Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Monday, 16 December 2013

Soalan-soalan Lazim yang Ditanya oleh Bukan Muslim Bahagian 1 : Poligami

Soalan : Mengapakah seseorang lelaki dibenarkan beristeri lebih daripada seorang dalam Islam?

Jawapan :

Definisi Poligami

1. Poligami bermaksud satu sistem di mana seorang mempunyai lebih daripada seorang pasangan. Poligami terdiri daripada dua jenis. Pertama, poligini di mana seorang lelaki mengahwini lebih daripada seorang perempuan, dan kedua, poliandri di mana seorang perempuan mengahwini lebih daripada seorang lelaki. Dalam Islam, poligini terhad dibenarkan, manakala poliandri dilarang sama sekali.

Sekarang, merujuk kepada soalan yang asal, kenapakah seorang lelaki dibenarkan mengahwini lebih daripada seorang wanita?

Saturday, 14 December 2013

Keluarga yang Bertanggungjawab Ialah Keluarga yang Penyayang



Dalam kehidupan berkeluarga, setiap individu memainkan peranan untuk melancarkan segala urusan. Peranan yang harus dijalankan oleh individu ini haruslah berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh al-Quran dan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.. Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran :

"Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan banyak mengingati Allah." (Surah al-Ahzab, 33:21)

Tidak kira sama ada individu itu ialah bapa, ibu, anak lelaki ataupun anak perempuan, bagi mereka petunjuk dan contoh yang jelas untuk diikuti daripada kehidupan Rasulullah s.a.w.. Peranan bapa bermula sejurus selepas dia menjadi seorang bapa. Tugasnya ialah menghalang perkara haram yang berlegar dalam masyarakat daripada menghampiri keluarganya. Hal ini termasuklah memberi keluarganya makanan yang halal dan menjauhkan mereka daripada pelbagai jenis hiburan yang haram seperti yang disiarkan di kaca televisyen dan sebagainya. Dia digalakkan melayani isterinya dengan cara yang sangat baik. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. :

"Orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang terbaik terhadap isteri mereka." (Tirmidzi)

Pada hari ini seseorang boleh berjalan di khalayak ramai dan berbuat baik kepada ramai orang, dan mereka boleh mempunyai persepsi yang baik terhadapnya, contohnya mereka menganggapnya warak, tetapi di rumah dia ialah seorang yang kasar terhadap isterinya dan si isteri itu hidup dalam ketakutan terhadap suaminya. Daripada hadis yang dinyatakan, kita tahu bahawa orang yang paling layak menilai seseorang lelaki ialah isterinya kerana jika dia berlaku baik kepada isterinya, isterinya akan menyatakannya.




Si bapa mestilah berusaha mendapatkan wang yang halal dan memastikan semua urusannya adalah bertepatan di sisi Islam. Dia haruslah mengelakkan semua jenis urusan yang melibatkan riba. Apabila seseorang terlibat dengan riba walaupun nilainya kecil, keberkatan akan dicabut daripada pendapatannya dan Allah s.w.t. akan menjadi murka terhadapnya. Perkara ini membawa kesan negatif kepada seluruh isi rumah yang seterusnya akan menyebabkan pertelingkahan suami dengan isteri dan pengingkaran anak-anak.

Tugas lain seorang bapa ialah mendidik ahli keluarganya dengan nilai-nilai Islam. Pendidikan sekular juga sangat penting tetapi hal ini kurang mengajar  anak-anak untuk berakhlak. Pengetahuan Islam akan membantunya hidup sebagai seorang manusia yang sebenar setiap hari. Perkara ini akan mengajarnya menghormati ibu bapanya, orang-orang tua dan guru-guru. Ia juga akan mendidik dirinya untuk melayani anak-anaknya serta ahli keluarganya yang lain. Jika seorang bapa tidak mendidik keluarganya dengan nilai-nilai Islam, mereka dikhuatiri akan terlibat dengan perkara yang haram, dan kemudian mereka akan menjadi derhaka. Apabila semua ini berlaku, si bapa hanya perlu menyalahkan dirinya.

Seorang ibu mestilah mengetahui peranannya dalam keluarga. Tugasnya ialah menggembirakan suaminya dan mewujudkan suasana sayang menyayangi di dalam rumahnya. Dia patut teliti dalam membesarkan anak-anaknya dengan memberikan perhatian kepada mereka mengikut umur. Oleh sebab perhatian dan kasih sayangnya, anak-anak akan membesar dengan baik dan menjadi warak. Mereka akan menjadi patuh dan mempunyai akhlak yang baik. Mereka yang sedang membesar haruslah menunjukkan penghormatan yang besar terhadap ibu bapa mereka.

Anak-anak tidak patut mengucapkan perkataan yang kasar kepada ibu bapa mereka dan mengingkari ibu bapa tanpa sebab yang sesuai. Kepatuhan kepada ibu bapa adalah dalam dua perkara ; apabila ibu bapa adil kepada anak-anak dan mereka sendiri mempunyai sifat jujur dan baik, mereka akan dipatuhi. Jika tidak, pengingkaran akan muncul dalam ahli keluarga itu. Anak juga haruslah menjauhi rakan-rakan yang tidak baik kerana hal ini, tanpa keraguan, memusnahkan sifat individu itu dan menyebabkan mereka gagal mencapai matlamat. Jika setiap orang memainkan peranan masing-masing dalam keluarga dan membantu untuk membetulkan mereka yang tidak melakukan tugas mereka, maka keluarga ini akan menjadi apa yang dinyatakan dalam al-Quran sebagai 'penyejuk mata' untuk si bapa, dan segala perkara akan berjalan dengan lancar insha Allah.

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'A Dutiful Family is A Loving Family'

Tujuh Golongan Yang Mendapat Naungan Allah

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Tujuh golongan yang Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya : Pertama, pemimpin yang adil. Kedua, pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Ketiga, insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Keempat, dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Kelima, insan yang digoda oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata "Sesungguhnya aku takutkan Allah." Keenam, insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. Ketujuh, insan yang mengingati Allah sendirian lalu menitiskan air matanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuh golongan yang dinyatakan itu berkaitan dengan tujuan serius yang patut kita usahakan dalam memajukan diri kita dan membantu orang lain dalam kehidupan mereka.

1. Pemimpin yang adil. Golongan yang pertama ini penting untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. apabila kita diberikan kuasa kepemimpinan. Kedudukan sebagai pemimpin merupakan satu tanggungjawab yang akan disoal dan sesuatu yang sangat berat di sisi Islam. Salah satu sebabnya adalah kita sentiasa berusaha mendapatkan kekuasaan dan dengan mudah menyalahgunakan kuasa itu lalu kita menyebabkan kesusahan kepada orang lain demi kesenangan kita. Hal ini ialah satu kepincangan kerana ia menunjukkan ketidaktanggungjawaban dan kerendahan nilai takwa. Kita melalui pelbagai situasi dalam kehidupan kita di mana kita diberikan kedudukan sebagai pemimpin. Apabila kita mendapat kedudukan sedemikian, kita haruslah bermusahabah diri dan berharap agar Allah mengurniakan kepada kita sahabat yang baik yang boleh membantu kita di atas jalan yang lurus. Pengajaran yang disampaikan di sini ialah cara-cara untuk memegang kuasa dengan tanggungjawab.

2. Pemuda yang membesar dengan ibadah. Golongan yang kedua ini ialah orang yang kita jarang temui. Mereka sangat baik dan sentiasa begitu. Mereka sangat istimewa kerana ketetapan mereka dalam beribadah membawa mereka lebih dekat kepada fitrah, ataupun keadaan asal manusia yang suci. Anda boleh merasakan kebaikan mereka apabila berinteraksi dengan mereka dan melihat keaslian daripada akhlak mereka. Kebanyakan kita tidak dibesarkan sebegini tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh memperbaharui komitmen kita terhadap Allah s.w.t.. Perkara ini ialah sesuatu yang kita boleh lakukan pada bila-bila masa dengan memohon keampunan daripada-Nya dan memulakan lembaran hidup yang baru. Pengajaran yang kita dapati di sini ialah menjadi hamba Allah dengan konsisten.

3. Lelaki yang hatinya terikat dengan masjid. Kumpulan yang ketiga ini terdiri daripada mereka yang mencintai rumah-rumah ibadah. Mereka ialah manusia yang memperuntukkan banyak masa untuk menunaikan solat. Mereka berusaha bersolat di masjid sekerap mungkin dan mendapati keindahan dan keseronokan daripada amalan tersebut. Mereka mengenali ketenangan dan kedamaian yang datang daripada masa di masjid, dan mereka mengingatkan orang lain agar melakukan perkara yang sama. Isi penting di sini ialah mencintai ibadah.

4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah. Terdapat banyak sebab mengapa kita boleh mengambil berat terhadap seseorang. Kadang-kadang sebab-sebab tersebut adalah kerana kepentingan diri, dan sebab-sebab tersebut boleh jadi juga kerana sebaliknya. Orang yang berkasih sayang hanya kerana Allah ialah mereka yang tidak mementingkan diri. Perkara ini ialah satu latihan hati yang harus dijalani oleh semua yang mencari keredaan Tuhan. Mereka mestilah belajar untuk menyucikan hubungan mereka dengan orang lain dan fokus pada tujuan yang mutakhir, iaitu keredaan Allah. Poin ini ialah mempelajari cara-cara berkasih sayang dengan betul dan untuk tujuan yang baik.

5. Orang yang menolak godaan daripada orang yang berlawanan jantina. Golongan yang kelima ini ialah orang yang diajak memenuhi nafsu mereka dengan cara yang bertentangan dengan syarak lalu dia menolaknya. Hal ini dinyatakan sebagai ujian yang besar yang boleh dilalui oleh seseorang dan ganjaran yang selayaknya untuk mereka yang lulus ujian ini ialah syurga. Mereka yang boleh melawan godaan sedemikian ialah orang yang mampu mengawal diri mereka dan sangat bertakwa kepada Allah s.w.t.. Pengajaran di sini ialah mempelajari bagaimana melawan kehendak segera untuk mendapatkan balasan yang lebih besar daripada Allah s.w.t..

6. Orang yang melakukan kebajikan tanpa kepentingan diri. Golongan yang keenam ini ialah mereka yang sangat dermawan sehingga mereka tidak tahu berapa banyak yang telah mereka sumbangkan. Perumpamaan yang digunakan adalah tangan kanan mereka begitu  bebas bersedekah sehingga tangan kiri mereka tidak sedar akan sedekah mereka. Amalan ini bukan hanya dilakukan apabila mereka senang atau pada perkara-perkara yang tertentu dan bukan yang lain-lain. Amalan ini sudah begitu sinonim dengan hidup mereka hingga ke satu tahap di mana ia mencapai semua punca kebaikan. Pengajaran di sini ialah menganggap kebajikan sebagai satu cara hidup.

7. Orang yang mengingati Allah lalu berlinangan air matanya.  Golongan yang ketujuh dan terakhir ini ialah mereka yang mengingati Allah bersendirian lalu menangis. Golongan ini menunjukkan perasaan yang sangat mendalam. Ramai orang mampu mengekalkan personaliti Islam yang stabil di khalayak ramai, tetapi apabila mereka bersendirian, mereka gagal melakukan sedemikian. Identiti dan ibadah mereka dianggap sebagai isu orang ramai tetapi mereka masih belum mencapai lubuk hati mereka di mana perihal kerohanian yang hakiki berada. Orang yang mengingati Allah s.w.t. secara bersendirian lalu menangis ialah mereka yang telah membina satu hubungan yang istimewa dan unik dengan Sang Pencipta ; satu hubungan intim yang tiada perkataan dapat menjelaskannya dan hanya dapat dirasai setelah berusaha kerana Allah dalam satu tempoh masa yang panjang. Matlamat ini ialah untuk menjadi rapat dengan Allah dan melepasi tujuan beragama yang biasa dan tidak mendalam.

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'The Seven Under Allah's Shade' oleh Jamaal Diwan

Thursday, 12 December 2013

5 Tips Pengurusan Masa Untuk Muslim

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dalam kebenaran, dan berpesan-pesan dalam kesabaran." (Surah al-Asr, 103 : 1-3)

Bayangkan anda sedang memulakan hari kerja anda. Anda duduk di hadapan komputer untuk memulakan projek yang anda sudahpun ketinggalan beberapa hari. Tiba-tiba telefon anda berdering. Anda berbual dengan sahabat sekerja anda selama 20 minit mengenai satu acara yang anda sedang merancang untuk hujung minggu. Selepas anda meletakkan gagang, anda menyemak pula status Facebook anda, respon kepada beberapa e-mel, dan terus menuju ke bilik rehat untuk menikmati snek. Tanpa anda sedari, dua jam sudah berlalu dan anda masih belum berbuat apa-apa kerja untuk projek anda. Dan sekarang anda mendapati kerja yang anda perlu selesaikan semakin bertimbun selain projek anda, dan anda hampir tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkannya. Adakah perkara seperti ini biasa berlaku kepada anda? Kalau ya, anda sangat memerlukan perubahan dalam pengurusan masa anda.

Perkara pertama yang anda harus berikan perhatian ialah : anda harus menguruskan masa anda. Masa sentiasa bergerak maju walau apa pun yang anda lakukan. Anda diberikan 24 jam, 1440 minit atau 86400 saat setiap hari untuk anda gunakan mengikut kehendak anda. Jika kita katakan 'menguruskan masa', ia menunjukkan bahawa anda boleh mengawal masa anda. Walaupun kita tidak boleh mengawal jumlah masa dalam sehari, namun, kita boleh mengawal apa yang kita lakukan dalam tempoh 24 jam yang diberikan -insha Allah.

Charles Bruxton pernah berkata, "Anda tidak akan mendapati masa untuk apa-apa pun. Jika anda inginkan masa, anda mestilah wujudkannya." Tips ini dirangka dengan harapan anda mampu untuk mengadakan masa untuk diri anda. Terpulang kepada anda jika anda memilih untuk menggunakan masa anda untuk menyiapkan kerja, meluangkan masa bersama keluarga, ataupun membaca buku sambil berbaring di atas buaian.

Di sini dikongsikan lima tips untuk membantu anda menggunakan masa anda dengan bijak, menjadi lebih produktif dan dengan itu, berasa lebih gembira dan kurang tertekan sebagai Muslim.

1. Ketahui ke mana masa anda bergerak. Jika anda ingin mengurangkan masa yang terbuang begitu sahaja, anda harus mencari di mana punca masalahnya. Cara yang paling mudah adaalah dengan duduk dengan pen dan kertas di tangan, dan merangka aktiviti harian anda. Anda mempunyai 24 jam ; tuliskan bagaimana anda rasa anda menghabiskannya. Untuk lakukannya dengan cara yang paling mudah, lukis satu carta yang ringkas yang menunjukkan jumlah masa yang anda peruntukkan untuk aktiviti-aktiviti anda. Contoh carta harian yang biasa akan kelihatan seperti ini :

Tidur : 8 jam
Makan (termasuk penyediaan) : 2 jam
Kerja : 8 jam
Perjalanan : 1 jam
Solat : 1 jam
Senaman : 1 jam
Mandi dan memakai pakaian : 1 jam
Lain-lain : 3 jam
Jumlah : 24 jam

Jumlah masa yang anda peruntukkan untuk setiap aktiviti berbeza mengikut jadual peribadi dan keutamaan anda. Oleh sebab anda sekarang sudah mendapat gambaran mengenai ke mana masa anda dihabiskan, mari kita kaji hal ini dari sudut yang lebih spesifik. Anda perlu catatkan ke mana masa anda dihabiskan.

Contohnya, anda tahu anda habiskan 8 jam di tempat kerja, tetapi anda gagal menyiapkan semua kerja. Kenapa? Bawa buku nota ke pejabat, dan catatkan segala yang anda lakukan dan berapa lama masa anda ambil untuk melakukannya. Catatkan setiap sesi minum kopi, semakan Facebook, perbincangan mengenai penyejuk air dan projek-projek. Di penghujung hari, anda mungkin akan terkejut kerana mengetahui berapa banyak masa yang anda habiskan atas perkara-perkara yang tidak penting, kerana anda mudah terganggu.

"Ada dua kurniaan yang memperdaya ramai manusia : Nikmat kesihatan dan masa lapang." (Bukhari 8/421)






2. Tetapkan tujuan : Apakah matlamat mutakhir anda? Sebagai Muslim, segala yang kita lakukan kerana Allah s.w.t. dianggap sebagai ibadah. Adakah anda inginkan lebih masa untuk berehat atau meluangkannya bersama keluarga tanpa rasa bersalah? Anda mungkin bekerja dari rumah dan anda mahukan lebih banyak kerja disiapkan untuk meningkatkan pendapatan anda, jadi anda perlulah menjadi lebih produktif. Walau apa jua tujuan anda, mempelajari cara-cara menguruskan masa dengan lebih cekap adalah sangat berguna. Anda hendaklah mencatatkan tujuan anda di atas sehelai kertas, dan letakkannya di mana anda boleh melihatnya. Apabila anda berasa terganggu, renungilah tujuan anda dan ingatkan diri anda agar fokus. Jika anda ingin memasukkan pembacaan al-Quran dalam aktiviti harian anda tetapi anda sudah kehabisan masa untuknya, mungkin anda boleh memasukkannya dalam 30 minit semasa anda memandu ke tempat kerja, dan 30 minit tatkala anda memandu pulang ke rumah, insha Allah.

Mewujudkan matlamat boleh menjadi cara yang berkesan untuk memastikan anda konsisten dalam sesuatu kerja. Apabila kita berterusan bermuhasabah bahawa kita perlu melakukan perubahan, kita akan cenderung untuk tetap dalam rancangan kita.

Pada masa yang sama, anda boleh wujudkan matlamat pengurusan masa yang spesifik. Umpamanya, tetapkan bahawa anda akan menyemak akaun twitter anda selepas anda sudah menyelesaikan sesuatu projek ataupun sesudah mejalankan kerja dalam sesuatu tempoh masa. Hadiahi diri anda selepas anda mencapai sesuatu tujuan, insha Allah.

3. Mulakan segalanya dengan lafaz Bismillah, dan mulakan dan akhiri hari anda dengan suatu rancangan : Ambil 20 hingga 30 minit setiap pagi untuk tuliskan apa yang anda perlu lakukan pada hari tersebut. Senarai aktiviti yang anda buat haruslah mengikut keutamaan. Dengan membuat senarai untuk semua perkara yang anda perlu lakukan pada awal pagi, anda menetapkan perjalanan minda anda. Di penghujung hari, ambil apa-apa yang anda tinggalkan dan tuliskannya dalam senarai aktiviti anda untuk hari esoknya. Setiap pagi anda perlu memasukkan dalam senarai anda aktiviti yang anda gagal lakukan pada hari sebelumnya. Kalau boleh letakkan aktiviti yang gagal dilakukan ini di atas senarai tersebut agar anda tidak mempunyai senarai kecil yang sentiasa mengikuti anda dari minggu ke minggu..

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda :

"Berwaspadalah terhadap lima perkara sebelum lima perkara : Waktu muda sebelum usia tua, masa sihat sebelum sakit, kekayaan sebelum kemiskinan, waktu lapang sebelum waktu sempit dan hidup sebelum mati." (Riwayat Tirmidzi)

4. Susun aktiviti anda mengikut keutamaan : Senaraikan enam perkara yang paling utama yang anda perlu selesaikan pada hari tersebut. Bagi sesetengah orang, jika jumlah aktiviti mereka melebihi enam, mereka akan berasa terbeban. Susunkan aktiviti anda dalam senarai itu daripada yang paling utama kepada yang kurang penting. Setelah anda selesaikan sesuatu perkara, teruskan kepada perkara yang seterusnya sehinggalah anda habiskan kesemuanya. Anda mungkin mampu atau tidak mampu untuk menyelesaikan semua perkara dalam senarai anda. Jika anda gagal menyelesaikan kesemua enam perkara, bawa perkara yang gagal dilaksanakan itu ke hari yang seterusnya dan catatkannya mengikut susunan.

5. Jadualkan penghantaran e-mel dan panggilan telefon : Tetapkan had masa untuk projek yang anda sedang usahakan dan peruntukkan jumlah masa yang spesifik untuk melakukan kerja-kerja kecil, seperti menyemak e-mel atau menjawab panggilan telefon. Menyemak e-mel anda setiap lima minit dan menjawab panggilan telefon setiap kali ia berdering boleh memakan masa anda. Abaikan telefon anda dan panggil semula orang yang panggilannya tidak dijawab itu kemudian, melainkan jika anda sedang menunggu panggilan yang sangat penting untuk projek anda.

Perkara yang paling penting untuk diingati adalah andalah yang menentukan apa yang anda lakukan dengan masa anda. Anda perlu memilih apa yang paling penting, dan perkara itu bukan seharusnya pekerjaan anda. Bagi saya dan keluarga saya, perkara yang paling penting ialah ibadah dan mengingati Allah dalam segala yang kami lakukan, insha Allah.

Menurut John Hall Gladstone : "Untuk memahami hidup seseorang, kita perlu bukan sahaja mengetahui apa yang dia lakukan, malah kita mestilah mengambil kira perkara yang dia sengaja tinggalkan. Terdapat had dalam jumlah kerja yang dilakukan oleh tubuh seseorang atau otaknya, dan dia ialah seorang yang tidak membazirkan tenaga untuk perkara yang tidak sesuai untuknya. Dan dia masih seorang yang bijak, dan memilih serta teguh untuk mengikuti perkara terbaik yang dia boleh ikuti daripada perkara-perkara lain yang dia boleh lakukan. Saya berdoa agar artikel ini bermanfaat bagi anda, dan agar anda, insha Allah, mengamalkannya dalam hidup anda.

*Artikel ini dicedok dan diterjemahkan daripada artikel '5 Time Management Tips For Muslims' oleh Zohra Sarwari

Islam : Agama yang Paling Disalahfahami

Islam merupakan agama yang paling banyak disalahfahami oleh manusia. Salah faham terhadap Islam bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat bukan Islam, malah sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Pelbagai tuduhan, tohmahan dan anggapan salah dibuat terhadap Islam yang menggambarkan kesalahfahaman masyarakat terhadap Islam. Semua ini berlaku kerana kejahilan terhadap hakikat agama Islam itu sendiri.


Salah Faham Kerana Media

Salah faham terhadap Islam wujud dalam minda orang bukan Islam kerana mereka kerap dimomokkan dengan maklumat yang tidak benar mengenai Islam. Sebahagian besar media antarabangsa, sama ada ia siaran satelit antarabangsa, stesen-stesen radio, akhbar-akhbar, majalah-majalah atau buku-buku, dikawal oleh Barat. Baru-baru ini, internet menjadi sumber maklumat yang sangat berpengaruh dalam masyarakat dunia. Walaupun ia tidak dikawal oleh sesiapa, kita akan mendapati banyak propaganda buruk terhadap Islam dalam internet. Sudah tentulah Muslim juga menggunakan internet sebagai wadah untuk mempamerkan imej Islam dan Muslim yang baik, tetapi mereka masih lagi ketinggalan jauh berbanding mereka yang menyebarkan propaganda buruk mengenai Islam. Saya berharap agar usaha-usaha para Muslim akan meningkat dan diteruskan pada masa depan.


Salah Faham Berubah Mengikut Masa

Soalan-soalan yang lazim mengenai Islam berubah mengikut zaman. Soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam blog ini adalah mengikut zaman sekarang. Set-set soalan dalam beberapa dekad sebelum ini berbeza. Demikian juga yang dijangka akan berlaku dalam beberapa dekad yang akan datang. Set-set soalan boleh berubah bergantung pada cara bagaimana Islam disampaikan oleh media.


Salah faham Adalah Sama Sahaja Di Serata Dunia

Dr Zakir Naik sudah berinteraksi dengan ramai orang di banyak tempat di seluruh dunia dan beliau mendapati soalan-soalan yang paling biasa mengenai Islam adalah sama sahaja di semua tempat. Mungkin terdapat beberapa soalan tambahan mengikut orang-orang tempatan, persekitaran dan budaya. Contohnya, di Amerika, soalan tambahan yang biasa ialah "Mengapakah Islam melarang riba?".


Salah Faham Oleh Bukan Muslim yang Mempelajari Islam

Terdapat ramai bukan Muslim yang sudah mempelajari Islam. Kebanyakan mereka hanya membaca buku tentang Islam yang ditulis secara berat sebelah oleh para pengkritik. Orang-orang bukan Muslim ini biasanya melontarkan soalan-soalan tambahan mengenai Islam. Umpamanya, mereka menyatakan mereka menemui percanggahan di dalam al-Quran, mereka menegaskan bahawa al-Quran tidak selari dengan penemuan sains, dan sebagainya. Penerangan bagi membincangkan jawapan kepada salah faham mereka juga akan dimuatkan dalam blog ini. Penerangan kepada permasalahan ini juga boleh didapati daripada buku 'Answers to Common Questions About Islam by Non-Muslims Who Have Some Knowledge About Islam'.

*Sebahagian artikel dicedok dan diterjemahkan daripada buku 'Most Common Questions Asked By Non-Muslims' tulisan Dr Zakir Naik

Wednesday, 17 July 2013

IFTTAR RAMADAN HIDAYAH CENTRE JOHOR


Sukacita dimaklumkan bahawa Hidayah Centre Johor akan menganjurkan Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre Johor 1434H pada 28 Julai 2013 di Dewan Seri Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Johor. Program ini bertujuan untuk menyantuni para saudara kita (mualaf) dan keluarga masing-masing di samping untuk menjana dana Hidayah Centre Johor dimana ia merupakan sebuah agensi dibawah IKRAM Johor. Dana diperlukan bagi membolehkan Hidayah Centre Johor memiliki premis sendiri serta untuk meningkatkan aktivisme perkongsian, pendidikan dan dakwah dengan lebih berkesan.

Sehubungan dengan itu, pihak YBhg./YB Tan Sri/Datuk/Dato’/Tuan/Puan dirayu untuk memberikan sumbangan kepada Hidayah Centre Johor, sekali gus diundang untuk bersama-sama hadir ke program iftar ini. Segala sumbangan boleh disalurkan ke akaun BIMB 01014010052925 di atas nama Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor. 
Tolong maklumkan sumbangan kepada Azimah (013-7574878) atau Azila (017-4471653) Turut dilampirkan poster dan aturcara program untuk makluman dan rujukan. 

Friday, 28 June 2013

~~Jom Jalan-Jalan Sembang-Sembang Ramadhan ~~








Assalammualaikum 

Inginkan cabaran hidup sebagai seorang Muslim? JOM sertai kami Hidayah Center Johor dalam menyampaikan mesej Ramadhan di sekitar Johor Bahru pada hari Ahad. 

Jangan lepaskan peluang merasai perjalanan berkongsi apakah itu Ramadhan pada masyarakat!

7 JULAI 2013.
Tempat berkumpul di IKRAM JBT jam 9 pagi. Sesi briefing dan lain lain.

Tarikh tutup pendaftaran pada 5 JULAI 2013
Sila daftarkan diri pada link di bawah

https://docs.google.com/forms/d/12LbwvrUB0GxH0QjRyKU1LYjFTx1imtv7o9Tf1vdLbXE/viewform?pli=1

untuk makluman lanjut, Sila hubungi Sahabat kami Syauqy Amin dan Aainaa Latiff
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.