Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Monday, 20 January 2014

Jesus (Isa a.s.) Dalam Islam

Dilahirkan oleh Seorang Ibu Dara

Seperti orang Kristian, Muslim juga percaya bahawa Mary, Maria dalam bahasa Sepanyol, ataupun Maryam dalam bahasa Arab, ialah seorang wanita suci dan dara yang dengan ajaib melahirkan Jesus (Isa a.s.). Kelahiran baginda merupakan satu keajaiban kerana baginda tidak mempunyai bapa. Allah menerangkan perihal kelahirannya dalam al-Quran :

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) dalam al-Kitab perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri daripada keluarganya di sebuah tempat di sebelah timur. Kemudian dia membuat penghalang, maka Kami hantarkan kepadanya roh Kami lalu ia menyamar sebagai seorang lelaki yang sempurna kejadiannya. Dia (Maryam) berkata : "Sesungguhnya aku berlindung dengan Ar-Rahman daripadamu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa." Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk mengurniakan seorang anak yang suci." Maryam bertanya : "Bagaimanakah aku mendapat seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" Ia menjawab: "Demikianlah; Tuhanmu berfirman : "Hal itu mudah bagi-Ku; dan Kami hendak menjadikannya sebagai satu tanda untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya." (Al-Quran, 19:16-21)

Walau bagaimanapun, hakikat ini tidak menjadikan Jesus a.s. Tuhan pada asasnya ataupun dari segi kerohanian, dan baginda tidak juga layak disembah, kerana kejadian Adam a.s. lebih ajaib berbanding Jesus a.s.. Jika kelahiran ajaibnya ialah bukti bahawa baginda merupakan jelmaan Allah ataupun anak-Nya, maka Adam lebih berhak mendapatkan kedudukan ini berbanding Jesus a.s.. Akan tetapi, kedua-dua mereka hanyalah nabi yang mendapat wahyu daripada Tuhan Yang Maha Besar, dan mereka ialah hamba-Nya yang hidup berdasarkan perintah-Nya.

"Sesungguhnya perbandingan Isa di sisi Allah adalah sama seperti Adam. Allah telah menciptakannya daripada tanah lalu berfirman kepadanya : "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia." (Al-Quran, 3:59)



Keajaiban

Muslim, seperti orang Kristian percaya bahawa Jesus a.s. melakukan keajaiban. Keajaiban-keajaiban ini dilakukan dengan izin dan kehendak Allah Yang Berkuasa atas segala sesuatu.

"Ingatlah ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul Qudus, iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia dalam buaian dan sesudah dewasa; dan ingatlah ketika Aku mengajarmu al-Kitab dan al-Hikmah dan Taurat dan Injil; dan ingatlah ketika engkau jadikan daripada tanah bentuk burung dengan izin-Ku, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izin-Ku; dan ingatlah ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izin-Ku; dan ingatlah ketika Aku menghalang Bani Israil daripadamu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan, lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata : "Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata"" (Al-Quran, 5:110)




Allah mengutuskan para nabi dengan mukjizat (keajaiban) yang khas kepada kaum mereka untuk membuktikan kebenaran mesej yang dibawa. Keajaiban-keajaiban ini tidak dilakukan kerana kemampuan mereka, bahkan ia hanyalah kelihatan sedemikian dengan izin Allah. Keajaiban yang dilakukan oleh Jesus a.s. tidak berbeza. Orang-orang Yahudi pada waktu itu begitu maju dalam bidang perubatan, dan keajaiban yang dilakukan oleh baginda adalah dalam bidang ini, sekali gus membuktikan kebenaran mesej-Nya dan untuk meyakinkan orang-orang Yahudi.

Ketuhanan Baginda

Muslim mempercayai Keesaan Allah Yang merupakan Kuasa Besar yang bebas daripada had, keperluan dan kehendak manusia. Dia tidak mempunyai pasangan dalam kerajaan-Nya. Dia ialah Pencipta segalanya dan berbeza sepenuhnya dengan makhluk-Nya, dan segalanya patut menyembah-Nya sahaja.

Mesej inilah yang dibawa oleh semua nabi berkenaan Tuhan, termasuk Jesus a.s.. Baginda tidak pernah mengatakan dirinya Tuhan, dan tidak juga mengatakan dirinya layak disembah. Baginda tidak pernah mengatakan dirinya anak Allah ataupun sebahagian daripada 'Trinity', bahkan baginda ialah seorang rasul Allah yang dihantar kepada kaum Yahudi untuk mengembalikan mereka kepada agama yang sebenar, penyembahan Allah Yang Maha Esa dan mengikut ajarannya. Kebanyakan ayat al-Quran yang berkaitan dengan Jesus a.s. membincangkan aspek ini. Ayat-ayat tersebut membuktikan bahawa baginda dianggap sebagai objek penyembahan disebabkan penipuan yang diwujudkan terhadapnya. Hal ini menegaskan bahawa Jesus a.s. dalam hidupnya pernah menafikan bahawa baginda layak disembah, dan ia menyokong hakikat bahawa perumpamaan dan contoh yang Allah berikan membuktikan lumrah kemanusiaannya, dan bukan ketuhanannya atau hubungan anak-beranaknya dengan Allah. Allah menceritakan perihal Jesus a.s. dalam al-Quran :

"Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah al-Masih Ibni Maryam." Padahal al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Bahawasanya sesiapa yang menyekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah mengharamkan baginya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiada seorang penolong pun bagi orang-orang zalim". (Al-Quran, 5:72)

Allah menyatakan mengenai doktrin 'Trinity' di dalam Al-Quran:

"Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang berkata : "Bahawasanya Allah adalah yang ketiga daripada tiga." Padahal tiada Tuhan melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir daripada mereka akan dikenakan azab yang tidak terperi sakitnya. Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya? Padahal Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.Tiadalah al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang rasul yang telah terdahulu sebelumnya rasul-rasul dan ibunya seorang perempuan yang benar, mereka berdua adalah memakan makanan. Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka keterangan-keterangan, kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan." (Al-Quran, 5:73-75)

Dan juga :

"Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam hal ehwal agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; Sesungguhnya al-Masih Isa ibn Maryam pesuruh Allah dan kalimah-Nya yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan juga roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan : "Tiga." Berhentilah, ia baik bagi kamu. Bahawasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci-Nya daripada mempunyai anak. Bagi-Nya jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal." (Al-Quran, 4:171)


Gambar hiasan menunjukkan konsep 'Trinity'



Kepercayaan konsep ‘trinity’ merupakan sesuatu yang bercanggah terhadap zat-Nya :

"Dan mereka berkata : "Ar-Rahman mempunyai anak." Sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian, dan bumi pula hampir terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, kerana mereka mendakwa mengatakan Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tidak layak bagi Ar-Rahman untuk mempunyai anak. Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada Ar-Rahman, sebagai hamba." (Al-Quran, 19:88-93)

Pada Hari Kiamat, Jesus a.s. akan menjelaskan salah faham ini. Allah memberikan kita gambaran mengenai apa yang baginda ucapkan apabila ditanya mengapa manusia menyembahnya :

"Dan ingatlah ketika Allah berfirman : "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia : 'Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?'" Isa menjawab : "Maha Suci Engkau! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak. Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri-Mu; Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib. Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu : 'Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu', dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Quran, 5:116-117)

Dalam ayat-ayat ini, Allah menyatakan bahawa penyifatan Jesus a.s. sebagai anak Allah ataupun sebahagian daripada 'Trinity' merupakan satu penghinaan terhadap-Nya. Hal ini adalah disebabkan oleh hakikat asas bahawa Allah Maha Esa dan berbeza dengan mana-mana ciptaan-Nya; dan juga dari sudut zat-Nya, Dia Unik dari segi kerajaan-Nya, sifat-sifat-Nya dan kebesaran-Nya. Semua di atas membentuk monoteism ketat yang Dia wahyukan dalam risalah-risalah-Nya, dan daripadanya adalah yang pertama daripada Sepuluh Rukun (Ten Commandments). 

Mengatakan Allah mempunyai anak ialah sesuatu yang bertentangan dengan tujuan Dia menciptakan makhluk dan mengutuskan para rasul. Allah menyatakan dalam al-Quran :

"Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku." (Al-Quran, 51:56)

Dia juga berfirman :

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan setiap umat seorang rasul (untuk menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut." Maka di antara mereka, ada yang diberi hidayah oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itun kembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasul-Nya." (Al-Quran, 16:36)

Misi Baginda

Seperti yang sudah dibincangkan, al-Quran dengan jelas menegaskan bahawa Jesus a.s. ialah seorang nabi, dan tidak lebih daripada itu. Sesungguhnya para nabi ialah ciptaan terbaik. Mereka dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu-Nya, dan pada masa yang sama, mereka ialah perwakilan Allah dan tidak layak disembah. Jesus a.s., seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, tidak berbeza daripada mereka dalam hal ini.

Sepanjang al-Quran, Jesus a.s. diterangkan secara asasnya sebagai utusan Allah yang dihantar kepada orang-orang Yahudi yang setelah beberapa lama, menyimpang daripada ajaran Moses (Musa a.s.) dan nabi-nabi lain.

"Dan ingatlah ketika Isa ibni Maryam berkata : "Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku pesuruh Allah kepada kamu, untuk mengesahkan kebenaran apa yang diturunkan sebelumku, iaitu Taurat..." (Al-Quran, 61:6)

Isa bin Maryam a.s. ialah nabi terakhir daripada keturunan Yahudi. Baginda hidup berdasarkan kitab Taurat, iaitu Undang-undang Musa, dan mengajar pengikut-pengikutnya perkara yang sama.

Dalam aspek ini, baginda dan mesejnya tidak berbeza daripada yang dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya yang diutus oleh Allah. Mereka semua menyeru kepada menyembah Tuhan Yang Satu, dan mentaati perintah-perintah-Nya. Baginda secara ajaib dikuatkan oleh Allah semasa dalam kandungan, kelahiran dan zaman kanak-kanaknya. Baginda juga disokong oleh pelbagai keajaiban untuk membuktikan baginda ialah utusan Allah. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang Yahudi menolak kerasulannya.

Jesus a.s. bukan hanya menegaskan kebenaran kitab-kitab sebelumnya, malah baginda memberitahu perihal kedatangan seorang rasul selepasnya. Allah berfirman :

"Dan ingatlah ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata : 'Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku pesuruh Allah kepada kamu, untuk membenarkan apa yang diturunkan sebelumku, Taurat, dan memberikan berita gembira berkenaan kedatangan seorang rasul selepasku yang bernama Ahmad.'" (Al-Quran, 61:6)


Kedatangan Kedua Jesus a.s.

Seperti orang Kristian, Muslim juga mempercayai kedatangan semula Jesus a.s. ke bumi, walaupun peranan dan sebab kedatangannya berbeza dengan yang dipercayai oleh orang Kristian. Kembalinya baginda ke bumi adalah untuk membuktikan sifat kemanusiaan baginda dan menyangkal salah faham manusia terhadapnya. Baginda akan menjalani hidup biasa, berkahwin, dan juga mati sebagai seorang manusia. Pada waktu itu, hal berkenaannya menjadi jelas, dan manusia akan mempercayai bahawa baginda ialah seorang manusia.

"Dan tidak ada seorang pun dari kalangan Ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepadanya sebelum kematiannya dan pada Hari Kiamat kelak dia akan menjadi saksi terhadap mereka." (Al-Quran, 4:159)



Jesus a.s. juga akan menentang al-Masih palsu yang akan menyeru manusia agar mempercayai dialah Tuhan dan yang akan muncul sebelum kedatangan baginda. Jesus a.s. akan menewaskan Antichrist itu, dan manusia akan menerima agama sebenar daripada Allah. Dunia akan menyaksikan keamanan dan kedamaian yang belum pernah dinikmati dalam sejarah, kesemuanya menyembah Tuhan yang sama, menyerah diri kepada-Nya sahaja dan berdamai antara satu sama lain.

*Artikel dipetik, diubahsuai dan diterjemahkan daripada artikel 'Jesus in Islam' oleh M. Abdul Salam

Saturday, 18 January 2014

Ummah Awakening Seminar 2014




[ PENDAFTARAN DIBUKA SEKARANG ]

Program:
UMMAH AWAKENING SEMINAR 2014

Tarikh:
21-22 Februari 2014 (Jumaat - Sabtu)

Masa:
8.00am - 5.00pm (Hari pertama)
8.00am - 1.00pm (Hari kedua)

Tempat:
Dewan Al-Banna, Kompleks IKRAM Johor.
Alamat: No. 10-11, Jalan Pendidikan 3, Taman Universiti, 81300 Skudai, Johor Bahru, Johor Darul Takzim.

Maklumat:
-Terbuka kepada 80 peserta pertama (muslim sahaja) sahaja.
-Sijil, buku, makan & minum akan disediakan.
-Seminar adalah dalam Bahasa Malaysia.
-Sila daftar melalui Online dibawah:

[UPDATE 29 JANUARI 2013: PENDAFTARAN DITUTUP]

Monday, 13 January 2014

Bagaimana Rasulullah s.a.w. Melayan Muslim-muslim Baru

Kita semua menyukai satu saat bilamana seseorang lelaki ataupun wanita memasuki masjid pada hari Jumaat, kemudian mengucapkan syahadah, dan seluruh masjid akan mengucapkan "Takbir, Allahu Akbar"; Saya tidak dapat menafikan bahawa saat ini memang mengagumkan, menyaksikan seseorang baru sahaja menemui jalan yang benar, dan mengambil satu langkah lebih dekat kepada Tuhan.

Soalan yang pahit : Apakah seterusnya? Bagaimanakah komuniti Muslim mengalu-alukan Muslim baru itu? Apakah nasihat yang akan diberikan kepada mereka dan bagaimanakah mereka memulakan perjalanan panjang mempelajari agama Allah?




Saya cuba mencari kehidupan Rasulullah s.a.w. untuk mengkaji cara apa yang digunakan ke atas para sahabat yang baru memeluk Islam. Kadang-kadang aspek ini kita terlepas pandang apabila kita hanya fokus kepada peristiwa tersebut (mengucapkan syahadah) dan menganggapnya matlamat mutakhir dalam dakwah, dan kita tinggalkan - atau menganggap kurang penting - nasihat atau kurikulum pasca syahadah yang diberikan kepada saudara baru.

1. Mengiktiraf bakat saudara baru tersebut

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Orang yang terbaik dalam kalangan kamu semasa zaman Jahiliyyah adalah yang terbaik selepas memeluk Islam, dengan syarat mereka mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang benar mengenai Islam." (Bukhari dan Muslim).

Setiap insan mempunyai bakat dan kebolehan yang unik, dan Rasulullah s.a.w. mengakui hakikat ini dan menggalakkan para sahabat sejak detik mereka memeluk Islam. Dua insan hebat dalam sejarah Islam, Khalid ibn al-Walid dan 'Amr ibn al-'As, memeluk Islam pada hari yang sama dan memberikan kelebihan yang besar kepada agama ini. Khalid ialah orang yang membawa tentera Islam menakluk Iraq, Parsi, Armenia dan Syam (Syria dan Lubnan). 'Amr ibn al-'As ialah orang yang menyebarkan Islam di Palestin dan Mesir.




Bayangkan impak besar yang dua orang ini berikan kepada Islam, dan berapa ramai orang diperkenalkan kepada Islam dan kemudian menyumbang kepadanya dan kepada umat manusia. Semua ini dipengaruhi oleh mereka yang baru (dalam perbandingan kepada sahabat yang lain, lewat) memeluk Islam. Amat menarik untuk kita ketahui bahawa kedua-dua mereka menentang Rasulullah s.a.w. dan orang Muslim dengan hebat pada awalnya; kedua-duanya pernah menumpahkan darah Muslim, terutamanya Khalid ibn al-Walid yang merupakan sebab utama kekalahan Muslim dalam peperangan di Uhud. Walaupun begitu, lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. mengalu-alukan kedua-dua mereka ke dalam keluarga Muslim :

- "Ya Allah, dia (Khalid) ialah salah satu pedang-Mu, maka bantulah dia." Sejak itu, Khalid digelar Pedang Allah.

- "Semua orang menjadi Muslim, tetapi 'Amr ibn al-'As menjadi mukmin." (menunjukkan bahawa dia dengan segera mendapat kedudukan yang lebih tinggi berbanding Muslim lain. Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmidzi)

Khalid diberikan hak kepemimpinan tentera Muslim dalam banyak peperangan, tanpa menjadi masalah kepada sahabat yang lebih mengetahui al-Quran daripadanya dan memeluk Islam bertahun-tahun lebih awal daripadanya. Sirah nabi memberitahu kita mengenai sesetengah peperangan di mana Khalid mengambil tindakan yang salah kerana kekurangan pengetahuannya; hal ini tidak menjatuhkan kedudukannya atau tidak menjadikan Rasulullah s.a.w. merendahkan kebolehannya dan sumbangannya kepada umat Islam.

2. Memberikan mereka perhatian istimewa



'Amr ibn al-'As berasa kagum terhadap perhatian khas yang Rasulullah s.a.w. berikan kepadanya. Dia menyangka bahawa dialah sahabat yang paling dikasihi oleh baginda, dan terus bertanya kepada baginda pada suatu hari : "Wahai Rasulullah, siapakah yang paling engkau cintai?" dan baginda menjawab : "Aishah";

- daripada kalangan lelaki?
- bapanya (Abu Bakr)
- Kemudian?
- Umar...

Daripada kata-kata 'Amr : "Selepas itu, Rasulullah menyebut banyak nama, dan hal ini membuatkan aku diam, kerana aku takut baginda akan meletakkan aku di hujung senarainya..." (Al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w. mempunyai kesan lembut ini ke atas semua yang berada di sekelilingnya, terutamanya mereka yang baru memeluk Islam, yang membuatkan 'Amr benar-benar menyangka dialah sahabat yang paling rapat di sisi baginda.

3. Misi dakwah sejak hari pertama

Sesetengah sahabat ditugaskan untuk mengajar Islam sejak hari pertama, dan diberikan kursus dakwah untuk tujuan tersebut. At-Tufail ibn 'Amr ad-Dawsi menerima Islam pada awalnya di Makkah, dan terus kembali ke kabilahnya untuk menyampaikan mesej kebenaran. Dia mempunyai cara yang kasar dalam menyampaikan Islam di mana dia memberitahu orang : "Sama ada kamu mengikut Islam ataupun saya tidak akan bercakap dengan kamu lagi!" Walaupun cara ini tidak berkesan pada tahun 2014 di pinggir bandar Manhattan atau Paris, nampaknya ia berkesan untuk sesetengah ahli kabilahnya dan bukan pada kesemuanya.

Dia kembali kepada Rasulullah s.a.w. (ini ialah perjumpaan keduanya dengan baginda selepas memeluk Islam) dan mengadu mengenai kaumnya. Baginda berdoa untuk kabilah Daws dan memberitahunya : "Kembali kepada kabilahmu, ajak mereka kepada Allah dan berlembutlah dengan mereka." (Ibn Ishaq)





4. Perubahan sikit demi sikit pada akhlak manusia

Ramai orang mungkin menerima idea menyerah diri kepada satu Tuhan, tetapi mereka mempunyai masalah dengan sesetengah perintah (seperti hijab, berpuasa sepanjang Ramadan, dll.). Kabilah Thaqif bersetuju memeluk Islam tetapi mereka memberitahu Rasulullah s.a.w. : "Kami tidak akan melakukan kebajikan, dan kami tidak akan berperang di jalan Allah." Baginda menerimanya, dan memberitahu sahabatnya : "Mereka akan (dengan rela) melakukan kebajikan dan berjihad apabila mereka memeluk Islam." (Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani). Sekali lagi, kita nampak kebijaksanaan baginda dalam mengenal pasti kelemahan manusia dan berurusan dengan mereka berdasarkan hal tersebut.

Sahabat lain mempunyai sesetengah permintaan, seperti bersolat dengan sujud tanpa rukuk (Ibn Rajab, Jami' al-'Ulum Wal-Hikam), dan yang lain meminta kebenaran untuk menunaikan dua solat fardu sahaja dan bukannya lima.

Adalah penting untuk kita lihat bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mengubah ajaran Islam untuk orang seperti mereka; bahkan baginda menganggapnya sebagai peringkat pengenalan yang diberikan kepada orang tertentu dalam perjalanan baru mereka kepada Islam. Pengecualian tersebut tidak diberikan semasa khutbah Jumaat, contohnya, dan tidak diajar dan disebarkan oleh sahabat lain; Semua insiden tersebut dan yang lain mengajar kita bagaimana utusan Rasulullah s.a.w. (iaitu kita) sepatutnya bijak dalam mengajak manusia kepada agama yang hebat ini.

Kadang-kadang dan dalam sesetengah situasi dengan sesetengah orang, meningkatkan kesusahan dan mencabar orang akan memberikan hasil yang terbaik. Dalam situasi lain, kita perlu memahami kelemahan manusia dan memberikan mereka rancangan sikit demi sikit sementara mereka membiasakan diri, sudah tentu tanpa kompromi terhadap asas-asas dan perkara penting dalam agama kita.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'How The Prophet Treated New Muslims' oleh Mohannad Hakeem

Mencari Kawan Yang Betul

'Orang yang menjadi kawan kita melambangkan diri kita'

Saya masih ingat suatu masa dahulu, ibu bapa saya sentiasa menasihati saya dan adik-beradik saya agar berkawan dengan orang yang baik. Bapa saya mempunyai satu kata kegemarannya, "Tunjukkan kepada saya kawan anda dan saya akan beritahu siapa awak."




Saya sentiasa sedar dan berhati-hati dalam memilih orang yang betul untuk mengelilingi diri saya. Dalam Islam, adalah sangat benar dan penting untuk berkawan dengan orang-orang yang baik akhlaknya kerana mereka akan membantu kita untuk tetap di atas jalan yang benar, manakala melakukan sebaliknya boleh membawa diri kita kepada kesesatan.

Ahmad ibn Harb rahimahullah pernah berkata, "Tidak ada sesuatu pun yang lebih bermanfaat bagi hati seseorang Muslim berbanding bergaul dengan orang-orang yang berakhlak dan melihat perbuatan mereka, dan tidak ada sesuatu yang lebih berbahaya kepada hati seseorang Muslim berbanding bergaul dengan pendosa dan melihat perbuatan mereka." Tidak kira siapa anda, atau bagaimana kuat anda rasa ataupun anda tidak suka bergantung pada orang lain, tiada lelaki atau wanita menjadi sebuah pulau, anda tidak boleh melalui kehidupan ini sendiri. Inilah sebabnya Islam menekankan jemaah, ataupun kumpulan. Kata-kata yang menyatakan terdapat kekuatan dalam keramaian dan seekor biri-biri yang dimakan oleh serigala adalah benar.

Maka, kita perlu mengamalkan adab yang betul, kita perlu bersungguh-sungguh untuk tidak melakukan sesuatu atau berkawan dengan seseorang tanpa mengetahui di sana terdapat reda Allah s.w.t. atau tidak, dan tidak mencintai atau membenci kerana sebab duniawi. Kerana Rasulullah s.a.w. pernah berkata, "Barangsiapa mencintai kerana Allah, dan membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan kerana Allah, sudah melengkapkan keimanannya." (Abu Dawud) Jadi, siapa yang patut menjadi teman kita?




Pertama, mereka patut menjadi Muslim yang baik, yang mengimani Allah dan rasul-Nya. Kerana Allah Ta'ala berfirman dalam al-Quran, "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya, maka mereka akan bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu para nabi, orang-orang Siddiqin, dan orang-orang shahid serta orang-orang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman." (Al-Quran, 4:69)

Kedua, berada hampir dengan mereka patut membuatkan kita ingin meningkatkan amalan baik. Allah Ta'ala berfirman, "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Kitab dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka daripada apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan suatu syariat dan jalan agama. Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya." (Al-Quran, 5:48). Dengan merapati orang-orang yang melakukan amalan baik, kita akan berasa ingin bersaing dengan mereka dalam hal ini, dan seterusnya membaiki sifat dan agama antara satu sama lain.




Akhir sekali, namun ia bukan yang kurang penting, teman-teman kita patut membantu kita mengingati Allah Ta'ala. Kerana Allah s.w.t. berfirman : "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan barangsiapa melakukan yang demikian, mereka itulah orang-orang yang rugi." (Al-Quran, 63:9). Dalam masa berhempas-pulas ini, amat mudah untuk kita terperangkap dalam mengejar keduniaan. Inilah sebabnya sangat penting untuk kita dikelilingi orang yang akan menggalakkan kita untuk mengingati Allah s.w.t. pada setiap detik dalam hidup kita.

Kepentingan mengingati Allah diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. : "Perbandingan orang yang mengingati Tuhannya dengan orang yang tidak mengingati Tuhannya ialah makhluk yang hidup dengan makhluk yang mati." (Bukhari)

Jadi, marilah kita mencari orang untuk diluangkan masa bersama. Adakah mereka termasuk dalam kategori di atas? Jika rakan-rakan kita tidak melakukan perkara-perkara ini, maka apakah kewujudan mereka bersama kita katakan mengenai kita? Kita perlu berusaha untuk mencintai mereka yang mencintai Allah Ta'ala, dan membenci mereka yang membenci Allah Ta'ala, dan apa yang telah Dia turunkan sebagai panduan untuk umat manusia. Kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Barangsiapa yang mempunyai tiga perkara akan menemui kemanisan iman, Allah dan rasul-Nya lebih dicintainya daripada semua yang lain; mencintai seseorang kerana Allah; dan membenci kekufuran sebagaimana dia membenci untuk dihumban ke neraka." (Bukhari)

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'Keeping The Right Friends' oleh Sumayyah bint Joan

Friday, 10 January 2014

10 Perkara Untuk Dilakukan Dalam Bulan Rabiulawal dan Sepanjang Tahun

Senarai ini diharapkan dapat menjadi panduan mudah kepada perkara-perkara berfaedah yang boleh, dengan bantuan Allah, membaiki kehidupan dan keimanan kita dalam dan luar bulan mulia Rabiulawal. Mari kita memohon keikhlasan dan penerimaan daripada Allah.




1. Membaca dan mendengar al-Quran setiap hari - Salah satu cara untuk mendekati Allah dan rasul-Nya s.a.w. adalah dengan membaca ayat-ayat-Nya. 'A bit a day, keeps the devil at bay'. Malangnya, sebahagian daripada kita langsung tidak menunaikan solat, apatah lagi memikirkan hal al-Quran. Mulakan hari ini! Perbetul bacaan anda, pelajari tajwid. Rasulullah s.a.w. yang dikasihi sangat suka mendengar bacaan al-Quran. Jika anda tidak membacanya, sekurang-kurangnya dengarkannya.

2. Belajar mengenai Nabi Muhammad s.a.w. - Tahukah anda bahawa baginda pernah menghadiri satu kenduri perkahwinan dan tertidur di sana? Bacalah biografi Rasulullah s.a.w. yang dikasihi. Pelajari sifat-sifatnya, akhlaknya, kata-katanya dan perbuatannya. Terdapat banyak hasil penulisan baik yang boleh dibaca atas talian mengenainya.

3. Mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. - Mendengar itu penting. Banyak perkara berubah melalui pendengaran. Kita perlu bertanya kepada diri kita, adakah kita benar-benar mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w.? Hadis-hadis membawa satu jalan kepada nabi kita dan juga jalan kepada dimensi dalaman kita. Memahami diri kita. Cari satu hadis yang seolah-olah berkata-kata dengan anda, teruskan membacanya sehingga ia menembusi anda sehingga anda mengimplementasinya. Saya akan berikan yang pertama, "Syurga terletak di bawah tapak kaki ibu kamu." (Imam Ahmad)




4. Berkongsi Rasulullah s.a.w. dengan umat manusia - Kita sudah menyimpannya dalam diri kita dan pada tasbih kita. Jika anda benar-benar mengasihi baginda, terjemahkan 'kasih tersebut kepada satu bahasa yang boleh didengari oleh orang pekak dan perbuatan yang boleh dilihat oleh orang buta.' (Usama Canon)

5. Tingkatkan selawat dan salam ke atas baginda - Anda patut cuba meningkatkan selawat dan salam sebanyak mungkin. Hal ini ialah satu penghubung sebenar dan penjana kasih sayang. Tidak ada apa-apa dalam hal ini melainkan peningkatan demi peningkatan. Terdapat banyak faedah - Imam Sha'rani menyatakan lebih 40 faedah dalam bukunya, The Gardens of Light Due to the Praising and Greetings upon the Chosen Prophet. Juga, terdapat banyak kompilasi hadis yang menerangkan kelebihan dan kepentingan berselawat. Ia penuh dengan rahsia. Lihat inisiatif 10-juta ini!




6. Hadiri dan anjurkan perkumpulan - Anda boleh lakukan ini dengan keluarga, saudara mara, rakan-rakan, di mana sahaja anda sukai. Jadilah produktif. Cuba libatkan seluruh komuniti. Contohnya, kumpulkan pelbagai komuniti, ataupun kumpulkan jiran-jiran anda. Berikan hadiah antara satu sama lain, dan berbual dengan mereka.




7. Ingat mereka yang kurang bernasib baik - Beri makan kepada gelandangan, jalankan sebuah 'soup kitchen', kumpulkan makanan, derma kepada tempat perlindungan, jadi aktif, berikan bunga mawar, dan jadi kreatif. Lakukan kerana nabi yang tercinta.

8. Pergi ke masjid ataupun pertubuhan setempat dan bantu mereka! - Tanya jika mereka memerlukan sukarelawan, dan tanya mereka apa yang mereka usahakan. Selalunya anda akan mendapati terdapat isu di sekeliling yang anda langsung tidak tahu-menahu mengenainya. Jika anda boleh bantu mereka, bantulah. Jika tidak, cari orang yang boleh menghulurkan bantuan.

9. Berdoa untuk umat Rasulullah s.a.w. yang mana anda merupakan sebahagian daripadanya - Perlukah diterangkan lagi?

10. Berhajat untuk mendekati Allah s.w.t. dan rasul-Nya s.a.w. - Mendekati Rasulullah s.a.w. akan mendekatkan anda dengan Allah. Mendekatkan diri kepada baginda boleh memberikan kita pengampunan.

Semoga Allah s.w.t. memberikan kepada kita taufik dan hidayah.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'Ten Things To Do In Rabi' al Awwal and Throughout The Year' oleh Mubashir Anwar

Sunday, 5 January 2014

Soalan-soalan Lazim yang Ditanya oleh Bukan Muslim Bahagian 7 : Cara Islam Menyembelih Haiwan Kelihatan Kejam

Soalan : Kenapa Muslim menyembelih haiwan menggunakan cara yang kejam dengan menyeksanya dan membunuhnya dengan perlahan dan penuh kesakitan?

Jawapan :




Cara penyembelihan haiwan dalam Islam, dikenali sebagai zabiha menjadi bahan kritikan bagi ramai orang.

Sebelum saya menjawab soalan ini, biarkan saya kaitkan satu insiden mengenai satu perbincangan antara seorang Sikh dengan seorang Muslim berkenaan penyembelihan haiwan.

Pernah sekali seorang Sikh bertanya seorang Muslim, "Mengapakah kamu menyembelih haiwan dengan penuh kesakitan dengan memotong kerongkong dan bukannya dengan cara kami lakukan dengan satu pukulan, iaitu jhatka?" Kata si Muslim, "Kami berani dan menyerang dari depan. Kami marad ka baccha (lelaki macho), kamu pengecut dan menyerang dari belakang."

Ketepikan jenaka itu, seseorang boleh mengambil kira poin-poin berikut yang membuktikan kaedah zabiha bukan sahaja berperikemanusiaan, malah kaedah yang terbaik dari sudut saintifik :

1. Kaedah penyembelihan haiwan dalam Islam.

Zakkaytum ialah satu kata kerja yang didapati daripada kata dasar zakah (menyucikan). Kata namanya tazkiyah bermaksud penyucian. Cara penyembelihan haiwan dalam Islam perlu memenuhi syarat-syarat berikut :




a. Haiwan mestilah disembelih dengan objek tajam (pisau).

Haiwan haruslah disembelih dengan objek tajam (pisau) dengan cara yang cepat supaya kesakitan semasa penyembelihan dapat dikurangkan.




b. Memotong trakea (saluran udara), kerongkong dan pembuluh darah di leher.

Zabiha merupakan perkataan Arab yang bermaksud 'telah menyembelih'. 'Penyembelihan' perlu dilakukan dengan memotong kerongkong, trakea dan pembuluh darah di leher sehingga menyebabkan kematian haiwan tersebut tanpa memotong saraf tunjang.

c. Darah perlu dialirkan keluar.

Darah perlu dialirkan keluar sepenuhnya sebelum kepala dialihkan. Tujuannya adalah untuk membuang kebanyakan darah yang boleh menjadi medium pembiakan mikro organisma. Saraf tunjang tidak boleh dipotong kerana saraf yang disambung ke jantung akan rosak semasa proses tersebut dan menyebabkan kegagalan jantung, sehingga menakung darah di dalam pembuluh darah.




2. Darah merupakan medium yang baik bagi kuman dan bakteria.

Darah merupakan yang baik bagi kuman, bakteria, toksin dan sebagainya. Maka, cara penyembelihan dalam Islam adalah lebih bersih kerana kebanyakan darah yang mengandungi kuman, bakteria, toksin dan sebagainya, yang merupakan penyebab beberapa penyakit disingkirkan.

3. Daging kekal segar untuk tempoh masa yang lebih panjang.

Daging yang disembelih dengan cara Islamik kekal segar lebih lama kerana kekurangan darah dalam daging tersebut berbanding dengan cara penyembelihan lain.




4. Haiwan tidak merasa sakit.

Pemotongan saluran yang pantas di leher memutuskan hubungan aliran darah ke saraf di otak menyebabkan kesakitan. Maka, haiwan tersebut tidak merasa sakit. Semasa mati, haiwan tersebut menggelupur, bergerak-gerak, bergoyang-goyang dan menendang-nendang bukan kerana kesakitan, tetapi kerana pengecutan dan rehat otot yang kekurangan darah dan juga kerana pengaliran darah keluar daripada badan.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada buku 'Most Common Questions Asked By Non Muslims' oleh Dr Zakir Naik daripada Islamic Research Foundation

Bulan Rabiulawal

Bulan Rabiulawal dianggap sebagai salah satu bulan yang paling istimewa dan signifikan, kerana umat manusia diberkati dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. kesayangan kita. Berkenaan dengan peristiwa istimewa ini, Allah s.w.t. telah menyatakan dalam al-Quran, "Dan tidak Kami hantarkan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam (manusia, jin dan segala makhluk)." (Al-Quran, 21:107)

Muhammad s.a.w., ketua para nabi dilahirkan di kota Makkah pada pagi Isnin, 8, 9, 10, 11 atau 12 Rabiulawal. Ibn Sa'd melaporkan bahawa ibu Muhammad s.a.w., Aminah mengatakan mengenai kelahiran anaknya, "Apabila beliau dilahirkan, terdapat cahaya yang bersinar daripada faraj saya dan ia menerangi istana-istana di Sham." (Mukhtasar Seerat-ul-Rasool)

Seperti yang dinyatakan di atas, Allah s.w.t. menyatakan di dalam al-Quran : "Dan tidak Kami hantarkan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam (manusia, jin dan segala makhluk)." Rasulullah s.a.w. bukan sahaja sumber pelbagai keberkatan selepas menerima tugas rasul, malah dari waktu kelahiran sehinggalah kematian baginda dan juga sehingga Hari Kiamat ramai manusia mendapat faedah daripada keberkatannya. Contoh yang jelas bagi hal ini adalah apabila Halimah, anak kepada Abu Dhu'ayb yang ditemani suaminya, Harith dan anak mereka sendiri yang baru dilahirkan, ingin berjalan dari sebuah kampung kecil yang terletak di tenggara Makkah ke kota Makkah al-Mukarramah. Perjalanan ini dibuat bagi mencari anak susuan. Beliau meriwayatkan : "Tahun itu merupakan tahun kemarau, dan kami tidak mempunyai apa-apa lagi. Saya berjalan dengan menunggang seekor unta betina saya yang berwarna kelabu, dan kami mempunyai seekor unta betina tua yang langsung tidak boleh mengeluarkan setitik susu pun. Kami berjaga sepanjang malam kerana anak lelaki kami menangis disebabkan kelaparan, kerana saya tidak mempunyai susu yang cukup untuk menyusukannya; dan unta betina tua saya sangat lemah dan sangat kurus. Saya kerap membuatkan orang lain (kabilah Bani Sa'd ibn Bakr) menunggu."




Tatkala semua orang mula mencari anak susuan, ibu Rasulullah s.a.w., Aminah menawarkan anaknya dahulu kepada seseorang dan kemudian orang lain sehinggalah akhirnya, beliau sudah bertanya mereka dan kesemuanya menolak. "Itu," kata Halimah, "adalah kerana kita mengharapkan bayaran daripada bapanya." "Seorang anak yatim," kami berkata, "apakah yang ibu dan datuknya boleh lakukan untuk kami?" Bukanlah mereka inginkan bayaran terus atas perkhidmatan mereka, kerana jika seseorang wanita meminta bayaran untuk penyusuan bayi, perbuatan itu dianggap kurang beradab. Balasan yang mereka harapkan, walaupun bukan secara terus, mempunyai skop yang lebih luas. Contohnya, membina hubungan dan perkenalan dengan orang di bandar.

Di sudut yang lain, walaupun ibu bapa tumpang tidak berharap menjadi kaya, mereka tidak boleh menjadi terlalu miskin, dan hakikatnya jelas bahawa Halimah dan suaminya lebih miskin daripada sahabat-sahabat mereka. Apabila pilihan diberikan antaranya dengan orang lain, orang lain itu lebih disukai dan dipilih; dan masanya tidak lama untuk semua wanita Bani Sa'd mendapatkan bayi sebelum Halimah mendapatkan bayi juga. Hanya ibu susuan yang paling susah gagal mendapatkan anak susuan; dan hanya anak susuan yang paling susah gagal mendapatkan ibu susuan.




"Apabila kami mengambil keputusan untuk meninggalkan Makkah," kata Halimah, "saya memberitahu suami saya : 'Saya tidak suka kembali bersama rakan-rakan saya tanpa mendapat seorang bayi untuk disusukan. Saya akan pergi kepada anak yatim itu dan mengambilnya.' 'Lakukanlah apa yang engkau kehendaki' katanya. 'boleh jadi Tuhan akan merahmati kita melalui bayi itu.' Maka, saya pun pergi dan mengambilnya, tanpa sesuatu sebab melainkan kerana saya tidak dapat mencari bayi selainnya. Saya membawanya kembali ke tempat kenderaan kami ditinggalkan, dan pada saat saya menyusuinya, saya merasakan begitu banyak susu yang mengalir. Dia minum sehingga kenyang, dan anak saya pun minum juga sehingga kenyang. Kemudian, mereka berdua tidur; suami saya pergi ke unta betina tua kami dan alangkah terkejutnya dia kerana mendapati kelenjar susu unta itu penuh. Dia pun memerah susu unta itu dan minum susu tersebut, dan saya minum susu itu sehinggalah kami tidak boleh minum lagi dan kelaparan kami hilang.

Kami melalui malam yang terbaik, dan pada waktu pagi, suami saya berkata kepada saya : "Demi Tuhan, wahai Halimah, itu merupakan makhluk terbaik yang kamu ambil.' 'Inilah harapan saya,' kata saya. Kemudian, kami keluar berjalan, dan saya menunggang unta saya sambil membawa bayi itu. Unta itu mendahului orang lain, dan unta mereka juga tidak mampu menyaingi unta saya. 'Wah!' Mereka berkata kepada saya, 'Tunggu kami! Bukankah itu unta sama yang kamu tunggang semasa datang ke sini?' Ya, demi Tuhan,' saya kata, 'Ini unta yang sama.' 'Sesuatu yang ajaib berlaku kepadanya,' kata mereka.

Kami sampai ke khemah kami di Bani Sa'd, dan saya tidak mengetahui satu tempat di bumi Tuhan yang lebih kering daripada tempat ini. Tetapi selepas kami membawa bayi itu untuk tinggal bersama kami, binatang ternakan saya akan datang dalam keadaan dipenuhi susu. Kami memerah susu binatang tersebut dan minum apabila binatang lain tidak mempunyai susu; jiran kami berkata kepada penggembala mereka 'Pergi bawa binatang kamu meragut rumput di mana dia membawa binatangnya meragut rumput', dengan maksud penggembala saya. Tetapi binatang mereka kembali dalam keadaan masih kelaparan, tidak mempunyai susu, manakala binatang saya kembali dengan kekenyangan dan mempunyai banyak susu; dan kami tidak berhenti menikmati pertambahan dan kurniaan Tuhan ini sehinggalah bayi itu berusia dua tahun."




Semasa zaman pra-Islamiyyah di Tanah Arab, semua orang termasuk orang Rom dan Parsi berada dalam kejahilan dan kegelapan. Mereka adalah antara manusia yang paling tidak bertamadun yang pernah disaksikan oleh dunia. Mereka bukan sahaja melakukan perbuatan yang keji dan jahat seperti penzinaan, sumbang mahram, rogol, mencuri dan pembunuhan, malah perbuatan buruk mereka sampai ke satu tahap di mana mereka mengebumikan anak perempuan hidup-hidup! Allah s.w.t. menyatakan dalam al-Quran, "Dan apabila berita kelahiran anak perempuan dibawa kepada salah seorang daripada mereka, wajahnya menjadi muram dan hatinya dipenuhi kekecewaan! Dia menyembunyikan dirinya daripada orang lain kerana berita buruk yang disampaikan kepadanya. Adakah dia menyimpannya dengan kehinaan atau mengebumikannya? Sungguh buruk apa yang mereka putuskan itu." (Al-Quran, 16:58-59)

Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. dihantar ke alam ini dengan cahaya monoteism, menyingkirkan segala kejahilan dan budaya, ritual, amalan dan kepercayaan yang tidak bertamadun. Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran "Sesungguhnya Allah telah memberikan kurniaan ke atas orang-orang yang beriman apabila Dia mengutuskan seorang nabi (Muhammad) dari kalangan mereka, dengan membacakan ayat-ayat-Nya dan menyucikan mereka dan mengajarkan mereka al-Kitab dan al-Hikmah dan sesungguhnya, mereka sebelum itu  berada dalam kesesatan yang nyata." (Al-Quran, 3:164)

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'Rabiul Awwal'
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.