Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Friday 14 March 2014

Kepentingan Berada Di Sisi Anak-anak Kita

cute kids babies hd 6


Hari itu sangat indah dan cerah. Moosa dan Fatima, dua orang kembar berumur 5 tahun yang aktif lagi ceria, cuba menarik perhatian kedua-dua ibu bapa mereka kepada istana pasir yang telah mereka bina selama berjam-jam di halaman rumah mereka. Bapa terlalu sibuk membalas e-mel melalui Blackberrynya  sambil menonton televisyen sementara ibu pula sedang berbual dengan rakannya dan mengemaskini laman Facebooknya sejak beberapa jam yang lepas. Ibu dan bapa, hampir tidak menyedari pencapaian anak-anak mereka. Kedua-dua mereka sentiasa begitu sibuk dengan kerja dan kehidupan sosial mereka sehingga mereka hampir tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama anak-anak.

Selain daripada empat minggu pertama yang diluangkan bersama ibu selepas dilahirkan, kedua-dua Moosa dan Fatima diasuh di pusat jagaan kanak-kanak sejak kecil lagi. Pada waktu petang, ibu mengambil mereka dalam perjalanannya pulang dari pejabat. Bapa selalu pulang pada lewat dam kedua-dua ibu bapa itu tidak mempunyai banyak masa untuk berinteraksi dengan anak-anak sebelum waktu untuk tidur.




Satu fenomena aneh bagi kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa mereka, tetapi mereka ialah 'anak-anak yatim moden'. Oleh sebab ibu bapa terlalu sibuk dengan kehidupan material dan sosial, mereka tidak dapat meluangkan masa yang asas dan penting untuk anak-anak mereka. Maka, mereka mengabaikan anak-anak dan menjatuhkan darjat mereka ke tahap 'anak yatim moden'. Ibu bapa berada di sana, tetapi sebenarnya mereka tidak berada di sana.

Pengabaian kanak-kanak, satu jenis penderaan terhadap kanak-kanak yang biasa, merupakan satu corak kegagalan menyediakan keperluan asas kanak-kanak; ia tidak hanya berkait dengan kekurangan makanan, pendidikan dan pakaian, tetapi juga merentasi keperluan kerohanian dan emosi dan juga kebersihan dan penjagaan. Pengabaian kanak-kanak tidak dapat dikesan dengan mudah dan ibu bapa yang bersalah sentiasa tidak menyedari akan kehadiran sindrom ini.

Baru-baru ini, seorang guru di sebuah sekolah rendah meminta murid-muridnya menulis esei mengenai apa yang mereka suka...

Di penghujung hari semasa menanda esei-esei tersebut, dia membaca sebuah esei yang memenuhkan emosinya. Suaminya yang baru saja berjalan masuk melihatnya menangis dan bertanya, "Apa yang berlaku?"

Jawabnya, "Baca ini, salah satu esei murid saya."

"Ya Allah, pada malam ini aku meminta Engkau satu perkara yang amat istimewa : Jadikan aku sebuah televisyen. Aku ingin mengambil tempatnya. Hidup seperti sebuah TV di dalam rumah. Mempunyai tempat yang istimewa dan dikelilingi oleh keluargaku. Diambil serius apabila aku bercakap... Aku ingin menjadi di tengah-tengah perhatian dan didengari tanpa gangguan mahupun soalan. Aku ingin menerima layanan yang sama seperti mana yang diterima oleh televisyen apabila ia tidak bekerja.

Ditemani bapa apabila beliau pulang dari pejabat, walaupun pada waktu beliau penat dan aku mahu ibu inginkan aku apabila beliau sedih dan tertekan, dan bukannya mengenepikan aku... dan aku ingin adik-beradikku berebut untuk bersama dengan aku... Aku ingin keluargaku mengenepikan segalanya setiap beberapa ketika, hanya untuk meluangkan masa denganku, dan akhir sekali, jadikanlahku boleh menjadikan mereka gembira dan menghiburkan mereka... Allah, aku tidak meminta banyak daripada Engkau... Aku hanya ingin hidup seperti setiap televisyen."

Tatkala itu, si suami berkata, "Ya Tuhanku, kasihan sungguh anak ini. Teruk ibu bapanya!"

Si isteri memandang suaminya dan berkata, "Esei itu ditulis oleh anak kita!"

Ia membuatkan anda berfikir bukan? Penderaan kanak-kanak tidak sepatutnya mengejutkan kita, kerana kekurangan jagaan dan asuhan oleh ibu bapa pada hari ini. Adalah penting untuk kita menawarkan kepada anak-anak kita layanan dari sudut latihan pendidikan, sokongan emosi dan bimbingan rohani. Hati seorang kanak-kanak perlu diisi dengan cinta dan iman. Minda seorang kanak-kanak  perlu dihiburkan dengan bimbingan, pengetahuan dan kebijaksanaan yang betul dan tidak dibiarkan diasuh oleh tekanan rakan sebaya, rangkaian sosial dan program televisyen yang tidak bermoral.

Firman Allah s.w.t. yang maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka..." (Al-Quran, 66:6)

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang mafhumnya :

"Setiap daripada kamu ialah pemelihara dan penjaga serta bertanggungjawab terhadap jagaannya dan segala perkara yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan seorang lelaki ialah penjaga ahli keluarganya, dan bertanggungjawab terhadap segala yang diletakkan di bawah jagaannya." (Hadis Bukhari dan Muslim)

Setiap perkataan, ekspresi wajah, bahasa badan ataupun tindakan ibu bapa memberikan mesej kepada anak-anak mengenai nilai diri. Adalah menyedihkan bahawa ramai ibu bapa tidak menyedari mesej apa yang mereka sampaikan.

Salah satu gelaran yang terbaik di dunia ialah ibu atau bapa, dan salah satu nikmat yang terbesar di dunia ialah mempunyai ibu bapa yang berkasih sayang dan sangat mengambil berat. Tiada persahabatan, cinta seperti itu daripada ibu bapa kepada anak-anak.




Berseronok bersama anak-anak, ketawa bersama mereka, berbual dengan mereka - kanak-kanak lebih mengingati waktu seronok daripada mereka mengingati mempunyai sesuatu. Apabila mereka membesar, mereka akan mengimbas kembali dan mengenang aktiviti seronok yang anda jalankan bersama dengan mereka, bukannya Playstation, IPod, telefon bimbit mahupun mainan yang mahal. Rasulullah s.a.w. sangat bersahaja dan berkasih sayang terhadap kanak-kanak. Baginda pernah mencium cucunya sementara seorang sahabatnya menyaksikan tindakan ini dan berkata : "Aku mempunyai sepuluh orang anak dan tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka." Rasulullah s.a.w. memandangnya seraya berkata, "Barangsiapa yang tidak memberikan kasih sayang, dia tidak akan diberikan kasih sayang." (Hadis Bukhari)

Kanak-kanak ialah anugerah yang sangat hebat untuk kehidupan di dunia ini dan lebih hebat lagi di akhirat kelak. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Apabila seseorang meninggal, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya, at-Tirmidzi, an-Nasai dan Imam Ahmad)

Dan jangan sekali-kali... ya, jangan sekali-kali abaikan dan wujudkan anak yatim apabila kedua-dua anda masih hidup. Sungguh, kanak-kanak ialah aset terbesar kita. Cintai dan berikan kasih sayang terhadap mereka pada waktu mereka paling memerlukannya dan mereka akan mencintai dan memberikan kasih sayang terhadap anda pada waktu anda paling memerlukannya.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'The Importance of Being There For Our Kids' oleh Abu Muhammad Yusuf
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.