Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Sunday 5 January 2014

Bulan Rabiulawal

Bulan Rabiulawal dianggap sebagai salah satu bulan yang paling istimewa dan signifikan, kerana umat manusia diberkati dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. kesayangan kita. Berkenaan dengan peristiwa istimewa ini, Allah s.w.t. telah menyatakan dalam al-Quran, "Dan tidak Kami hantarkan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam (manusia, jin dan segala makhluk)." (Al-Quran, 21:107)

Muhammad s.a.w., ketua para nabi dilahirkan di kota Makkah pada pagi Isnin, 8, 9, 10, 11 atau 12 Rabiulawal. Ibn Sa'd melaporkan bahawa ibu Muhammad s.a.w., Aminah mengatakan mengenai kelahiran anaknya, "Apabila beliau dilahirkan, terdapat cahaya yang bersinar daripada faraj saya dan ia menerangi istana-istana di Sham." (Mukhtasar Seerat-ul-Rasool)

Seperti yang dinyatakan di atas, Allah s.w.t. menyatakan di dalam al-Quran : "Dan tidak Kami hantarkan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam (manusia, jin dan segala makhluk)." Rasulullah s.a.w. bukan sahaja sumber pelbagai keberkatan selepas menerima tugas rasul, malah dari waktu kelahiran sehinggalah kematian baginda dan juga sehingga Hari Kiamat ramai manusia mendapat faedah daripada keberkatannya. Contoh yang jelas bagi hal ini adalah apabila Halimah, anak kepada Abu Dhu'ayb yang ditemani suaminya, Harith dan anak mereka sendiri yang baru dilahirkan, ingin berjalan dari sebuah kampung kecil yang terletak di tenggara Makkah ke kota Makkah al-Mukarramah. Perjalanan ini dibuat bagi mencari anak susuan. Beliau meriwayatkan : "Tahun itu merupakan tahun kemarau, dan kami tidak mempunyai apa-apa lagi. Saya berjalan dengan menunggang seekor unta betina saya yang berwarna kelabu, dan kami mempunyai seekor unta betina tua yang langsung tidak boleh mengeluarkan setitik susu pun. Kami berjaga sepanjang malam kerana anak lelaki kami menangis disebabkan kelaparan, kerana saya tidak mempunyai susu yang cukup untuk menyusukannya; dan unta betina tua saya sangat lemah dan sangat kurus. Saya kerap membuatkan orang lain (kabilah Bani Sa'd ibn Bakr) menunggu."




Tatkala semua orang mula mencari anak susuan, ibu Rasulullah s.a.w., Aminah menawarkan anaknya dahulu kepada seseorang dan kemudian orang lain sehinggalah akhirnya, beliau sudah bertanya mereka dan kesemuanya menolak. "Itu," kata Halimah, "adalah kerana kita mengharapkan bayaran daripada bapanya." "Seorang anak yatim," kami berkata, "apakah yang ibu dan datuknya boleh lakukan untuk kami?" Bukanlah mereka inginkan bayaran terus atas perkhidmatan mereka, kerana jika seseorang wanita meminta bayaran untuk penyusuan bayi, perbuatan itu dianggap kurang beradab. Balasan yang mereka harapkan, walaupun bukan secara terus, mempunyai skop yang lebih luas. Contohnya, membina hubungan dan perkenalan dengan orang di bandar.

Di sudut yang lain, walaupun ibu bapa tumpang tidak berharap menjadi kaya, mereka tidak boleh menjadi terlalu miskin, dan hakikatnya jelas bahawa Halimah dan suaminya lebih miskin daripada sahabat-sahabat mereka. Apabila pilihan diberikan antaranya dengan orang lain, orang lain itu lebih disukai dan dipilih; dan masanya tidak lama untuk semua wanita Bani Sa'd mendapatkan bayi sebelum Halimah mendapatkan bayi juga. Hanya ibu susuan yang paling susah gagal mendapatkan anak susuan; dan hanya anak susuan yang paling susah gagal mendapatkan ibu susuan.




"Apabila kami mengambil keputusan untuk meninggalkan Makkah," kata Halimah, "saya memberitahu suami saya : 'Saya tidak suka kembali bersama rakan-rakan saya tanpa mendapat seorang bayi untuk disusukan. Saya akan pergi kepada anak yatim itu dan mengambilnya.' 'Lakukanlah apa yang engkau kehendaki' katanya. 'boleh jadi Tuhan akan merahmati kita melalui bayi itu.' Maka, saya pun pergi dan mengambilnya, tanpa sesuatu sebab melainkan kerana saya tidak dapat mencari bayi selainnya. Saya membawanya kembali ke tempat kenderaan kami ditinggalkan, dan pada saat saya menyusuinya, saya merasakan begitu banyak susu yang mengalir. Dia minum sehingga kenyang, dan anak saya pun minum juga sehingga kenyang. Kemudian, mereka berdua tidur; suami saya pergi ke unta betina tua kami dan alangkah terkejutnya dia kerana mendapati kelenjar susu unta itu penuh. Dia pun memerah susu unta itu dan minum susu tersebut, dan saya minum susu itu sehinggalah kami tidak boleh minum lagi dan kelaparan kami hilang.

Kami melalui malam yang terbaik, dan pada waktu pagi, suami saya berkata kepada saya : "Demi Tuhan, wahai Halimah, itu merupakan makhluk terbaik yang kamu ambil.' 'Inilah harapan saya,' kata saya. Kemudian, kami keluar berjalan, dan saya menunggang unta saya sambil membawa bayi itu. Unta itu mendahului orang lain, dan unta mereka juga tidak mampu menyaingi unta saya. 'Wah!' Mereka berkata kepada saya, 'Tunggu kami! Bukankah itu unta sama yang kamu tunggang semasa datang ke sini?' Ya, demi Tuhan,' saya kata, 'Ini unta yang sama.' 'Sesuatu yang ajaib berlaku kepadanya,' kata mereka.

Kami sampai ke khemah kami di Bani Sa'd, dan saya tidak mengetahui satu tempat di bumi Tuhan yang lebih kering daripada tempat ini. Tetapi selepas kami membawa bayi itu untuk tinggal bersama kami, binatang ternakan saya akan datang dalam keadaan dipenuhi susu. Kami memerah susu binatang tersebut dan minum apabila binatang lain tidak mempunyai susu; jiran kami berkata kepada penggembala mereka 'Pergi bawa binatang kamu meragut rumput di mana dia membawa binatangnya meragut rumput', dengan maksud penggembala saya. Tetapi binatang mereka kembali dalam keadaan masih kelaparan, tidak mempunyai susu, manakala binatang saya kembali dengan kekenyangan dan mempunyai banyak susu; dan kami tidak berhenti menikmati pertambahan dan kurniaan Tuhan ini sehinggalah bayi itu berusia dua tahun."




Semasa zaman pra-Islamiyyah di Tanah Arab, semua orang termasuk orang Rom dan Parsi berada dalam kejahilan dan kegelapan. Mereka adalah antara manusia yang paling tidak bertamadun yang pernah disaksikan oleh dunia. Mereka bukan sahaja melakukan perbuatan yang keji dan jahat seperti penzinaan, sumbang mahram, rogol, mencuri dan pembunuhan, malah perbuatan buruk mereka sampai ke satu tahap di mana mereka mengebumikan anak perempuan hidup-hidup! Allah s.w.t. menyatakan dalam al-Quran, "Dan apabila berita kelahiran anak perempuan dibawa kepada salah seorang daripada mereka, wajahnya menjadi muram dan hatinya dipenuhi kekecewaan! Dia menyembunyikan dirinya daripada orang lain kerana berita buruk yang disampaikan kepadanya. Adakah dia menyimpannya dengan kehinaan atau mengebumikannya? Sungguh buruk apa yang mereka putuskan itu." (Al-Quran, 16:58-59)

Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. dihantar ke alam ini dengan cahaya monoteism, menyingkirkan segala kejahilan dan budaya, ritual, amalan dan kepercayaan yang tidak bertamadun. Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran "Sesungguhnya Allah telah memberikan kurniaan ke atas orang-orang yang beriman apabila Dia mengutuskan seorang nabi (Muhammad) dari kalangan mereka, dengan membacakan ayat-ayat-Nya dan menyucikan mereka dan mengajarkan mereka al-Kitab dan al-Hikmah dan sesungguhnya, mereka sebelum itu  berada dalam kesesatan yang nyata." (Al-Quran, 3:164)

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'Rabiul Awwal'

1 comment:

  1. nice....thankies... never heard in details before...

    ReplyDelete

Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.