Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Monday 10 February 2014

Kebaikan Dalam Kejujuran

Kejujuran berkait rapat dengan kepercayaan dan mungkin boleh dianggap sebagai kualiti kembarnya. Seperti kepercayaan, ia juga merupakan sifat utama yang kedua bagi Rasulullah s.a.w. kerana baginda pernah digelar As-Sadiq (yang jujur) kerana baginda sangat jujur. Sama seperti kepercayaan, ia berhubung kait dengan iman. Tidaklah patut bagi seseorang Mukmin untuk berlaku tidak jujur, ataupun seseorang penipu menjadi seorang Mukmin.




Dari segi keseriusan dan kejelikan, al-Quran menyamakan perbuatan berbohong dengan menyembah berhala. Dalam surah al-Hajj, Allah s.w.t. berfirman :

"Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan-Nya." (Al-Quran, 22:30-31)

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. berdiri dengan segera selepas menunaikan solat Subuh dan mengulangi perkataan berikut sebanyak tiga kali, "Penyaksian palsu sudah disamakan dengan penyembahan berhala". Kemudian, baginda membacakan ayat daripada al-Quran di atas. (Kisah ini diriwayatkan oleh Khuraim ibn Faatik dalam Sunan Abu Daud dan Sunan Ibn Majah)

Juga, ambil pengajaran daripada kisah ini : Rasulullah s.a.w. pernah ditanya sama ada seseorang yang beriman boleh menjadi penakut ataupun tamak. Baginda menjadi ia boleh berlaku. Tetapi apabila baginda ditanya sama ada seseorang mukmin boleh menjadi penipu, baginda menjawab "Tidak!" (Diriwayatkan oleh Safwan ibn Sulaim oleh Malik dan Baihaqi)

Marilah kita mengingatkan diri kita mengenai hadis-hadis berikut apabila bercakap tentang kepercayaan :

"Terdapat empat perkara yang mana barangsiapa ada padanya perkara ini, dia ialah seorang munafik; dan barangsiapa ada padanya salah satu daripadanya, dia mempunyai sifat munafik sehinggalah dia menjauhinya : Apabila diberi amanah, dia mengkhianati; apabila berbicara, dia berdusta; apabila berjanji, dia memungkiri; dan apabila berbalah, dia melampaui batas." (Abdullah ibn Umar dalam Bukhari dan Muslim)

"Seseorang Mukmin boleh mempunyai sesuatu sifat buruk kerana kelemahannya sebagai seorang manusia, tetapi tidak boleh ada padanya sifat tidak jujur atau berbohong." (Dirayatkan oleh Ahmad dan Baihaqi daripada Abu Umamah)

Maka, Rasulullah s.a.w. menasihati kita :

"Kamu mestilah mengamalkan kejujuran kerana ia membawa kepada ketakwaan yang akan membawa ke syurga. Apabila seseorang berterusan mengatakan perkara yang benar dan mengamalkan hidup yang jujur, dia ditulis sebagai Siddiq (yang paling jujur dan dekat dengan kebenaran) di sisi Allah. Dan kamu mestilah jauhi perbuatan berbohong kerana ia membawa kepada kemaksiatan yang akan membawa kepada neraka. Apabila seseorang berterusan mengatakan kebohongan dan hidup dalam kebohongan, dia termasuk dalam senarai pembohong di sisi Allah Taala." (Diriwayatkan oleh Abdullah ibn Mas'ud dalam Bukhari dan Muslim)

"Ketidakjujuran yang paling teruk ialah kamu berbohong kepada saudara kamu mengenai sesuatu lalu dia mempercayai kamu." (Diriwayatkan oleh Sufyan ibn Aseed al-Hadhrami dalam Abu Daud)

Di sisi yang positif, mari kita membaca juga tiga hadis yang memberikan berita baik kepada orang-orang yang jujur :

"Jika mencintai Allah dan rasul-Nya ataupun dicintai Allah dan rasul-Nya boleh menggembirakan seseorang, maka hendaklah dia berlaku jujur apabila berbicara, mengembalikan amanah apabila diberikannya, dan menunjukkan akhlak yang baik terhadap jiran tetangganya." (Diriwayatkan oleh Baihaqi dalam Shu'abul Iman daripada Abdur-Rahman ibn Abi Qurad)

"Berikan aku jaminan dengan perkara, aku akan berikan kamu jaminan dengan syurga : Berlaku jujur apabila berbicara, penuhi janji apabila berjanji, tunaikanlah jika diberi amanah, peliharalah kemaluan kamu, tundukkanlah pandangan kalian, tahanlah tangan kalian." (Dirawayatkan oleh Baihaqi dalam Shu'abul Iman daripada Ubadah bin Saamit)

"Seseorang peniaga yang benar dan jujur akan ditemani oleh para nabi, rakan-rakan mereka yang ikhlas dan para syuhada." (Abu Said dalam Tirmidzi, Ad-Darami dan Ad-Daru-qutnee)

Apa yang kita ucapkan bukan sahaja perlu benar, bahkan ia juga mestilah apa yang paling perlu, adil, terus dan berfaedah. Al-Quran memerintahkan :

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan ucapkanlah kata-kata yang tepat dan benar." (Al-Quran, 33:70)




Di samping berhati-hati dalam menghindari kesalahan dalam segala situasi serius dan besar, seseorang Mukmin yang ikhlas juga haruslah berjaga-jaga terhadap perkataannya. Dia mengelakkan berkata sesuatu yang tidak benar walaupun dalam situasi yang kecil, apabila bercakap dengan kanak-kanak dan dalam gurauan. Dia juga menghindari menyebarkan khabar angin, gosip ataupun apa-apa berita yang dia tidak punyai pengetahuan yang jelas mengenai ketepatannya.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Seseorang itu cukup untuk dianggap berbohong apabila dia memberitahu orang lain apa yang dia dengar." (Diriwayatkan dalam Muslim oleh Abu Hurairah)




Abdullah ibn Amir meriwayatkan : "Pada satu hari, Rasulullah s.a.w. duduk di hadapan rumah kami dan ibuku memanggil aku, "Mari ke sini, ibu ingin memberikan sesuatu". Rasulullah s.a.w. bertanya, "Apa yang kamu ingin berikan kepadanya?" Dia berkata bahawa dia memberikannya sebiji kurma. Baginda menjawab, "Jika kamu tidak memberikannya sesuatu, ia akan dicatatkan ke atas kamu sebagai pembohongan." (Abu Daud)

"Perbuatan berbohong tidak dapat diterima, sama ada secara serius ataupun bergurau. Tidak juga apabila kamu berjanji untuk memberikan sesuatu kepada anak kamu, tetapi kemudian kamu tidak memberikannya." (Diriwayatkan dalam Al-Adabul Mufrad daripada Abdullah)

"Celakalah orang yang berbohong untuk membuatkan orang lain ketawa. Celakah dia. Celakalah dia." (Bahz bin Hakim dalam at-Tirmidzi)

Memberikan tanggapan yang salah juga merupakan satu bentuk penipuan :

"Seorang wanita pernah bertanya Rasulullah s.a.w., "Suami saya mempunyai isteri lain. Adakah berdosa jika saya berpakaian dan hidup dengan baik, menunjukkan seolah-olah suami saya yang memberikannya kepada saya? Dia menjawab, "Jika seseorang memberikan tanggapan sesuatu yang tidak diberikan kepadanya, maka orang itu adalah seperti seseorang yang berpakaian kebohongan." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Mishkah daripada Asmaa)

Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian di mana menahan kebenaran, mengelirukan dan dalam sesetengah situasi, memberikan khabar yang tidak benar tidak menjadikan seseorang itu menipu. Salah satu situasi tersebut ialah peperangan. Contohnya, jika seseorang Muslim ditangkap sebagai seorang tawanan, dia tidak boleh memberitahu kedudukan dan fakta sebenar mengenai tentera Muslim yang akan memberikan kelebihan kepada pihak musuh. Sebaliknya, dia patut mengatakan perkara yang akan mengelirukan musuh atau menjatuhkan mereka untuk memendekkan tempoh peperangan, untuk mengurangkan kematian ataupun membantu tentera Muslim. Contoh lain adalah apabila mendamaikan dua pihak. Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Tidaklah berbohong seseorang yang mengucapkan perkara yang baik untuk mendamaikan manusia." (Diriwayatkan oleh Ummi Kalthum dalam Bukhari dan Muslim)

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'The Virtue of Truthfulness'

1 comment:

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.