Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Thursday, 19 June 2014

Soalan-soalan Lazim yang Ditanya oleh Bukan Muslim Bahagian 9 : Muslim Menyembah Kaabah

Soalan : Jika Islam melarang penyembahan berhala, mengapakah Muslim menyembah dan tunduk kepada Kaabah dalam solat mereka?

Jawapan :




Kaabah ialah kiblat, iaitu arah ke mana Muslim menghadap dalam solat mereka. Adalah penting untuk kita ketahui bahawa walaupun Muslim menghadap Kaabah dalam solat mereka, mereka tidak menyembahnya. Muslim tidak menyembah dan tunduk melainkan hanya kepada Allah.

Dinyatakan dalam surah al-Baqarah :
"Kerap kali Kami melihat engkau, berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya." (Al-Quran, 2:144)
1. Islam mengajar kita memupuk perpaduan. Contohnya, jika Muslim ingin menunaikan solat, boleh jadi
 ada orang yang ingin menghadap ke arah utara, ada yang ingin menghadap ke arah selatan. Untuk menyatupadukan Muslim dalam menyembah Tuhan, Muslim, walau di mana jua mereka berada, diperintahkan agar menghadap satu arah sahaja, iaitu Kaabah. Jika ada Muslim yang tinggal di bahagian barat Kaabah, mereka hendaklah menghadap ke arah timur. Demikianlah kepada mereka yang tinggal di bahagian timur Kaabah, mereka hendaklah menghadap ke arah barat.




2. Kaabah terletak di tengah-tengah peta dunia. Muslim merupakan yang pertama melukis peta dunia. Mereka melukis peta dengan bahagian selatan menghadap ke atas dan bahagian utara menghadap ke bawah. Kaabah berada di tengah-tengah. Kemudian, kartografer barat melukis peta tersebut terbalik dengan bahagian utara menghadap ke atas dan bahagian selatan menghadap ke bawah. Walaupun begitu, alhamdulillah, Kaabah masih berada di tengah-tengah peta dunia.

3. Tawaf mengelilingi Kaabah menunjukkan satu Tuhan. Apabila Muslim melawat Masjidil Haram di Makkah, mereka menunaikan tawaf ataupun mengelilingi Kaabah. Amalan ini simbolik kepada kepercayaan dan penyembahan Tuhan yang Satu., kerana setiap bulatan hanya mempunyai satu pusat, dan begitu juga hanya terdapat satu Allah yang layak disembah.

4. Hadis Umar (semoga Allah meredainya) : Mengenai batu hitam, hajar al-aswad, terdapat satu hadis yang diriwayatkan daripada seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang mulia, iaitu Umar r.a.

Menurut Sahih Bukhari, jilid 2, kitab haji, bab 56, hadis nombor 675, Umar r.a. berkata, "Aku tahu bahawa engkau hanyalah sebuah batu dan tidak mampu memberikan manfaat mahupun mudarat. Jika aku tidak pernah melihat Rasulullah menyentuh dan mencium engkau, sudah tentu aku tidak akan menyentuh dan mencium engkau."

5. Orang berdiri di atas Kaabah dan melaungkan azan. Pada zaman Rasulullah s.a.w., terdapat orang berdiri di atas Kaabah dan mengumandangkan azan. Tanyalah kepada sesiapa yang mendakwa bahawa Muslim menyembah Kaabah; penyembah berhala mana yang berdiri di atas berhala yang disembahnya?

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada buku 'Most Common Questions Asked By Non Muslims' oleh Dr Zakir Naik daripada Islamic Research Foundation

18 Jalan Ke Syurga

"Anggaplah amalan sunat seperti amalan wajib."

- Ali ibn Ahmad / Khilasat al athar, 3/401

Dituliskan di sini 18 amalan daripada sunnah kekasih Allah s.a.w. yang merupakan permata yang ditinggalkan untuk mereka yang benar-benar menginginkan syurga dan keredaan Allah Taala.

1. Berpuasa pada hari-hari putih : Rasulullah s.a.w. bersabda, "Berpuasa tiga hari setiap bulan bersamaan berpuasa secara berterusan." (Bukhari dan Muslim)
Ulasan :
  • Kata Ibn 'Abbas, "Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkan puasa pada hari-hari putih sama ada ketika baginda di rumah ataupun bermusafir." (Nasai)
  • Merujuk kepada 13, 14 dan 15 haribulan setiap bulan.
2. Tahiyat al-Wudu : Sabda Rasulullah s.a.w., "Tidak ada seorang muslim yang mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian bangkit untuk menunaikan solat dua rakaat dengan khusyuk, melainkan dia patut menerima ganjaran syurga." (Muslim) / "Wahai Bilal, beritahu aku mengenai amalan yang paling engkau harapkan ganjaran untuknya daripada amalan-amalan kau dalam Islam, kerana aku terdengar bunyi sepatu engkau di hadapanku di syurga." Beliau berkata, "Aku tidak melakukan sesuatu amalan yang lebih aku harapkan, melainkan aku tidak pernah mengambil wuduk pada waktu malam atau siang tanpa menunaikan solat dengan wuduk itu apa yang telah ditetapkan untukku." (Bukhari & Muslim)

Ulasan :
  • Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa antara kamu yang mengambil wuduk dengan sempurna dan kemudian mengucapkan: 'Ash-hadu an la ilaha illallahu wahdahu la sharika lah, wa ash-hadu anna Muhammadan 'abduhu wa Rasuluh', lapan pintu syurga akan dibuka untuknya. Dia boleh masuk melalui mana-mana pintu yang disukainya." (Muslim)
3. Solat Dhuha : Rasulullah bersabda 12 rakaat solat Dhuha  akan diberikan ganjaran sebuah istana emas untuknya di syurga (Mishkat al-Masabih) dan 2 rakaat solat Dhuha akan menyebabkan dosa-dosanya diampuni walaupun dosa itu sebanyak buih-buih di lautan (ibid).

Ulasan :
  • Dhuha ditunaikan apabila satu suku hari telah berlalu selepas fajar dan matahari telah terbit agak tinggi sehingga tapak-tapak kaki unta mulai kepanasan (Halabi dalam Sharh Kabeer, muka surat 390).
  • Hati-hati agar tidak sampai kepada waktu zawal, yakni 5 hingga 10 minit sebelum Zuhur.




4. Ishraq : Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa menunaikan Subuh secara berjemaah dan kekal duduk di tempat solatnya sehingga waktu syuruk dan kemudian menunaikan solat dua rakaat, dia akan diberikan ganjaran haji dan umrah." (Tirmidhi)

Ulasan :
  • Jumlah minimum ialah 2 rakaat dan jumlah yang dicadangkan ialah 4. (Bahisti zewar, muka surat 30)
  • Jika anda tidak dapat menunaikan Subuh berjemaah kerana alasan yang munasabah, anda boleh menunaikannya secara sendiri dan mendapat ganjaran yang sama.
5. 6 rakaat selepas Maghrib : Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa menunaikan 6 rakaat selepas Maghrib tanpa bercakap mengenai apa-apa yang lagha antara solat tersebut, ia adalah bersamaan dengan ibadah 12 tahun baginya." (Tirmidhi)

Ulasan :
  • 'Apa-apa yang lagha' bermaksud perkara duniawi.
  • Tunaikannya selepas 2 rakaat ba'adiah dan selepas zikir lepas solat.
6. 12 rakaat nawafil pada waktu siang : Sabda Rasulullah s.a.w., "Sebuah rumah akan dibina di syurga untuk setiap Muslim yang menunaikan 12 rakaat solat selain daripada yang wajib siang dan malam, untuk mencari keredaan Allah." (Muslim)

Ulasan :
  • Biasanya merujuk kepada solat sunat sebelum solat fardu, tetapi meliputi nawafil umum juga seperti Tahajjud, tahiyatain dan Ishraq.
  • Sabda baginda s.a.w., " Bukankah Allah telah memberikan untukmu solat Isya secara berjemaah yang bersamaan haji, dan solat Subuh secara berjemaah yang bersamaan umrah?" (Muslim)
7. Zikir selepas solat fardu : Seorang pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah! Orang kaya mendapat ganjaran akhirat, mereka menunaikan haji dan kami tidak; mereka berjihad, dan kami tidak. Maka jawab baginda, "Tidakkah aku beritahu kepada engkau mengenai sesuatu yang jika engkau amalkan, engkau akan dapat mengejar mereka yang mendahului engkau? Tidak ada sesiapa yang akan dapat melepasi engkau dan engkau akan menjadi lebih baik daripada orang-orang yang telah engkau tinggal bersama melainkan jika mereka juga melakukan perkara yang sama. Ucapkanlah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar 33 kali setiap kali selepas solat fardu." (Bukhari)

Ulasan :
  • Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari, riwayat lain mempunyai perkataan dan penyampaian yang berbeza.
  • Tunaikanlah solat sunat selepas fardu dan amalkan zikir ini. (Imdad al Fattah, muka surat 328)
8. Ayat Kursi : Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa membaca ayat Kursi selepas setiap solat fardu, maka kematian merupakan satu-satunya perkara yang menghalanginya daripada masuk syurga." (Muslim)




9. Menjawab azan : Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa mengulangi ucapan muazzin dengan yakin, dia akan masuk ke syurga." (Muslim)

Ulasan :
  • Adalah digalakkan bahawa sesiapa yang mendengar azan, dia patut mengulangi ucapannya, melainkan dua, iaitu 'hayya 'alas-salah, hayya 'alal-falah', yang mana selepas itu dia patut mengucapkan 'La haula wa la quwwata illa billah'. (Fiqh as-sunnah, jilid 1, muka surat 99)
10. 4 amalan sunat waktu Zuhur : Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa menunaikan empat rakaat sebelum dan selepas Zuhur secara berterusan, Allah Taala akan mengharamkan neraka ke atasnya."(Mishkat, Tirmidhi, Abu Dawood, Nasai dan Ibn Majah)

Ulasan :
  • Turutannya adalah seperti berikut : 4 sunat, Zuhur, 2 sunat, 2 nawafil.
11. Solat Tahajjud : Sabda Rasulullah s.a.w., "Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan kepada orang lain, jagalah hubungan kekeluargaan dan solatlah pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur dan kamu akan masuk ke syurga dengan aman." (Al Hakim, Ibn Majah dan Tirmidhi)

Ulasan :
  • Jika anda terlepas Tahajjud, anda boleh tunaikannya pada waktu Dhuha. (Shamaíl Baab fi Ibada)
  • Jika anda tidak mampu untuk bangkit menunaikan Tahajjud, bacalah dua ayat terakhir surah al-Kahf (Tafsir Tha'labi dan Maariful Quran).
  • Bacalah surah yang paling panjang yang anda tahu dan surah al-Ikhlas.
  • Tunaikan Witir selepas Tahajjud.
13. Solat Tasbih : Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa menunaikan solat ini akan diampuni dosanya yang lalu dan akan datang dan baginda juga berkata, "Wahai Abbas, wahai bapa saudara, tidakkah aku berikan kepada engkau, tidakkah aku sampaikan kepada engkau, tidakkah aku dermakan kepada engkau, tidakkah aku khabarkan kepada engkau mengenai sepuluh perkara, yang jika engkau lakukan, Allah akan mengampuni dosa engkau yang pertama dan terakhir, dosa yang lalu dan akan datang, dosa yang dilakukan dengan sengaja atau tidak, dosa secara peribadi ataupun terbuka?' (Abu Dawood dan Tirmidhi)

Ulasan :
  • Peruntukkan setengah jam, cuba tunaikannya seminggu sekali pada hari Jumaat.
  • Jangan kira bacaan tasbih anda jika anda boleh mengingatinya (Radd al-Muhtar)
13. Bebas daripada sifat munafik dan neraka : Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa menunaikan solat secara berjemaah selama 40 hari di mana dia mendapat takbir yang pertama, dituliskan untuknya kebebasan daripada dua perkara : daripada neraka dan sifat munafik." (Tirmidhi)

14. Ibadah setahun pada setiap langkah kaki : Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa mandi pada hari Jumaat dan pergi awal ke masjid berjalan kaki dan bukan dengan kenderaan, mendengar khutbah dan tidak melakukan sebarang perkara sia-sia semasa khutbah, akan mendapat pahala ibadah selama setahun, puasa setahun, dan solat setahun pada setiap langkah yang diambilnya." (Tirmidhi)

15. Diangkat ke para nabi : Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa membaca surah al-Qadr sekali selepas berwuduk akan dicatatkan dalam kalangan orang yang benar. Barangsiapa membacanya dua kali akan dicatatkan dalam kalangan syahid. Barangsiapa membacanya tiga kali akan diangkat ke kalangan nabi." (Daylami)




16. Bebas daripada neraka : Sabda Rasulullah s.a.w., "Apabila engkau selesai menunaikan fardu Maghrib, ucapkanlah 'Ya Allah, selamatkanlah aku daripada neraka' (Allahumma ajirni min an-nar) sebanyak tujuh kali. Jika engkau lakukan yang demikian dan kemudian mati pada malam itu, engkau akan diberikan perlindungan daripada neraka. Dan lakukan perkara yang sama selepas solat Subuh, dan jika engkau mati pada hari itu, engkau akan diberikan perlindungan daripada neraka." (Abu Dawood)

17. Keselamatan daripada azab kubur : Sabda Rasulullah s.a.w., " Barangsiapa membaca surah al-Mulk pada waktu malam, ia akan melindunginya daripada azab kubur." (Nasai)

Ulasan :
  • Hadis lain menyebut bahawa ia akan memberikan syafaat kepada pembacanya sehingga dia diampuni (Ibn Hibban) dan 'Ia melindungi sesiapa yang membacanya sehingga dia dimasukkan ke syurga.' (Fath al-Qadir, 5/257 / Sahih al-Jami'a, 1/680, / Tabarani dalam al-Aswat)
  • Ia patut dibaca lepas solat Isya.

Jenis-jenis Zikir yang Boleh Mendatangkan Ganjaran :

a. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa mengucapkan, ‘Radheetu billaahi Rabban, wa bil Islaami deenan, wa bi-Muhammadin Nabiyyan’ (Aku meredai Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai nabiku) syurga akan menjadi wajib ke atasnya. (Abu Daud)

b. 
 AAA

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa membaca (di atas)... 4 kali pada setiap pagi atau petang, neraka akan menjadi haram ke atasnya." (Fortress of a Muslim)

c. 100 daripada perkara ini tidak sama dengan apa pun : Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa mengucapkan 'Subhanallahi wa bihamdihi' (Maha Suci Allah dan bagi-Nya jualah segala pujian) 100 kali sehari, kesemua dosanya akan dipadam walaupun dosa itu sama banyak dengan buih-buih di lautan." (Bukhari dan Muslim) // "Barangsiapa mengucapkannya pada waktu pagi dan petang, sebanyak seratus kali, tidak ada satu benda pun yang lebih baik pada hari kiamat melainkan orang yang telah mengucapkannya sebanyak 100 kali juga ataupun lebih." (Muslim)

  • Amalan ini hanya mengambil masa lebih kurang 3 minit.
d. Zikir ini menjamin syurga : Sabda Rasulullah, "Barangsiapa mengucapkan 'Allahumma anta Rabbi la ilaha illa anta, anta khalaqtani wa ana abduka, wa ana 'ala 'ahdika wa wa'dika mastata'tu, A'udhu bika min sharri ma sana'tu, abu'u laka bini'matika 'alaiya, wa abu laka bidhanbi faghfirli innahu la yaghfiru adhdhunuba illa anta' pada waktu siang dengan yakin, dan mati pada hari yang sama sebelum waktu malam, dia akan dimasukkan dalam golongan ahli syurga; dan barangsiapa membacanya pada waktu malam dengan yakin, dan mati sebelum waktu pagi, dia akan dimasukkan dalam golongan ahli syurga." (Bukhari)

e. Zikir lain : Sabda Rasulullah s.a.w., "Barangsiapa memohon keampunan untuk lelaki dan perempuan yang beriman, Allah akan mencatatkan untuknya pahala untuk setiap lelaki dan perempuan yang beriman." (Tabarani)

f. 2 lagi zikir yang menarik : Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa membaca surah al-Ikhlas sebanyak 200 kali setiap hari, dosa lima puluh tahun akan dipadamkan, melainkan jika dia berhutang." (Tirmidzi dan Darimi, Darimi meriwayatkan 50 kali dan bukan 200 kali)

Sabda baginda lagi : "Barangsiapa memasuki pasar dan mengucapkan : 'Laa ilaaha illa Allahu wahdahu la shareeka lah, lahul mulku wa lahul hamdu yuhyi wa yumeetu wa huwa hayyun laa yamoot, bi yadihil khair, wahuwa 'alaa kulli shay'in qadeer' Allah akan mencatatkan untuknya sejuta pahala dan memadamkan sejuta dosa dan membina untuknya sebuah rumah di syurga." (Bukhari)

Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel '18 Pathways to Jannah

Monday, 7 April 2014

10 Tips Untuk Hidup Bahagia Bersama Jiran Bukan Muslim

Jiran mendapat status istimewa dalam Islam

Islam menggalakkan Muslim melayani jiran-jiran mereka dengan cara yang lembut yang menggambarkan semangat sebenar dan asli Islam seperti yang ditunjukkan dalam aspek toleransinya terutamanya dengan orang-orang yang menganut agama lain.

Tiada bezanya jika seseorang jiran itu Muslim ataupun bukan Muslim. Ummul Mukminin, Aisyah menyatakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. :

"Wahai Rasulullah! Aku mempunyai dua orang jiran. Kepada siapakah patut aku sampaikan hadiahku?"

Jawab baginda : "Kepada yang pagarnya lebih dekat dengan engkau." (Al-Bukhari, #6220)

Jelas sekali daripada hadis di atas bahawa Muslim digalakkan untuk bukan sahaja melayani jiran dengan baik, tetapi juga bertukar-tukar hadiah dengan mereka. Perkataan yang digunakan dalam hadis tidak menunjukkan bahawa orang yang dengannya kita bertukar hadiah ialah seorang Muslim ataupun bukan.




Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai jiran yang sentiasa menyakiti dan mengkeji baginda pada setiap pertembungan. Beberapa hari berlalu tanpa baginda diganggu oleh orang itu. Baginda merasakan sesuatu tidak kena dengan ketiadaan orang itu, lalu baginda melawatnya dan mendapatinya sakit.

Orang itu tertanya-tanya bagaimana baginda boleh membalas perbuatan buruknya itu dengan layanan yang sangat baik. Baginya, sifat mulia ang diajarkan oleh Islam merupakan sesuatu yang sangat baru.

Jika jiran anda meruakan saudara anda dan juga Muslim, maka mereka mempunyai tiga hak ke atas anda : Hak sebagai jiran, hak sebagai ahli keluarga dan hak sebagai saudara seagama.

Jika mereka merupakan bukan Muslim dan juga saudara anda, maka mereka mempunyai dua hak ke atas anda : Hak sebagai jiran dan juga sebagai ahli keluarga. Dan jika mereka adalah bukan Muslim yang bukan ahli keluarga, mereka mempunyai hak sebagai jiran ke atas anda.

Berkenaan hal ini, Allah s.w.t. berfirman :

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar..." (Al-Quran, 4:36)

Cukuplah untuk kita katakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam satu hadis bahawa Malaikat Jibril sentiasa menasihati baginda agar melayani jiran tetangga dengan baik hingga satu tahap di mana baginda merasakan seseorang boleh mewarisi harta jirannya.

Berikut merupakan sedikit tips mengenai bagaimana mendekati jiran bukan Muslim anda dengan cara yang baik yang diajarkan oleh Islam :
1. Berbuat baik kepada jiran tidak terhad kepada mereka yang mendiami bangunan yang sama dengan anda. Rakan sebilik di asrama anda ialah jiran anda, orang yang duduk di belakang atau sebelah anda di dalam bas atau di perhentian bas ialah jiran anda, orang yang berkongsi pejabat dengan anda di tempat kerja ialah jiran anda, orang yang menikmati udara segar bersama anda di sebuah tempat awam juga ialah jiran anda. Anda patut melayani mereka dengan baik.

2. Perkenalkan diri anda dan keluarga anda kepada jiran-jiran anda apabila anda berpindah ke tempat baru ataupun apabila ada jiran baru berpindah. Perbuatan ini akan meredakan ketakutan atau ketegangan yang mungkin ada pada mereka terhadap Islam. Juga, jangan lupa mengucapkan selamat tinggal apabila anda atau mereka berpindah ke tempat lain.

3. Ambil berat terhadap mereka secara berterusan, terutamanya pada waktu yang memerlukan ataupun waktu tertekan, kerana 'the neighbour in need is a neighbour indeed'. Jika seseorang jiran ialah orang tua ataupun sakit kronik, tawarkan diri untuk menjalankan kerja ataupun pergi ke kedai untuk mereka.




4. Apabila berurusan dengan jiran, adalah lebih selamat untuk berurusan dengan mereka yang sama jantina dengan anda. Hal ini tidaklah bermaksud anda patut berhenti bersosial dengan rakan sekerja atau rakan sekelas yang berlainan jantina di tempat kerja atau sekolah, tetapi berhati-hatilah terhadap bisikan syaitan. Bersosial selepas waktu itu patut berlaku dengan orang yang bersamaan jantina.

5. Apabila bersosial dengan bukan Muslim, berhati-hati agar tidak berlaku terlalu bertolak ansur sehingga mengabaikan ajaran agama dan prinsip anda. Contohnya, jangan minum arak bersama mereka. Mereka akan lebih menghormati anda kerana tetap dengan prinsip anda daripada jika anda melanggar peraturan yang ditetapkan.




6. Selain berkongsi idea, berkongsilah makanan bersama mereka dengan menjemput mereka menikmati makan malam pada hujung minggu ataupun menerima jemputan mereka, dengan syarat anda memberitahu mereka mengenai had pemakanan anda sebagai seorang Muslim.

7. Saling melawati agar ahli keluarga boleh berinteraksi dengan cara yang membina. Jika perbincangan membawa kepada agama, fokus kepada tajuk yang mempunyai persamaan. Contohnya, jika jiran anda beragama Kristian, maka anda tidak patut berbincang mengenai sama ada Isa a.s. merupakan jelmaan Tuhan ataupun bukan. Sebaliknya, beritahu mereka bagaimana Islam memuliakan semua nabi dan rasul secara keseluruhan, dan Isa a.s. diberikan status istimewa dalam kalangan nabi dan rasul.

8. Apabila bersosial dengan jiran, sampaikan Islam dengan cara yang terbaik. Jika anda menghadapi soalan yang susah ataupun salah faham mengenai Islam, jangan berasa malu untuk berhenti sebentar dan beritahu mereka bahawa anda akan menghubungi seseorang yang lebih berpengetahuan dan menanyakan isu yang dibangkitkan itu. Maka, aspek persamaan dapat diteguhkan manakala perbezaan pula patut dielakkan.




9. Jika jiran anda menunjukkan minat terhadap Islam, jemput mereka menghadiri acara Islamik, dan juga teman mereka ke masjid agar mereka boleh lihat bagaimana keadaannya. Boleh jadi hati mereka dilembutkan kepada Islam, dan jika mereka kekal sebagai bukan Muslim, sekurang-kurangnya anda sudah merobohkan penghalang antara mereka dengan Islam. Anda juga boleh melawat gereja di mana jiran anda sembahyang jika mereka mengajak anda, tetapi anda perlu berhati-hati agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang dilarang oleh agama anda. Secara ringkasnya, jadilah pemerhati yang teliti.

10. Sentiasa ingati Allah dan jangan lupakan ganjaran yang menanti anda di akhirat kelak jika anda menunjukkan kebaikan kepada jiran anda.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel '10 Tips For Living Happily with Your Non-Muslim Neighbours' oleh El Sayed M. Amin

Thursday, 3 April 2014

10 Frasa Mudah yang Boleh Membawa Ke Syurga

10 frasa yang pendek, mudah dan ringan, tetapi akan memberikan anda apa yang tiada mata pernah lihat, tiada telinga pernah dengar, dan tiada minda yang pernah terbayang.

1. "Barangsiapa mengucapkan 'Subhanallah al-Azim wa bi hamdih' (Maha Suci Allah yang Maha Besar dan pujian bagi-Nya) akan diberikan sepohon kurma di syurga." (Sahih al-Jami' #5531)




2. "Barangsiapa yang dilanda kesedihan, kerisauan, kesakitan atau kesusahan lalu mengucapkan 'Allahu Rabbi, la sharika lah' (Allah Tuhanku, tiada sekutu bagi-Nya), ia akan dibebaskan daripadanya." (Sahih al-Jami' #6040)

3. " Barangsiapa memakan sesuatu lalu mengucapkan 'Alhamdulillah alladzi at'amani hadza wa razaqnih bi ghair haulin minni wa la quwwa' (Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makanan ini dan merezekikannya kepadaku, tanpa keupayaan dan kekuatanku) dosa-dosanya yang lepas dan akan datang diampunkan." (Sahih al-Jami' #6086)

4. "Barangsiapa memasuki pasar lalu mengucapkan 'La ilaha illa Allah, wahdahu la sharika lah, lahul Mulk wa lahul Hamd, yuhyi wa yumit, wa Huwa Hayyun la yamut, bi Yadihil khair wa Huwa 'ala kulli shay in Qadir' (Tiada Tuhan melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya Kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, Dia menghidupkan dan mematikan, Dia hidup dan tidak mati, di tangan-Nya segala kebaikan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu), maka Allah akan mencatatkan untuknnya sejuta kebaikan dan akan memadamkan sejuta keburukan daripadanya, dan akan mengangkatnya setinggi sejuta darjat dan membina rumah untuknya di syurga." (Sahih al-Jami' #6231)




5. "Barangsiapa mengawal kemarahannya apabila dia mampu untuk mengambil tindakan, maka Allah akan memanggilnya untuk hadir di hadapan segala makhluk-Nya agar dia boleh membenarkannya memilih mana-mana Hur al-'Ain dan mengahwini sesiapa yang dikehendakinya." (Sahih al-Jami' #6518)

6. "Barangsiapa meminta daripada Allah syurga sebanyak tiga kali dengan mengucapkan 'Allahumma inni asaluka al-Jannah', maka syurga akan berkata 'Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga!' Dan barangsiapa yang memohon perlindungan daripada neraka sebanyak tiga kali dengan mengucapkan 'Allahumma najjini minan nar', maka neraka akan berkata 'Ya Allah, lindungilah dia daripada neraka!'" (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan hadis ini bertaraf sahih)

7. "Barangsiapa memohon keampunan untuk lelaki dan perempuan yang beriman, Allah mencatatkan baginya untuk setiap lelaki dan perempuan itu satu pahala." (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, Ibn Majah, dan Ahmad, dan hadis ini sahih)




8. Abdullah bin Mas'ud pernah berkata : "Barangsiapa membaca surah al-Mulk pada setiap malam, Allah akan melindunginya daripada azab kubur. Semasa zaman Rasulullah s.a.w., kami menggelarnya al-mani'ah (yang melindungi). Dalam Kitab Allah, ia merupakan satu surah yang mana sesiapa membacanya sudah melakukan sesuatu yang sangat baik." (Sahih at-Targhib wat-Tarhib #1475)

9. "Barangsiapa memohon syahid daripada Allah dengan berdoa (Allahumma inni as aluka ash-shahadah), Allah akan memberikannya darjat syahid walaupun dia mati di katilnya." (Sahih al-Bukhari #1909)

10. "Tiada siapa yang menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku pesuruh-Nya dengan sebenar-benarnya, melainkan Allah akan mengharamkan neraka daripada menyentuhnya." (Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel '10 Easy Phrases That Lead to Jannah' tulisan Abu Sabaayaa

Friday, 14 March 2014

Kepentingan Berada Di Sisi Anak-anak Kita

cute kids babies hd 6


Hari itu sangat indah dan cerah. Moosa dan Fatima, dua orang kembar berumur 5 tahun yang aktif lagi ceria, cuba menarik perhatian kedua-dua ibu bapa mereka kepada istana pasir yang telah mereka bina selama berjam-jam di halaman rumah mereka. Bapa terlalu sibuk membalas e-mel melalui Blackberrynya  sambil menonton televisyen sementara ibu pula sedang berbual dengan rakannya dan mengemaskini laman Facebooknya sejak beberapa jam yang lepas. Ibu dan bapa, hampir tidak menyedari pencapaian anak-anak mereka. Kedua-dua mereka sentiasa begitu sibuk dengan kerja dan kehidupan sosial mereka sehingga mereka hampir tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama anak-anak.

Selain daripada empat minggu pertama yang diluangkan bersama ibu selepas dilahirkan, kedua-dua Moosa dan Fatima diasuh di pusat jagaan kanak-kanak sejak kecil lagi. Pada waktu petang, ibu mengambil mereka dalam perjalanannya pulang dari pejabat. Bapa selalu pulang pada lewat dam kedua-dua ibu bapa itu tidak mempunyai banyak masa untuk berinteraksi dengan anak-anak sebelum waktu untuk tidur.




Satu fenomena aneh bagi kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa mereka, tetapi mereka ialah 'anak-anak yatim moden'. Oleh sebab ibu bapa terlalu sibuk dengan kehidupan material dan sosial, mereka tidak dapat meluangkan masa yang asas dan penting untuk anak-anak mereka. Maka, mereka mengabaikan anak-anak dan menjatuhkan darjat mereka ke tahap 'anak yatim moden'. Ibu bapa berada di sana, tetapi sebenarnya mereka tidak berada di sana.

Pengabaian kanak-kanak, satu jenis penderaan terhadap kanak-kanak yang biasa, merupakan satu corak kegagalan menyediakan keperluan asas kanak-kanak; ia tidak hanya berkait dengan kekurangan makanan, pendidikan dan pakaian, tetapi juga merentasi keperluan kerohanian dan emosi dan juga kebersihan dan penjagaan. Pengabaian kanak-kanak tidak dapat dikesan dengan mudah dan ibu bapa yang bersalah sentiasa tidak menyedari akan kehadiran sindrom ini.

Baru-baru ini, seorang guru di sebuah sekolah rendah meminta murid-muridnya menulis esei mengenai apa yang mereka suka...

Di penghujung hari semasa menanda esei-esei tersebut, dia membaca sebuah esei yang memenuhkan emosinya. Suaminya yang baru saja berjalan masuk melihatnya menangis dan bertanya, "Apa yang berlaku?"

Jawabnya, "Baca ini, salah satu esei murid saya."

"Ya Allah, pada malam ini aku meminta Engkau satu perkara yang amat istimewa : Jadikan aku sebuah televisyen. Aku ingin mengambil tempatnya. Hidup seperti sebuah TV di dalam rumah. Mempunyai tempat yang istimewa dan dikelilingi oleh keluargaku. Diambil serius apabila aku bercakap... Aku ingin menjadi di tengah-tengah perhatian dan didengari tanpa gangguan mahupun soalan. Aku ingin menerima layanan yang sama seperti mana yang diterima oleh televisyen apabila ia tidak bekerja.

Ditemani bapa apabila beliau pulang dari pejabat, walaupun pada waktu beliau penat dan aku mahu ibu inginkan aku apabila beliau sedih dan tertekan, dan bukannya mengenepikan aku... dan aku ingin adik-beradikku berebut untuk bersama dengan aku... Aku ingin keluargaku mengenepikan segalanya setiap beberapa ketika, hanya untuk meluangkan masa denganku, dan akhir sekali, jadikanlahku boleh menjadikan mereka gembira dan menghiburkan mereka... Allah, aku tidak meminta banyak daripada Engkau... Aku hanya ingin hidup seperti setiap televisyen."

Tatkala itu, si suami berkata, "Ya Tuhanku, kasihan sungguh anak ini. Teruk ibu bapanya!"

Si isteri memandang suaminya dan berkata, "Esei itu ditulis oleh anak kita!"

Ia membuatkan anda berfikir bukan? Penderaan kanak-kanak tidak sepatutnya mengejutkan kita, kerana kekurangan jagaan dan asuhan oleh ibu bapa pada hari ini. Adalah penting untuk kita menawarkan kepada anak-anak kita layanan dari sudut latihan pendidikan, sokongan emosi dan bimbingan rohani. Hati seorang kanak-kanak perlu diisi dengan cinta dan iman. Minda seorang kanak-kanak  perlu dihiburkan dengan bimbingan, pengetahuan dan kebijaksanaan yang betul dan tidak dibiarkan diasuh oleh tekanan rakan sebaya, rangkaian sosial dan program televisyen yang tidak bermoral.

Firman Allah s.w.t. yang maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka..." (Al-Quran, 66:6)

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang mafhumnya :

"Setiap daripada kamu ialah pemelihara dan penjaga serta bertanggungjawab terhadap jagaannya dan segala perkara yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan seorang lelaki ialah penjaga ahli keluarganya, dan bertanggungjawab terhadap segala yang diletakkan di bawah jagaannya." (Hadis Bukhari dan Muslim)

Setiap perkataan, ekspresi wajah, bahasa badan ataupun tindakan ibu bapa memberikan mesej kepada anak-anak mengenai nilai diri. Adalah menyedihkan bahawa ramai ibu bapa tidak menyedari mesej apa yang mereka sampaikan.

Salah satu gelaran yang terbaik di dunia ialah ibu atau bapa, dan salah satu nikmat yang terbesar di dunia ialah mempunyai ibu bapa yang berkasih sayang dan sangat mengambil berat. Tiada persahabatan, cinta seperti itu daripada ibu bapa kepada anak-anak.




Berseronok bersama anak-anak, ketawa bersama mereka, berbual dengan mereka - kanak-kanak lebih mengingati waktu seronok daripada mereka mengingati mempunyai sesuatu. Apabila mereka membesar, mereka akan mengimbas kembali dan mengenang aktiviti seronok yang anda jalankan bersama dengan mereka, bukannya Playstation, IPod, telefon bimbit mahupun mainan yang mahal. Rasulullah s.a.w. sangat bersahaja dan berkasih sayang terhadap kanak-kanak. Baginda pernah mencium cucunya sementara seorang sahabatnya menyaksikan tindakan ini dan berkata : "Aku mempunyai sepuluh orang anak dan tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka." Rasulullah s.a.w. memandangnya seraya berkata, "Barangsiapa yang tidak memberikan kasih sayang, dia tidak akan diberikan kasih sayang." (Hadis Bukhari)

Kanak-kanak ialah anugerah yang sangat hebat untuk kehidupan di dunia ini dan lebih hebat lagi di akhirat kelak. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Apabila seseorang meninggal, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya, at-Tirmidzi, an-Nasai dan Imam Ahmad)

Dan jangan sekali-kali... ya, jangan sekali-kali abaikan dan wujudkan anak yatim apabila kedua-dua anda masih hidup. Sungguh, kanak-kanak ialah aset terbesar kita. Cintai dan berikan kasih sayang terhadap mereka pada waktu mereka paling memerlukannya dan mereka akan mencintai dan memberikan kasih sayang terhadap anda pada waktu anda paling memerlukannya.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'The Importance of Being There For Our Kids' oleh Abu Muhammad Yusuf

Thursday, 27 February 2014

Saintis Berkata Manusia Mungkin Berasal Daripada Tanah

Semua hidupan di bumi mungkin berasal daripada tanah menurut sebuah kajian saintifik yang baru - seperti mana yang dinyatakan oleh kitab Bible, al-Quran dan juga mitologi Yunani sejak beribu-ribu tahun yang lepas.




Teori yang terbaru menyatakan tanah liat - yang pada asasnya merupakan kombinasi mineral dalam tanah - bertindak sebagai tempat pembiakan molekul-molekul kecil dan bahan-bahan kimia yang ia 'serap seperti span'.

Proses ini memakan masa selama berbilion-bilion tahun, dan dalam tempoh tersebut, bahan-bahan kimia bertindak balas antara satu sama lain untuk menghasilkan protein, DNA dan akhirnya, sel-sel hidup, kata saintis kepada jurnal Scientific Reports.

Jurutera-jurutera biologi dari jabatan Nanoscale Science di Universiti Cornell di New York percaya bahawa tanah liat mungkin merupakan 'tempat lahir hidupan di bumi'.

Ia merupakan satu teori sejak beribu-ribu tahun dulu dalam banyak budaya, walaupun ia mungkin menggunakan penjelasan saintifik yang sama.

Dalam teks-teks keagamaan dari Mesir Purba hinggalah ke legenda Cina, Tuhan membentuk tanah liat menjadi bentuk manusia dan kemudian meniupkan roh ke dalamnya melalui lubang hidungnya.

Kitab Genesis (Kejadian) menerangkan bahawa manusia dijadikan daripada habuk dan kemudian dia akan kembali menjadi habuk setelah mati, dan para ulama Kristian menterjemahkannya daripada bahasa Ibrani purba sebagai tanah ataupun bumi itu sendiri.

Dalam air laut, tanah liat menjadi hydrogel, iaitu satu gumpalan ruang-ruang kecil yang menyerap mineral-mineral, bahan kimia dan molekul-molekul kecil yang dari sekelilingnya. Profesor Dan Luo dari Cornell berkata : "Dalam sejarah awal geologi, hydrogel tanah liat memberikan fungsi pengurungan untuk biomolekul dan tindak balas biokimia.

Dalam tempoh berbilion-bilion tahun, bahan-bahan kimia yang terkurung dalam ruang tersebut sudah boleh menjalankan tindak balas kompleks yang membentuk protein, DNA dan akhirnya semua fungsi yang menghidupkan sesuatu sel."

Kesimpulan ini adalah berdasarkan eksperimen-eksperimen oleh para pengkaji dengan menggunakan hydrogel sintetik, menambah DNA, asid amino dan enzim dan menjalankan simulasi penghasilan protein.

Ia merupakan satu teori kejadian hidupan di bumi, dan ia juga mungkin mempunyai kegunaan moden dan menjimatkan wang untuk menghasilkan ubat.

Laporan itu juga menambah : "Kenapa kita perlu ambil kira tanah liat? Kerana ia sangat murah. Tambahan pula, tanpa disangka-sangka, menggunakan tanah liat boleh meningkatkan penghasilan protein."

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'Was the Bible RIGHT about the origins of life? Scientists believe that we may have had our beginnings in CLAY' di DailyMail.co.uk

Monday, 17 February 2014

Soalan-soalan Lazim yang Ditanya oleh Bukan Muslim Bahagian 8 : Makanan Bukan Vegetarian Menjadikan Muslim Ganas

Soalan : Sains mengajar kita bahawa apa-apa yang kita makan, ia akan memberikan kesan kepada akhlak kita. Kalau begitu, mengapakah Islam membenarkan Islam memakan makanan bukan vegetarian, walaupun memakan haiwan boleh membuatkan seseorang menjadi ganas dan kejam?

Jawapan :

1. Hanya pengambilan binatang herbivor sahaja yang dibenarkan

Saya bersetuju bahawa apa-apa yang seseorang makan memberikan kesan kepada akhlaknya. Perkara ini ialah salah satu sebab mengapa Islam melarang pengambilan haiwan karnivor seperti singa, harimau, harimau bintang, dan lain-lain yang ganas dan buas. Islam hanya membenarkan pengambilan haiwan herbivor sahaja seperti lembu, kambing, biri-biri dan lain-lain yang lembut dan mudah dijinakkan. Muslim memakan haiwan yang lembut dan mudah dijinakkan kerana kita ialah manusia yang berkasih sayang dan tidak ganas.




2. Al-Quran mengatakan Nabi melarang apa yang tidak baik

Maksud ayat al-Quran :

"Nabi memerintahkan ke arah kebaikan dan melarang daripada kejahatan." "Dia membenarkan perkara-perkara halal dan melarang perkara-perkara haram." (Al-Quran, 7:157)

"Ambillah apa-apa yang diberikannya kepada kamu dan hentikanlah apa-apa yang dia cegah daripada kamu." (Al-Quran, 59:7)

Bagi seseorang Muslim, kenyataan Nabi saja cukup untuk meyakinkannya bahawa Allah tidak mahu manusia memakan sesetengah daging dan pada masa yang sama membenarkan sesetengah daging yang lain.

3. Hadis Nabi Muhammad s.a.w. melarang pengambilan haiwan karnivor





Menurut banyak hadis sahih yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim termasuk hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dalam Sahih Muslim, Buku pemburuan dan penyembelihan, hadis bernombor 4752 dan Sunan Ibn Majah jilid 13 hadis bernombor 3232 hingga 3234, Nabi Muhammad s.a.w. melarang pengambilan :

i. Haiwan liar yang mempunyai gigi taring, iaitu haiwan pemakan daging. Haiwan ini termasuk dalam famili kucing seperti singa, harimau, kucing, anjing, serigala, dubuk dan lain-lain.

ii. Rodensia seperti tikus, berkuku tajam.

iii. Sesetengah reptilia seperti ular, aligator dan lain-lain.

iv. Burung pemangsa yang mempunyai taji atau kuku tajam, seperti hering, helang, gagak, burung hantu dan lain-lain.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada buku 'Most Common Questions Asked By Non Muslims' oleh Dr Zakir Naik daripada Islamic Research Foundation
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.