan kepada para sheikh, hafiz al-Quran, orang yang dilahirkan dalam keluarga yang warak sahaja - tetapi kita tidak pernah terfikir bahawa kita boleh berusaha bersungguh-sungguh dan kita boleh menjadi seperti orang-orang tersebut.

Adakah anda berfikir : "Saya!? Menjadi guru al-Quran?... Saya!?"

Kalau begitu, kepada siapakah hadis ini ditujukan, jika bukan anda, wahai Muslim yang sangat berpotensi?

Seorang guru al-Quran pernah mengatakan beliau dan guru-guru al-Quran yang lain tidak dilahirkan dalam keadaan mengetahui al-Quran, mereka juga perlu belajar dan melakukan kesilapan. Tapi akhirnya, mereka belajar.

Ganjaran Mengajar al-Quran yang Tidak Boleh Dibayangkan

Fikirkanlah : Jika anda mengajarkan abjad Arab dan/atau tajwid kepada hanya seorang, anda boleh mendapat ganjaran daripada seluruh keturunannya dan generasi masa depan insha Allah. Hal ini tidak mengambil kira ganjaran yang anda peroleh melalui pencarian ilmu dan mempelajari al-Quran.

Bagaimana?

Insha Allah anda dan mereka yang anda ajarkan akan sekurang-kurangnya mengajar anak-anak mereka. Kemudian, mereka akan mengajar anak-anak mereka, yang akan mengajar anak-anak mereka pula, dan seterusnya insha Allah. Bagi setiap individu dalam keturunan anda dan keturunan pelajar-pelajar anda, anda akan mendapat ganjaran untuk setiap huruf al-Quran yang mereka bacakan.

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, dia akan diberikan ganjaran pahala, dan sesuatu ganjaran itu digandakan sebanyak sepuluh kali. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (at-Tirmidzi)

Allah s.w.t. Maha Mengasihani lagi Maha Pemurah.

Mencari Keredaan Allah Taala

Pada tahap ini, saya ingin mengingatkan kita untuk merakamkan gambaran dan matlamat besar dalam minda apabila mempelajari al-Quran dan Islam. Di sini, matlamat dan visinya bukanlah untuk mendapatkan status ustaz atau hafiz sahaja. Seperti yang kita ketahui, amalan ini bukanlah untuk mendapatkan sijil, gelaran ataupun pujian. Ia hanyalah untuk Allah s.w.t. - untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan mendapatkan keredaan-Nya.

Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk menunjukkan bahawa mempelajari dan mengajar al-Quran merupakan sesuatu yang setiap daripada kita boleh usahakan, lalu ia menjadi cara yang mudah untuk mewariskan ilmu yang boleh memberi manfaat kepada kita selepas kematian. Mempelajari kata-kata Allah ialah salah satu cara yang mulia untuk memenuhi tujuan hidup kita dan matlamat yang lebih besar untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t..

Mempelajari dan mengajar al-Quran ialah satu amalan sedekah jariah yang boleh dicapai tanpa kos yang diperlukan untuk memulakan kebajikan atau membina organisasi. Ia satu amalan yang boleh dilakukan oleh ramai orang kerana ia tidak memerlukan banyak wang atau menyewa ruang pejabat. Ia memerlukan keikhlasan, kesabaran, cita-cita, seorang guru, senaskhah mushaf, sedikit masa dan kurniaan Allah s.w.t..

Mempelajari dan Mengajar al-Quran

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : "Orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Bukhari)

Apa yang saya dapati baru-baru ini mengenai hadis di atas ialah ia mengakui proses ini dan dengan spesifik menyatakan mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya; ia tidak hanya mengatakan orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah mereka yang mengajarkan al-Quran.




Mereka yang mengajarkan al-Quran di masjid, sekolah dan rumah bukan hanya mereka yang mempunyai keturunan Islamik dalam keluarga mereka ataupun mereka yang membesar di kampung yang diketahui kerana tajwid yang bagus. (Ustazah dan hafizah) Kareema Carol Czerepinski ialah salah satu contohnya - beliau merupakan seorang muallaf Amerika yang menghafal al-Quran, menjadi pakar tajwid dan menulis buku-buku dalam bidang tersebut! Jadi, saya menganggap hadis ini sebagai satu dorongan, satu galakan bagi setiap pelajar, pemilik kedai dan jurutera untuk keluar dan berusaha menjadi orang tersebut - untuk belajar (secara berterusan) dan kemudian mengajar (apabila layak melakukannya).

Isu Masa

Sebahagian daripada kita berasa sibuk dan tertanya-tanya bagaimana untuk memulakan kelas al-Quran selain kerja yang ada.

Pelajar-pelajar dan guru-guru al-Quran sudah mengakui bagaimana Allah Taala boleh memberkati masa anda. Dia boleh menjadikan kerja sekolah anda siap lebih cepat atau membantu anda memahami pelajaran dengan lebih mudah. Allah Taala memudahkan dan insha Allah anda akan mendapati kemahiran pengurusan masa anda menjadi lebih baik. Seorang wanita yang pernah mempelajari salah satu cabang ilmu al-Quran semasa menuntut di universiti berasa risau terhadap peperiksaannya. Pun begitu, dia masih mendapat markah yang lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. Allah boleh memudahkan masa dan urusan anda jika kita cuba memperuntukkan masa untuk Kitab-Nya.




Mempelajari tajwid/bacaan al-Quran sehingga ke tahap yang tepat di mana seseorang layak untuk mengajarkannya boleh memakan masa bertahun-tahun, tetapi itu tidak boleh menjatuhkan semangat anda - ia merupakan satu pelaburan untuk keimanan kita dan tempat tinggal yang kekal abadi di akhirat. Kita sudah menghabiskan sekurang-kurangnya 12 tahun di sekolah sepenuh masa, jadi pembelajaran al-Quran setengah masa bukanlah satu komitmen yang membebankan.

Seorang sheikh pernah berkata bahawa jika seseorang tidak mampu menghafal al-Quran dalam tempoh masa yang pendek, jika seseorang Muslim hanya menghafal satu juzuk setahun, dia boleh menghafal keseluruhan al-Quran dalam tempoh 30 tahun. Sama ada 2, 5 atau 20 tahun, masa hayat yang diluangkan untuk mempelajari al-Quran termasuk dalam masa yang digunakan untuk mengejar antara perkara yang paling mulia, iaitu berusaha mendekati Allah Taala dengan mempelajari kalam-Nya. Kita hanya perlu menetapkannya sebagai niat dalam hati kita dan memperuntukkan sedikit masa untuk merealisasikannya, sama ada sebanyak 10 minit atau 2 jam sehari. Jika kita mahukannya, kita akan berusaha ke arahnya walaupun jika ia mengambil sepanjang hayat.

Dan masanya ialah sekarang - seperti yang ramai orang akan memberitahu anda, tidak ada masa dalam hidup yang mana kehidupan menjadi 'kurang sibuk'. Kita benar-benar tidak mengetahui berapa lama kita hidup, jadi marilah rebut peluang ini.

Menetapkan Niat

Jadi adakah anda akan melakukannya? Bulatkan niat sekarang hanya untuk keredaan Allah Taala. Dan percaya dalam hati bahawa anda boleh melakukannya dengan bantuan dan rahmat Allah!

Persis kata-kata pujangga, perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama. Dan perjalanan tersebut boleh menjadi diberkati kerana Allah Taala mendekati orang yang berusaha dengan ikhlas untuk mendekati-Nya. Dia boleh mengurniakan kepada kita peluang yang tidak dapat dibayangkan jika anda mempunyai niat yang ikhlas dan kesungguhan.

Lihat Kepada Potensi, Bukan Halangan




Sematkan cita-cita seiring dengan tawakkal - lihat lebih jauh daripada keadaan anda sekarang kepada potensi yang lebih besar yang hanya boleh dicapai dengan bantuan, rahmat dan izin Allah s.w.t..

Tidak mengapa jika anda pada ketika ini hampir tidak mampu untuk membaca dengan baik, tapi ia akan mempengaruhi jika anda mengalah, ataupun cuba lagi dan lagi. Kita tahu bahawa kejayaan dan ilmu datang daripada Allah, jadi akan datang satu masa bilamana kita bukan saja mampu mencapai penghujung sesuatu ayat tanpa penat mental, malah boleh membaca satu muka surat dengan indah tanpa tersekat, dan dengan merasakan diri tersentuh oleh ayat-ayat Allah Taala!

Dan jika anda sudahpun mencapai tahap itu, kita boleh memaksimakan ilmu kita dengan berusaha memahami al-Quran dan juga berlatih untuk mengajar orang lain.

Jadi, marilah kita tidak mengalah - Rabb kita ialah al-Khabir (Yang Maha Meliputi Pengetahuannya) dan al-Shakur (Yang Maha Memberi Penghargaan).

Bertindak Mengikut Niat

Tanya pihak masjid dengan anda mengenai guru tajwid ataupun institusi pengajian Islam di tempat anda. Adalah penting untuk mencari guru/program/institusi di mana anda boleh belajar untuk tempoh masa yang panjang, tetapi tempoh masa yang pendek juga sudah cukup baik.

Jika anda memerlukan lebih fleksibiliti dan kemudahan melalui pengajian atas talian, saya cadangkan Studio Arabiya yang menawarkan pembelajaran peribadi dengan guru-guru bahasa Arab dan al-Quran yang berkelayakan dari Timur Tengah.

Dengan izin Allah s.w.t., saya harap siri ini akan menggalakkan kita untuk terus belajar dan insha Allah satu hari nanti mengajarkan al-Quran (tidak kira sama ada kita berniat untuk mengajar ataupun tidak, mempelajari sebanyak yang kita boleh patut kita lakukan). Di penghujung hari, kita minta petunjuk daripada Allah untuk membawa kita ke jalan yang diredai-Nya.

Kesilapan dan mana-mana yang salah adalah daripada diri saya sendiri. Saya mohon ampun dan maaf jika apa yang saya tulis telah menyakiti hati anda, dan segala pujian adalah milik Allah s.w.t..

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'We Weren't Born Knowing, We Had To Learn' oleh Amal S

No comments:

Post a Comment

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.