Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Thursday 27 February 2014

Saintis Berkata Manusia Mungkin Berasal Daripada Tanah

Semua hidupan di bumi mungkin berasal daripada tanah menurut sebuah kajian saintifik yang baru - seperti mana yang dinyatakan oleh kitab Bible, al-Quran dan juga mitologi Yunani sejak beribu-ribu tahun yang lepas.




Teori yang terbaru menyatakan tanah liat - yang pada asasnya merupakan kombinasi mineral dalam tanah - bertindak sebagai tempat pembiakan molekul-molekul kecil dan bahan-bahan kimia yang ia 'serap seperti span'.

Proses ini memakan masa selama berbilion-bilion tahun, dan dalam tempoh tersebut, bahan-bahan kimia bertindak balas antara satu sama lain untuk menghasilkan protein, DNA dan akhirnya, sel-sel hidup, kata saintis kepada jurnal Scientific Reports.

Jurutera-jurutera biologi dari jabatan Nanoscale Science di Universiti Cornell di New York percaya bahawa tanah liat mungkin merupakan 'tempat lahir hidupan di bumi'.

Ia merupakan satu teori sejak beribu-ribu tahun dulu dalam banyak budaya, walaupun ia mungkin menggunakan penjelasan saintifik yang sama.

Dalam teks-teks keagamaan dari Mesir Purba hinggalah ke legenda Cina, Tuhan membentuk tanah liat menjadi bentuk manusia dan kemudian meniupkan roh ke dalamnya melalui lubang hidungnya.

Kitab Genesis (Kejadian) menerangkan bahawa manusia dijadikan daripada habuk dan kemudian dia akan kembali menjadi habuk setelah mati, dan para ulama Kristian menterjemahkannya daripada bahasa Ibrani purba sebagai tanah ataupun bumi itu sendiri.

Dalam air laut, tanah liat menjadi hydrogel, iaitu satu gumpalan ruang-ruang kecil yang menyerap mineral-mineral, bahan kimia dan molekul-molekul kecil yang dari sekelilingnya. Profesor Dan Luo dari Cornell berkata : "Dalam sejarah awal geologi, hydrogel tanah liat memberikan fungsi pengurungan untuk biomolekul dan tindak balas biokimia.

Dalam tempoh berbilion-bilion tahun, bahan-bahan kimia yang terkurung dalam ruang tersebut sudah boleh menjalankan tindak balas kompleks yang membentuk protein, DNA dan akhirnya semua fungsi yang menghidupkan sesuatu sel."

Kesimpulan ini adalah berdasarkan eksperimen-eksperimen oleh para pengkaji dengan menggunakan hydrogel sintetik, menambah DNA, asid amino dan enzim dan menjalankan simulasi penghasilan protein.

Ia merupakan satu teori kejadian hidupan di bumi, dan ia juga mungkin mempunyai kegunaan moden dan menjimatkan wang untuk menghasilkan ubat.

Laporan itu juga menambah : "Kenapa kita perlu ambil kira tanah liat? Kerana ia sangat murah. Tambahan pula, tanpa disangka-sangka, menggunakan tanah liat boleh meningkatkan penghasilan protein."

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'Was the Bible RIGHT about the origins of life? Scientists believe that we may have had our beginnings in CLAY' di DailyMail.co.uk

Monday 17 February 2014

Soalan-soalan Lazim yang Ditanya oleh Bukan Muslim Bahagian 8 : Makanan Bukan Vegetarian Menjadikan Muslim Ganas

Soalan : Sains mengajar kita bahawa apa-apa yang kita makan, ia akan memberikan kesan kepada akhlak kita. Kalau begitu, mengapakah Islam membenarkan Islam memakan makanan bukan vegetarian, walaupun memakan haiwan boleh membuatkan seseorang menjadi ganas dan kejam?

Jawapan :

1. Hanya pengambilan binatang herbivor sahaja yang dibenarkan

Saya bersetuju bahawa apa-apa yang seseorang makan memberikan kesan kepada akhlaknya. Perkara ini ialah salah satu sebab mengapa Islam melarang pengambilan haiwan karnivor seperti singa, harimau, harimau bintang, dan lain-lain yang ganas dan buas. Islam hanya membenarkan pengambilan haiwan herbivor sahaja seperti lembu, kambing, biri-biri dan lain-lain yang lembut dan mudah dijinakkan. Muslim memakan haiwan yang lembut dan mudah dijinakkan kerana kita ialah manusia yang berkasih sayang dan tidak ganas.




2. Al-Quran mengatakan Nabi melarang apa yang tidak baik

Maksud ayat al-Quran :

"Nabi memerintahkan ke arah kebaikan dan melarang daripada kejahatan." "Dia membenarkan perkara-perkara halal dan melarang perkara-perkara haram." (Al-Quran, 7:157)

"Ambillah apa-apa yang diberikannya kepada kamu dan hentikanlah apa-apa yang dia cegah daripada kamu." (Al-Quran, 59:7)

Bagi seseorang Muslim, kenyataan Nabi saja cukup untuk meyakinkannya bahawa Allah tidak mahu manusia memakan sesetengah daging dan pada masa yang sama membenarkan sesetengah daging yang lain.

3. Hadis Nabi Muhammad s.a.w. melarang pengambilan haiwan karnivor





Menurut banyak hadis sahih yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim termasuk hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dalam Sahih Muslim, Buku pemburuan dan penyembelihan, hadis bernombor 4752 dan Sunan Ibn Majah jilid 13 hadis bernombor 3232 hingga 3234, Nabi Muhammad s.a.w. melarang pengambilan :

i. Haiwan liar yang mempunyai gigi taring, iaitu haiwan pemakan daging. Haiwan ini termasuk dalam famili kucing seperti singa, harimau, kucing, anjing, serigala, dubuk dan lain-lain.

ii. Rodensia seperti tikus, berkuku tajam.

iii. Sesetengah reptilia seperti ular, aligator dan lain-lain.

iv. Burung pemangsa yang mempunyai taji atau kuku tajam, seperti hering, helang, gagak, burung hantu dan lain-lain.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada buku 'Most Common Questions Asked By Non Muslims' oleh Dr Zakir Naik daripada Islamic Research Foundation

Monday 10 February 2014

Kebaikan Dalam Kejujuran

Kejujuran berkait rapat dengan kepercayaan dan mungkin boleh dianggap sebagai kualiti kembarnya. Seperti kepercayaan, ia juga merupakan sifat utama yang kedua bagi Rasulullah s.a.w. kerana baginda pernah digelar As-Sadiq (yang jujur) kerana baginda sangat jujur. Sama seperti kepercayaan, ia berhubung kait dengan iman. Tidaklah patut bagi seseorang Mukmin untuk berlaku tidak jujur, ataupun seseorang penipu menjadi seorang Mukmin.




Dari segi keseriusan dan kejelikan, al-Quran menyamakan perbuatan berbohong dengan menyembah berhala. Dalam surah al-Hajj, Allah s.w.t. berfirman :

"Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan-Nya." (Al-Quran, 22:30-31)

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. berdiri dengan segera selepas menunaikan solat Subuh dan mengulangi perkataan berikut sebanyak tiga kali, "Penyaksian palsu sudah disamakan dengan penyembahan berhala". Kemudian, baginda membacakan ayat daripada al-Quran di atas. (Kisah ini diriwayatkan oleh Khuraim ibn Faatik dalam Sunan Abu Daud dan Sunan Ibn Majah)

Juga, ambil pengajaran daripada kisah ini : Rasulullah s.a.w. pernah ditanya sama ada seseorang yang beriman boleh menjadi penakut ataupun tamak. Baginda menjadi ia boleh berlaku. Tetapi apabila baginda ditanya sama ada seseorang mukmin boleh menjadi penipu, baginda menjawab "Tidak!" (Diriwayatkan oleh Safwan ibn Sulaim oleh Malik dan Baihaqi)

Marilah kita mengingatkan diri kita mengenai hadis-hadis berikut apabila bercakap tentang kepercayaan :

"Terdapat empat perkara yang mana barangsiapa ada padanya perkara ini, dia ialah seorang munafik; dan barangsiapa ada padanya salah satu daripadanya, dia mempunyai sifat munafik sehinggalah dia menjauhinya : Apabila diberi amanah, dia mengkhianati; apabila berbicara, dia berdusta; apabila berjanji, dia memungkiri; dan apabila berbalah, dia melampaui batas." (Abdullah ibn Umar dalam Bukhari dan Muslim)

"Seseorang Mukmin boleh mempunyai sesuatu sifat buruk kerana kelemahannya sebagai seorang manusia, tetapi tidak boleh ada padanya sifat tidak jujur atau berbohong." (Dirayatkan oleh Ahmad dan Baihaqi daripada Abu Umamah)

Maka, Rasulullah s.a.w. menasihati kita :

"Kamu mestilah mengamalkan kejujuran kerana ia membawa kepada ketakwaan yang akan membawa ke syurga. Apabila seseorang berterusan mengatakan perkara yang benar dan mengamalkan hidup yang jujur, dia ditulis sebagai Siddiq (yang paling jujur dan dekat dengan kebenaran) di sisi Allah. Dan kamu mestilah jauhi perbuatan berbohong kerana ia membawa kepada kemaksiatan yang akan membawa kepada neraka. Apabila seseorang berterusan mengatakan kebohongan dan hidup dalam kebohongan, dia termasuk dalam senarai pembohong di sisi Allah Taala." (Diriwayatkan oleh Abdullah ibn Mas'ud dalam Bukhari dan Muslim)

"Ketidakjujuran yang paling teruk ialah kamu berbohong kepada saudara kamu mengenai sesuatu lalu dia mempercayai kamu." (Diriwayatkan oleh Sufyan ibn Aseed al-Hadhrami dalam Abu Daud)

Di sisi yang positif, mari kita membaca juga tiga hadis yang memberikan berita baik kepada orang-orang yang jujur :

"Jika mencintai Allah dan rasul-Nya ataupun dicintai Allah dan rasul-Nya boleh menggembirakan seseorang, maka hendaklah dia berlaku jujur apabila berbicara, mengembalikan amanah apabila diberikannya, dan menunjukkan akhlak yang baik terhadap jiran tetangganya." (Diriwayatkan oleh Baihaqi dalam Shu'abul Iman daripada Abdur-Rahman ibn Abi Qurad)

"Berikan aku jaminan dengan perkara, aku akan berikan kamu jaminan dengan syurga : Berlaku jujur apabila berbicara, penuhi janji apabila berjanji, tunaikanlah jika diberi amanah, peliharalah kemaluan kamu, tundukkanlah pandangan kalian, tahanlah tangan kalian." (Dirawayatkan oleh Baihaqi dalam Shu'abul Iman daripada Ubadah bin Saamit)

"Seseorang peniaga yang benar dan jujur akan ditemani oleh para nabi, rakan-rakan mereka yang ikhlas dan para syuhada." (Abu Said dalam Tirmidzi, Ad-Darami dan Ad-Daru-qutnee)

Apa yang kita ucapkan bukan sahaja perlu benar, bahkan ia juga mestilah apa yang paling perlu, adil, terus dan berfaedah. Al-Quran memerintahkan :

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan ucapkanlah kata-kata yang tepat dan benar." (Al-Quran, 33:70)




Di samping berhati-hati dalam menghindari kesalahan dalam segala situasi serius dan besar, seseorang Mukmin yang ikhlas juga haruslah berjaga-jaga terhadap perkataannya. Dia mengelakkan berkata sesuatu yang tidak benar walaupun dalam situasi yang kecil, apabila bercakap dengan kanak-kanak dan dalam gurauan. Dia juga menghindari menyebarkan khabar angin, gosip ataupun apa-apa berita yang dia tidak punyai pengetahuan yang jelas mengenai ketepatannya.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Seseorang itu cukup untuk dianggap berbohong apabila dia memberitahu orang lain apa yang dia dengar." (Diriwayatkan dalam Muslim oleh Abu Hurairah)




Abdullah ibn Amir meriwayatkan : "Pada satu hari, Rasulullah s.a.w. duduk di hadapan rumah kami dan ibuku memanggil aku, "Mari ke sini, ibu ingin memberikan sesuatu". Rasulullah s.a.w. bertanya, "Apa yang kamu ingin berikan kepadanya?" Dia berkata bahawa dia memberikannya sebiji kurma. Baginda menjawab, "Jika kamu tidak memberikannya sesuatu, ia akan dicatatkan ke atas kamu sebagai pembohongan." (Abu Daud)

"Perbuatan berbohong tidak dapat diterima, sama ada secara serius ataupun bergurau. Tidak juga apabila kamu berjanji untuk memberikan sesuatu kepada anak kamu, tetapi kemudian kamu tidak memberikannya." (Diriwayatkan dalam Al-Adabul Mufrad daripada Abdullah)

"Celakalah orang yang berbohong untuk membuatkan orang lain ketawa. Celakah dia. Celakalah dia." (Bahz bin Hakim dalam at-Tirmidzi)

Memberikan tanggapan yang salah juga merupakan satu bentuk penipuan :

"Seorang wanita pernah bertanya Rasulullah s.a.w., "Suami saya mempunyai isteri lain. Adakah berdosa jika saya berpakaian dan hidup dengan baik, menunjukkan seolah-olah suami saya yang memberikannya kepada saya? Dia menjawab, "Jika seseorang memberikan tanggapan sesuatu yang tidak diberikan kepadanya, maka orang itu adalah seperti seseorang yang berpakaian kebohongan." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Mishkah daripada Asmaa)

Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian di mana menahan kebenaran, mengelirukan dan dalam sesetengah situasi, memberikan khabar yang tidak benar tidak menjadikan seseorang itu menipu. Salah satu situasi tersebut ialah peperangan. Contohnya, jika seseorang Muslim ditangkap sebagai seorang tawanan, dia tidak boleh memberitahu kedudukan dan fakta sebenar mengenai tentera Muslim yang akan memberikan kelebihan kepada pihak musuh. Sebaliknya, dia patut mengatakan perkara yang akan mengelirukan musuh atau menjatuhkan mereka untuk memendekkan tempoh peperangan, untuk mengurangkan kematian ataupun membantu tentera Muslim. Contoh lain adalah apabila mendamaikan dua pihak. Sabda Rasulullah s.a.w. :

"Tidaklah berbohong seseorang yang mengucapkan perkara yang baik untuk mendamaikan manusia." (Diriwayatkan oleh Ummi Kalthum dalam Bukhari dan Muslim)

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'The Virtue of Truthfulness'

Tuesday 4 February 2014

Kita Tidak Dilahirkan Dalam Keadaan Berilmu, Kita Perlu Belajar

Bismillah

Diriwayatkan bahawa Umar ibn al-Khattab r.a. pernah berkata : "Setiap hari, kita diberitahu si fulan baru sahaja meninggal dunia. Yang pasti, satu hari nanti akan dikatakan : 'Umar telah meninggal dunia.'"

Mari kita renungkan sebentar. Satu hari nanti, akan dikatakan : "[Masukkan nama anda] sudah meninggal dunia."

Kematian bermaksud masa sudah tamat, peluang sudah tiada, tindakan sudah habis. Melainkan...

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : "Apabila seseorang mati, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara : Sedekah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat, dan anak-anak yang mendoakannya." (Sahih Muslim)

Insha Allah, ramai daripada kita mampu untuk menderma dan menjadi sukarelawan dan mungkin mempunyai anak, tetapi bagaimana boleh kita dapatkan perkara yang kedua di atas jika kita bukan ilmuwan? Terdapat banyak cara untuk seseorang menyampaikan ilmu yang bermanfaat; menganjurkan halaqah ataupun persidangan untuk berkongsi pengetahuan kita dengan orang lain.

Terdapat satu lagi cara untuk kita lakukan perkara yang sedemikian, iaitu sesuatu yang diberikan ganjaran yang lebih besar daripada memberikan al-Quran walaupun itu merupakan satu perbuatan sedekah jariah yang terpuji.

Mempelajari dan Mengajarkan al-Quran

Kepada para pembaca yang sudah membaca subtopik ini dan ingin berhenti membaca kerana anda merasakan artikel ini bukan untuk anda - nanti dulu, artikel ini memang untuk anda.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : "Orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Bukhari)




Mungkin apabila sebahagian kita membaca hadis ini, kita secara automatik menafikan bahawa kita boleh termasuk dalam kalangan orang sedemikian dan mengaitkan ganjaran yang dijanjikan kepada para sheikh, hafiz al-Quran, orang yang dilahirkan dalam keluarga yang warak sahaja - tetapi kita tidak pernah terfikir bahawa kita boleh berusaha bersungguh-sungguh dan kita boleh menjadi seperti orang-orang tersebut.

Adakah anda berfikir : "Saya!? Menjadi guru al-Quran?... Saya!?"

Kalau begitu, kepada siapakah hadis ini ditujukan, jika bukan anda, wahai Muslim yang sangat berpotensi?

Seorang guru al-Quran pernah mengatakan beliau dan guru-guru al-Quran yang lain tidak dilahirkan dalam keadaan mengetahui al-Quran, mereka juga perlu belajar dan melakukan kesilapan. Tapi akhirnya, mereka belajar.

Ganjaran Mengajar al-Quran yang Tidak Boleh Dibayangkan

Fikirkanlah : Jika anda mengajarkan abjad Arab dan/atau tajwid kepada hanya seorang, anda boleh mendapat ganjaran daripada seluruh keturunannya dan generasi masa depan insha Allah. Hal ini tidak mengambil kira ganjaran yang anda peroleh melalui pencarian ilmu dan mempelajari al-Quran.

Bagaimana?

Insha Allah anda dan mereka yang anda ajarkan akan sekurang-kurangnya mengajar anak-anak mereka. Kemudian, mereka akan mengajar anak-anak mereka, yang akan mengajar anak-anak mereka pula, dan seterusnya insha Allah. Bagi setiap individu dalam keturunan anda dan keturunan pelajar-pelajar anda, anda akan mendapat ganjaran untuk setiap huruf al-Quran yang mereka bacakan.

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, dia akan diberikan ganjaran pahala, dan sesuatu ganjaran itu digandakan sebanyak sepuluh kali. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (at-Tirmidzi)

Allah s.w.t. Maha Mengasihani lagi Maha Pemurah.

Mencari Keredaan Allah Taala

Pada tahap ini, saya ingin mengingatkan kita untuk merakamkan gambaran dan matlamat besar dalam minda apabila mempelajari al-Quran dan Islam. Di sini, matlamat dan visinya bukanlah untuk mendapatkan status ustaz atau hafiz sahaja. Seperti yang kita ketahui, amalan ini bukanlah untuk mendapatkan sijil, gelaran ataupun pujian. Ia hanyalah untuk Allah s.w.t. - untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan mendapatkan keredaan-Nya.

Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk menunjukkan bahawa mempelajari dan mengajar al-Quran merupakan sesuatu yang setiap daripada kita boleh usahakan, lalu ia menjadi cara yang mudah untuk mewariskan ilmu yang boleh memberi manfaat kepada kita selepas kematian. Mempelajari kata-kata Allah ialah salah satu cara yang mulia untuk memenuhi tujuan hidup kita dan matlamat yang lebih besar untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t..

Mempelajari dan mengajar al-Quran ialah satu amalan sedekah jariah yang boleh dicapai tanpa kos yang diperlukan untuk memulakan kebajikan atau membina organisasi. Ia satu amalan yang boleh dilakukan oleh ramai orang kerana ia tidak memerlukan banyak wang atau menyewa ruang pejabat. Ia memerlukan keikhlasan, kesabaran, cita-cita, seorang guru, senaskhah mushaf, sedikit masa dan kurniaan Allah s.w.t..

Mempelajari dan Mengajar al-Quran

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : "Orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Bukhari)

Apa yang saya dapati baru-baru ini mengenai hadis di atas ialah ia mengakui proses ini dan dengan spesifik menyatakan mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya; ia tidak hanya mengatakan orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah mereka yang mengajarkan al-Quran.




Mereka yang mengajarkan al-Quran di masjid, sekolah dan rumah bukan hanya mereka yang mempunyai keturunan Islamik dalam keluarga mereka ataupun mereka yang membesar di kampung yang diketahui kerana tajwid yang bagus. (Ustazah dan hafizah) Kareema Carol Czerepinski ialah salah satu contohnya - beliau merupakan seorang muallaf Amerika yang menghafal al-Quran, menjadi pakar tajwid dan menulis buku-buku dalam bidang tersebut! Jadi, saya menganggap hadis ini sebagai satu dorongan, satu galakan bagi setiap pelajar, pemilik kedai dan jurutera untuk keluar dan berusaha menjadi orang tersebut - untuk belajar (secara berterusan) dan kemudian mengajar (apabila layak melakukannya).

Isu Masa

Sebahagian daripada kita berasa sibuk dan tertanya-tanya bagaimana untuk memulakan kelas al-Quran selain kerja yang ada.

Pelajar-pelajar dan guru-guru al-Quran sudah mengakui bagaimana Allah Taala boleh memberkati masa anda. Dia boleh menjadikan kerja sekolah anda siap lebih cepat atau membantu anda memahami pelajaran dengan lebih mudah. Allah Taala memudahkan dan insha Allah anda akan mendapati kemahiran pengurusan masa anda menjadi lebih baik. Seorang wanita yang pernah mempelajari salah satu cabang ilmu al-Quran semasa menuntut di universiti berasa risau terhadap peperiksaannya. Pun begitu, dia masih mendapat markah yang lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. Allah boleh memudahkan masa dan urusan anda jika kita cuba memperuntukkan masa untuk Kitab-Nya.




Mempelajari tajwid/bacaan al-Quran sehingga ke tahap yang tepat di mana seseorang layak untuk mengajarkannya boleh memakan masa bertahun-tahun, tetapi itu tidak boleh menjatuhkan semangat anda - ia merupakan satu pelaburan untuk keimanan kita dan tempat tinggal yang kekal abadi di akhirat. Kita sudah menghabiskan sekurang-kurangnya 12 tahun di sekolah sepenuh masa, jadi pembelajaran al-Quran setengah masa bukanlah satu komitmen yang membebankan.

Seorang sheikh pernah berkata bahawa jika seseorang tidak mampu menghafal al-Quran dalam tempoh masa yang pendek, jika seseorang Muslim hanya menghafal satu juzuk setahun, dia boleh menghafal keseluruhan al-Quran dalam tempoh 30 tahun. Sama ada 2, 5 atau 20 tahun, masa hayat yang diluangkan untuk mempelajari al-Quran termasuk dalam masa yang digunakan untuk mengejar antara perkara yang paling mulia, iaitu berusaha mendekati Allah Taala dengan mempelajari kalam-Nya. Kita hanya perlu menetapkannya sebagai niat dalam hati kita dan memperuntukkan sedikit masa untuk merealisasikannya, sama ada sebanyak 10 minit atau 2 jam sehari. Jika kita mahukannya, kita akan berusaha ke arahnya walaupun jika ia mengambil sepanjang hayat.

Dan masanya ialah sekarang - seperti yang ramai orang akan memberitahu anda, tidak ada masa dalam hidup yang mana kehidupan menjadi 'kurang sibuk'. Kita benar-benar tidak mengetahui berapa lama kita hidup, jadi marilah rebut peluang ini.

Menetapkan Niat

Jadi adakah anda akan melakukannya? Bulatkan niat sekarang hanya untuk keredaan Allah Taala. Dan percaya dalam hati bahawa anda boleh melakukannya dengan bantuan dan rahmat Allah!

Persis kata-kata pujangga, perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama. Dan perjalanan tersebut boleh menjadi diberkati kerana Allah Taala mendekati orang yang berusaha dengan ikhlas untuk mendekati-Nya. Dia boleh mengurniakan kepada kita peluang yang tidak dapat dibayangkan jika anda mempunyai niat yang ikhlas dan kesungguhan.

Lihat Kepada Potensi, Bukan Halangan




Sematkan cita-cita seiring dengan tawakkal - lihat lebih jauh daripada keadaan anda sekarang kepada potensi yang lebih besar yang hanya boleh dicapai dengan bantuan, rahmat dan izin Allah s.w.t..

Tidak mengapa jika anda pada ketika ini hampir tidak mampu untuk membaca dengan baik, tapi ia akan mempengaruhi jika anda mengalah, ataupun cuba lagi dan lagi. Kita tahu bahawa kejayaan dan ilmu datang daripada Allah, jadi akan datang satu masa bilamana kita bukan saja mampu mencapai penghujung sesuatu ayat tanpa penat mental, malah boleh membaca satu muka surat dengan indah tanpa tersekat, dan dengan merasakan diri tersentuh oleh ayat-ayat Allah Taala!

Dan jika anda sudahpun mencapai tahap itu, kita boleh memaksimakan ilmu kita dengan berusaha memahami al-Quran dan juga berlatih untuk mengajar orang lain.

Jadi, marilah kita tidak mengalah - Rabb kita ialah al-Khabir (Yang Maha Meliputi Pengetahuannya) dan al-Shakur (Yang Maha Memberi Penghargaan).

Bertindak Mengikut Niat

Tanya pihak masjid dengan anda mengenai guru tajwid ataupun institusi pengajian Islam di tempat anda. Adalah penting untuk mencari guru/program/institusi di mana anda boleh belajar untuk tempoh masa yang panjang, tetapi tempoh masa yang pendek juga sudah cukup baik.

Jika anda memerlukan lebih fleksibiliti dan kemudahan melalui pengajian atas talian, saya cadangkan Studio Arabiya yang menawarkan pembelajaran peribadi dengan guru-guru bahasa Arab dan al-Quran yang berkelayakan dari Timur Tengah.

Dengan izin Allah s.w.t., saya harap siri ini akan menggalakkan kita untuk terus belajar dan insha Allah satu hari nanti mengajarkan al-Quran (tidak kira sama ada kita berniat untuk mengajar ataupun tidak, mempelajari sebanyak yang kita boleh patut kita lakukan). Di penghujung hari, kita minta petunjuk daripada Allah untuk membawa kita ke jalan yang diredai-Nya.

Kesilapan dan mana-mana yang salah adalah daripada diri saya sendiri. Saya mohon ampun dan maaf jika apa yang saya tulis telah menyakiti hati anda, dan segala pujian adalah milik Allah s.w.t..

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'We Weren't Born Knowing, We Had To Learn' oleh Amal S
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.