Hidayah Centre Johor

Hidayah Centre Johor
Pusat Sokongan Saudara Baru

Monday 27 January 2014

Islam dan Kosmologi – Bahagian II

Oleh : Uswatun Bahirah Bt Ahmad Hisham dan Jaysuman


New York Metropolitan Museum of Art, April 2003.


Seorang saintis Islam pada zaman Renaissance, Al-Biruni turut menyatakan bahawa bumi berputar pada paksinya mengelilingi matahari. Lebih istimewanya, penemuan ini dilakukan 600 tahun lebih awal daripada Galileo Galilei yang mencipta teleskop yang lebih sempurna setelah terciptanya teleskop pertama pada tahun 1609 di Belanda. Tambahan pula, bapa trigonometri, Al-Battani dapat membuat kiraan tahun dengan tepat iaitu setahun mengandungi 365 hari, 5 jam 46 minit dan 24 saat. Beliau turut mengubah sistem perhitungan sebelumnya di mana sehari mengandungi 60 jam kepada 12 jam siang dan 12 jam malam yang berjumlah 24 jam dalam sehari.

Hal ini turut dibuktikan oleh saintis Johannes Kepler pada tahun 1605 di mana beliau memperkenalkan Prinsip Pertamanya iaitu orbit setiap planet adalah berbentuk elips (ellipses), dengan matahari mejadi titik fokus dalam elips itu.

Cuba fikirkan secara logik, jika planet dan bulan bergerak secara rawak, dapatkah semua perkiraan ini dilakukan dan wujudkah siang dan malam yang teratur? Dengan kejadian siang dan malam, aturan hari, minggu, bulan dan tahun kita boleh menjalani hidup seharian dengan sempurna. Oleh sebab itulah semua planet dan bintang bergerak pada paksinya sepertimana yang Allah S.W.T aturkan.

Pada masa yang sama, alam semesta bukan hanya terbentuk dan kekal setempat, malah ia sebenarnya sedang berkembang pada kelajuan cahaya iaitu 300,000 km per saat. Hal ini ditemukan pada tahun 1927 oleh seorang saintis Belgium, Georges Lemaître. Beliau menerangkan semakin jauh sesebuah bintang dari bintang lain, semakin besar cahaya dari bintang itu dipindahkan ke spektrum merah, iaitu cahaya yang berfrekuensi rendah (redshift). Cahaya dari bintang tersebut mengambil masa tertentu untuk sampai ke bumi adalah kerana ianya ditegangkan oleh pengembangan alam semesta. Maka, semakin jauh perjalanan cahaya, semakin luas alam semesta mengembang jadi lebih besar penegangan cahaya atau redshift.

Profesor Edwin Hubble berjaya membuktikan bahawa galaksi-galaksi lain ada yang sedang menjauhi galaksi Bima Sakti dan ada pula yang mendekat. Pengukuran kadar perluasan alam semesta telah digunakan untuk mengira usia sebenar alam semesta iaitu dianggarkan berusia 13.70 billion tahun. Penemuan Pengembangan alam semester oleh Edwin Hubble adalah penemuan terbesar pada kurun ke-20. Menariknya, Allah S.W.T telah pun memberi kita tanda-tanda kejadian ini dalam Surah Az-Zariyat ayat 47 :

“Dan langit Kami bangun dengan kekuasaan Kami dan Kami benar-benar meluaskannya. Dan bumi telah kami hamparkan maka Kami sebaik-baik yang menghamparkan.”

Namun, seluas mana alam semesta ini mampu mengembang? Para saintis hanya mampu mengemukakan teori di mana ada yang berpendapat bahawa alam semesta akan terus mengembang selama-lamanya, atau terus mengembang dan mengecut semula (Big Crunch) atau mengembang dan berpecah (Big Rip). Teori Big Crunch adalah teori yang diterima oleh lebih ramai saintis walaupun ramai juga yang mempertikaikannya. Teori Big Crunch diperkenalkan berdasarkan teori relativiti Albert Einstein di mana alam semesta akan terus mengembang hingga sampai ke satu tahap, semua galaksi, planet, bintang, bulan, meteor, asteroid dan lain-lain akan ditarik ke satu pusat lalu membentuk lohong hitam (black hole) yang besar.

Analoginya adalah begini, jika kita melambung bola ke atas, bola itu akan terus melambung hingga ke satu tahap ia akan jatuh semula kerana tiada lagi kuasa yang menolaknya ke atas. Sama seperti alam semesta, bila ianya terus mengembang, sampai satu tahap di mana tarikan graviti antara galaksi melebihi nilai tertentu, alam semesta akan kembali semula ke pusat asal ianya bermula seperti dalam teori Big Bang. Jika dilihat dalam Surah Al-Anbiya ayat 104 :

“Dan ingatlah pada hari langit Kami gulung seperti menggulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya lagi. Satu janji yang pasti Kami tepati sungguh Kami pasti akan melaksanakannya.”

Allah menerangkan bahawa langit akan ‘digulung’ sepertimana ia berasal dari penciptaan pertama. Bila dilihat hubung kaitnya dengan teori Big Crunch di mana alam semesta akan kembali kepada bentuk asal ia dimulakan, bukankah teori ini menerangkan apa yang dikatakan Allah S.W.T ? Sebagai umat Islam, penulis percaya saat ini adalah apabila terjadinya hari kiamat seperti yang Allah S.W.T janjikan dalam Al-Quran.

Sebagai penutup, haruslah kita ingat bahawa Al-Quran bukanlah sebuah kitab sains yang memerlukan penemuan sains moden untuk membuktikan kebenarannya. Al-Quran itu sendiri adalah mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah menerangkan banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di serata alam yang terbentang luas ini dan pada diri kita sendiri sehingga ternyata jelas bahawa Al-Quran adalah benar. Hal ini disebutkan dalam Surah Fussilat, ayat ke-53 yang bermaksud :

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

Semoga penulisan ini dapat membuka mata hati kita semua untuk terus mengkaji menghayati keajaiban Al-Quran dan memberi manfaat buat semua insyaAllah.

Islam dan Kosmologi – Bahagian I

Oleh : Uswatun Bahirah Binti Ahmad Hisham dan Jaysuman




Surah Qaf (50:6) : 

“Maka tidakkah mereka memerhatikan langit yang ada di atas mereka, bagaimana cara Kami membangunnya dan menghiasinya dan tidak terdapat retak-retak sedikit pun.”

Sejak ratusan tahun lalu, manusia cuba untuk memahami dan merungkai tentang rahsia penciptaan alam semesta yang terbentang luas ini. Pelbagai kajian kosmologi dan astronomi telah dilakukan dan bermacam teori dan penemuan sains yang telah dikemukakan bagi menerangkan apa yang terjadi di langit. Bidang kosmologi dan astronomi telah melahirkan ramai saintis hebat seperti Al-Battani, Al-Biruni, Ibnu Aflah, Az-Zarqiyali, Majriti termasuk juga saintis barat seperti Ptolemy, Keppler, Stephen Hawking, Edwin Hubble dan ramai lagi. Persoalan tentang bagaimana alam semesta bermula dan terbentuk telah menjadi subjek penting yang membawa kepada teori yang terkenal iaitu teori Big Bang pada tahun 1915 oleh Georges Lemaître. Teori Big Bang menyatakan bahawa alam semesta yang terbentuk sejak 13.70 bilion tahun dahulu sebenarnya bermula dari satu titik yang sangat padat dan panas, yang seterusnya mengembang dengan cepatnya. Setelah ledakan Big Bang, penyejukan alam semesta berlaku serta merta lalu menukarkan tenaga kepada pelbagai jenis zarah seperti proton, elektron dan neutron yang seterusnya membentuk jisim lain.

[Baca - Kosmologi; Kajian Kewujudan Alam Semesta]

Jika kita mengimbas kembali Al-Quran, surah Al-Anbiya ayat 30 :

“Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawa langit dan bumi dulu keduanya menyatu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal dari air maka mengapa mereka tidak beriman?”

Perhatikan perkataan ‘menyatu’ dalam ayat diatas yang mempunyai hubung kait dengan teori Big Bang di mana langit dan bumi dahulunya bercantum sebagai satu titik yang padu lalu Allah pisahkan antara keduanya. Walhalnya Al-Quran diturunkan 1400 tahun lalu kepada Nabi Muhammad SAW yang pada ketika itu belum ada teleskop dan peralatan canggih yang lain.

Setelah terjadinya alam semesta, bulan, bintang, planet galaksi dan lain-lain mula terbentuk. Sebagai contoh, nebula yang berasal dari perkataan Latin bermaksud ‘awan’ adalah kawasan di mana bintang mula terbentuk seperti Eagle Nebula. Kawasan ini mengandungi debu-debu, gas hidrogen, plasma, helium dan lain-lain yang akan membentuk bintang, bulan, planet, komet, asteroid meteor dan sebagainya. Dalam proses pembentukan bintang, semua gas dan debu berlanggar dan bercantum antara satu sama lain hingga menghasilkan jisim yang lebih besar yang menarik jisim-jisim lain. Semakin besar jisim yang terhasil, semakin kuat daya tarikan graviti di kawasan tersebut sehinggalah ianya menjadi cukup besar untuk membentuk sebuah bintang. Baki debu-debu dan gas kemudian membentuk planet dan juga objek-objek angkasa lain seperti asteroid, meteorite, planet kerdil, komet dan banyak lagi. Keseluruhan proses ini mengambil masa selama berbillion tahun. Dalam Al-Quran telah menyebut tentang rupa bentuk langit pada waktu kejadiannya dalam surah Al-Fussilat ayat 11 yang bermaksud:

“Kemudian Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit itu masih merupakan asap, lalu Dia berkata kepadanya dan kepada bumi: “Datanglah kamu keduanya menurut perintah-Ku dengan rela hati atau terpaksa.” Keduanya menjawab: “Kami datang dengan rela hati.”

Lihat perkataan ‘asap’. Bukankah ianya sama seperti nebula yang dimaksudkan? Bukti saintifik menunjukkan bahawa pada suatu saat seluruh alam semesta masih berupa 'gumpalan asap'. Sungguh apa yang diterangkan Allah S.W.T dalam Al-Quran semuanya semakin jelas dan nyata dikaca mata sains moden.

Setelah planet, bulan dan bintang terbentuk, kesemuanya beredar pada paksi masing-masing seperti disebut dalam Surah Yaasin ayat 40 :

“Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.”

Manakala dalam surah Ibrahim ayat 33 menerangkan :

“Dan Dia telah menundukkan matahari dan bulan bagimu yang terus menerus beredar dalam orbitnya dan telah menundukkan malam dan siang bagimu.”

Friday 24 January 2014

10 Amalan Seorang Isteri Muslimah yang Sangat Berkesan

Jadi, saya sudah menghasilkan satu senarai 10 amalan yang telah diberikan komen oleh suami saya, yang telah beberapa lama menampakkan perubahan positif dalam hubungan kami. Dia benar, menyesuaikan diri dan bertolak ansur adalah penting dalam tahun pertama perkahwinan. Tabiat buruk kami menjadi kelihatan (bagaimana ibu bapa bertahan dengan kami) dan kadang-kadang, anda dapat melakukan yang terbaik.

Tapi, jangan terlalu selesa dengan rutin anda. Jadikan hidup anda lebih menarik dan mengekalkan sesetengah amalan baik boleh menjadikan perkahwinan anda berjaya dan seronok. Sebahagian daripada amalan ini adalah sama dengan 'Amalan Suami Muslim', tetapi sebahagiannya yang lain adalah untuk wanita.

1. Kekal sihat dan keluar!




Setakat ini, amalan inilah yang paling penting bagi seseorang isteri Muslimah untuk menjayakan perkahwinannya. Sebelum berkahwin, saya dan suami sangat aktif. Dia merupakan seorang penunggang basikal ekstrem dan saya bermain bola keranjang selama hampir 10 tahun sebelum kami bertemu. Selepas berkahwin dan dengan bebanan kerja rumah, kerja di pejabat dan kewajipan keluarga, waktu untuk menjaga kesihatan jatuh dalam skala keutamaan kami.

Kadang-kadang, kami berdua terlupa tarikan awal yang ada antara kami, iaitu gaya hidup yang aktif dan sihat. Gaya hidup aktif membawa banyak faedah seperti melupakan perkara-perkara yang tidak penting dan berseronok antara satu sama lain dengan cara yang berbeza.

Apabila kami mengembalikan semula gaya hidup aktif kami, kami berdua menyedari bahawa kami mempelajari banyak perkara mengenai kami melalui aktiviti. Contohnya, semasa mendaki gunung, kami nampak stamina dan semangat pasangan kami, semasa bermain bola keranjang, kami nampak semangat persaingan kami, dan semasa berjalan-jalan, kami nampak ketenangan dan penghargaannya terhadap alam semula jadi.

Setakat ini, perkara inilah yang sangat penting dalam hubungan kami dan ia menjadikan kami tetap bersama, alhamdulillah.

2. Dengar dan berikan sokongan

Salah satu perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh seorang isteri Muslimah untuk suaminya adalah memberikan sokongan. Kita semua tahu kisah Nabi Muhammad s.a.w. kesayangan kita; selepas menerima wahyu, baginda terus kembali ke rumah kepada isterinya, Saidatina Khadijah r.a.. Dia tidak berbual dengan rakannya melalui telefon dan tidak juga sibuk dengan komputer, dia bersedia menenangkan dan mendengar.

Bagi saya, hal ini bermula sebaik saja suami anda masuk ke rumah melalui pintu. Mengucapkan salam kepada suami anda, melemparkan senyuman dan memberikan pelukan pasti mewujudkan suasana ketenangan.

Seorang isteri Muslimah peka terhadap keperluan suaminya. Jika dia sedang memegang sesuatu dengan tangannya, seperti barang runcit, ambillah daripadanya, hulurkan segelas jus ataupun berikan buah atau snek yang ada. Perbuatan kecil ini menzahirkan kebaikan yang mudah dan kekal lama.

Jika suami anda melalui satu hari yang sukar di kerja, mengucapkan salam pada awalnya boleh menenangkannya. Selepas itu, jika dia perlu bercerita mengenai bos atau rakan sekerjanya, dengarlah. Seorang pendengar yang baik akan bertanya soalan, bertentang mata dengan baik dan mengangguk dengan kasih sayang. Pada mulanya, sebelahi dia. Jika ada perkara yang dia nyatakan yang anda tidak setujui, tunggu waktu yang sesuai untuk memberikan nasihat. Respon pertama yang dia cari ialah sokongan dan kebaikan daripada isterinya, walaupun dia salah. Kemudian, sudah tentu anda boleh berikan nasihat dan panduan.

Lagi satu tip - ingat nama-nama yang disebut oleh suami anda. Seminggu selepas masalah kerja tersebut selesai, tanyalah suami anda, "Adakah sudah baik segalanya dengan Michael sekarang?" Dia akan dengan gembira mengetahui bahawa anda mendengar dengan mengingati nama.

Jadi, pinjamkanlah telinga anda dan hati-hati anda akan semakin dekat.

3. Jadi kreatif - Perubahan adalah baik!

Kita suka mengubah benda-benda di apartmen kita setiap musim. Hal ini adalah seperti mengalihkan perabot, mengubah gambar-gambar ataupun mengemas barang-barang perhiasan kecil yang lama.

Selepas beberapa lama, saya dan suami menjadi minimalis. Kami suka membersihkan kaunter dapur, benda-benda yang disimpan dalam laci dan almari, dan kami akan tidak suka objek-objek tertentu secara rambang. Jadi, kami meminimumkan setiap musim dengan menderma pakaian, pinggan mangkuk dan buku-buku.

Kami juga mengubah tempat makan kami yang biasa di meja dan duduk di ruang tamu. Kami juga menukar kerja rumah kami. Saya selalunya memasak dan dia mencuci pinggan, tetapi baru-baru ini kami memasak bersama dan kemudian bersama-sama mencuci pinggan mangkuk (saya menyabun dan dia membilas).

Kami mempunya lebih kurang empat hingga lima sesi makan yang disediakan di rumah yang kami nikmati dan kami bergilir-gilir melakukannya dari minggu ke minggu. Tetapi, selepas beberapa lama, kami menambah makanan baru ke dalam menu kami. Saya akan mempelajari sesuatu yang baru daripada ibu ataupun kawan dan mengejutkan suami dengannya.

Perubahan kecil mewujudkan perkembangan dan rangsangan kepada hubungan anda tanpa jatuh ke dalam kebosanan dan kami sentiasa berasa bahawa kami baru sahaja pindah ke rumah baru setiap kali kami melakukan perubahan.

4. Mengadakan perbualan yang baik - Pelajari perkara baru

Menyertai dialog bermakna yang tidak melibatkan perbualan mengenai keluarga, rakan-rakan ataupun hal ehwal harian boleh memantapkan rumah tangga anda.




Kita dengan mudah berbual mengenai apa yang berlaku dalam hidup kita sekarang, yang mana tidak ada masalah pun dan diperlukan. Walau bagaimanapun, hubungan anda benar-benar memutik dan menguji sempadan baru apabila anda mempelajari perkara baru dan kongsikannya dengan pasangan anda.

Suami saya suka berkongsi perkara-perkara baru yang dia selalu pelajari seperti blogging, pasaran dan komputer. Secara jujur, perkara ini agak asing bagi saya. Tetapi, ia adalah sesuatu yang dengannya dia dimotivasikan dan dengan mendengarkannya, saya telah menemui banyak benda menarik (dan contohnya dia telah meyakinkan saya untuk menulis artikel ini).

Adalah baik untuk berbual mengenai buku atau artikel yang telah saya baca dan fikirkan dengan suami saya supaya saya boleh mengetahui perspektifnya, mengenalinya dan mengkayakan perspektif saya. Pada masa-masa tertentu, apabila kami tidak bersetuju mengenai sesuatu topik, strategi memujuk kami masuk, dan mewujudkan debat yang sihat.

Apabila perkara-perkara lain yang bersifat sementara jatuh begitu sahaja menjadikan anda bahagia - satu perbualan yang baik boleh kekal sepanjang hayat.

5. Hidup dan menjadi teruja dengan hidup

Ingatkah anda kali pertama anda menemui suami anda? Mungkin semasa satu pertemuan kekok atau waktu lain. Tetapi, saya ingat kedua-dua kami hidup dan bahagia. Kami cuba mencari yang terbaik daripada kami dan menjadi menarik juga. Saya tidak ingat salah seorang daripada kami meluahkan semua masalah kami.

Saya menemui beberapa orang wanita pada satu ketika yang melepaskan suatu perasaan sedih atau kerisauan atau ketakutan yang mereka lepaskan tanpa mereka sedari. Mereka berjalan dengan memasamkan muka!

Mereka mungkin mempunyai masalah yang sudah tentunya menjadikan mereka kelihatan dan berasa sesuatu, tetapi setelah beberapa lama, jika keadaan sedih itu berterusan, ia akan menghalang hubungan yang terbaik.

Ya, fasa berbulan madu sudah tamat - tetapi ia tidak perlu tamat! Jika anda mendapati diri anda kebosanan dan kesedihan, terpulang kepada anda untuk melakukan perubahan dalam hubungan anda. Jika anda benar-benar tertekan mengenai sesuatu, dapatkan bantuan!

Terdapat banyak perkara yang kerananya kita boleh menjadi teruja dan hidup di dunia ini! Anda mungkin perlu mengubah bulatan rakan-rakan anda (mereka mempunyai pengaruh yang besar terhadap cara anda lihat dan lakukan perkara-perkara) atau anda mungkin perlu mendapatkan hobi baru atau keluar dan hirup udara segar pada waktu tertentu.

Menjadi bertenaga dan gembira dan sanggup mencuba benda baru dengan suami anda ialah aspek penting dalam rumah tangga. Menjadi mudah marah dan tidak bermotivasi boleh membawa kepada banyak masalah untuk anda berdua. Cari seorang kawan baru atau hobi baru atau buku baru untuk menjadi teruja terhadap hidup. Suami anda akan menyedari perubahan tenaga dan kegembiraan anda dan anda boleh mengubah suasana di rumah dan hubungan anda dengan mengubah mood anda.

6. Pilih seorang rakan baik (ataupun ibu) - Kongsikan masalah anda dengan lemah lembut

Terdapat sesetengah perkara yang kita perlu memberitahu seorang wanita kerana dia akan memahami dan ada sesetengah perkara yang anda hanya boleh beritahu suami anda, dan adalah penting untuk mengetahui perbezaannya.

Adalah mudah untuk menjadi sangat selesa dengan suami kita sehingga kita berkongsi sesuatu perkara dengan mereka dan mereka boleh meluangkan masa untuknya. Terdapat sesuatu jenis penghormatan dan martabat yang seorang suami perlu miliki. Dan, wanita sekalian, terdapat suatu tahap penghormatan dan martabat yang dia perlu miliki untuk anda juga.




Saya sudah lihat banyak kali, wanita mengadu mengenai wanita lain, pakaian mereka ataupun sifat-sifat mereka kepada suami mereka. Jangan lakukan perkara ini! Berkongsi rahsia atau lebih teruk lagi, kelemahan wanita-wanita lain kepada suami anda adalah tidak patut, terutamanya jika wanita tersebut meyakini anda. Walaupun anda dan suami anda merupakan satu pasangan, rakan wanita anda tidak patut merasakan segala perkara yang diberitahu kepada anda akan diketahui oleh suami anda!

Perkara ini bukan sahaja satu gosip dan dilarang dalam Islam, malah amat membosankan dan menjatuhkan martabat suami anda. Sebaliknya, mempunyai seorang rakan wanita yang baik ataupun ibu anda ataupun orang lain yang anda percayai memberikan jalan keluar yang baik kepada tekanan yang boleh meruntuhkan rumah tangga ataupun mood atau penghormatan suami terhadap anda.

Seseorang wanita juga tidak patut memberitahu wanita lain mengenai rahsia-rahsia suaminya! Adalah baik untuk mendapatkan nasihat, tetapi bukan dengan cara yang menjatuhkan kehormatan suami anda di depan rakan anda.

Suami anda boleh menjadi rakan baik anda dan akan bersama anda sehingga penghujung hayat, insha Allah. Tidak berbaloi kehilangan suami dan apa yang penting baginya disebabkan seorang kawan yang walau bagaimana rapat mereka, tetapi tidak akan bersama anda sepanjang hidup.

7. Berpakaian dengan baik dan menggunakan wangian - Jaga rupa luaran dan dalaman

Akhir sekali, setelah bertahun-tahun mencari seseorang anda sudah pun berkahwin! Anda melihat wajah pasangan anda dan anda fikir, "Awak rupanya" orang yang saya kahwini. Dan, bab perkahwinan dalam hidup anda pun bermula.

Perkahwinan ialah sebahagian daripada agama dan oleh sebab sudah hadir seorang lelaki dalam hidup anda, inilah peluang untuk merealisasikan segala impian anda. Dan satu perkara menyeronokkan yang boleh dilakukan oleh seorang suami ialah berpakaian baik dan menggunakan wangian.

Saya kerap berfikir adalah menarik bahawa wanita (dan juga lelaki) boleh menjadi kurang menarik perhatian di rumah, tetapi sebaik-baik saja mereka melangkah ke luar rumah, mereka kelihatan berpakaian dengan baik. Kerapkali kita berpakaian untuk ditayangkan kepada dunia (orang yang tidak dikenali atau di pejabat) dan kadang-kadang, kita membiarkan penampilan diri kita di hadapan keluarga dan pasangan kita.

Saya rasa adalah bagus jika pasangan-pasangan menjadi selesa dengan antara satu sama lain sehingga mereka boleh kekal berpakaian tidur sepanjang hari. Tetapi, wanita sekalian, hanya dengan berpakaian baik dan berbau wangi benar-benar boleh meningkatkan penghargaan suami terhadap anda dan anda mungkin boleh membuatkan dia berpakaian baik dan berbau wangi untuk anda juga.

Jika anda suka duduk di rumah, anda boleh berpakaian tidur sepanjang hari, tetapi jika anda tahu bahawa suami anda akan pulang pada pukul 5.30, tukarlah pakaian yang lebih baik dan gunakan wangian pada pukul 5.00!

Menjaga kebersihan diri dan menjaga dalaman diri anda akan menyumbang kepada keseluruhan sifat anda. Membaca al-Quran, mendengar ceramah Islamik, menunaikan solat dan memanjatkan doa yang ikhlas akan menambahkan keindahan pada diri anda.

Jadi, seimbangkan penampilan luaran dan dalaman anda dan lihat manfaat yang bakal menyusup ke dalam rumah tangga dan keluarga anda.

8. Berkasih sayang - Jangan tahan perasaan kasih anda

Saya rasa dari sudut budaya, ramai wanita boleh membawa amalan-amalan tradisional yang membebankan dan bukanlah salah kita kerana itulah bagaimana kita membesar.

Sebahagian daripada kita sudah begitu terpupuk dengan budaya Barat dan menonton filem sehingga kita mempunyai sangkaan bahawa suami kita akan bertindak dengan sesuatu cara dan fikiran bahawa hidup dengan seseorang lelaki (setelah berkahwin) adalah pelik - salah!

Dan, agak pelik. Sepanjang hidup kita, wanita membesar di rumah-rumah ibu bapa hanya untuk meninggalkan mereka (secara tiba-tiba) untuk tinggal bersama seorang asing (ramai orang hanya mengenali seseorang dalam tempoh masa yang pendek sebelum berkahwin).

Tetapi, hakikatnya adalah perkahwinan merupakan satu sunnah yang mulia yang merupakan salah satu aspek yang paling indah dalam agama kita. Dan, salah satu perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh seorang isteri Muslimah ialah berkasih sayang, walaupun ia perlu dipelajari. Inilah suami anda sekarang. Seorang lelaki yang anda kahwini dan akan menjadi pasangannya selama-lamanya, insha Allah. Berkasih sayang dengan suami anda, dan kasih sayang ini akan membawa kepada hubungan yang lebih dekat dan rapat.

Sentuhan manusia, sama ada berpegang tangan ataupun pelukan, membawa kepada belas kasihan (rahmat) dalam hubungan sama ada dengan suami, rakan wanita ataupun ibu bapa. Jadi, berkasih sayanglah dengan lebih kerap dan tuailah manfaatnya.

9. Berikan lebih banyak usaha - Dia akan sedarinya (harap-harap begitu)




Memberikan lebih usaha bermakna anda melakukan sesuatu untuk suami anda melebihi apa yang dia harapkan daripada anda.

Jika dia meminta anda memasak untuk keluarganya, ia bermaksud anda melakukan yang terbaik dan menyediakan makanan dengan berhati-hati dan usaha.

Jika anda keluar untuk menyambut hari yang istimewa, ia bermaksud anda berusaha untuk mengenakan pakaian yang sesuai dan mungkin memakainya dengan cara yang berbeza daripada apa yang dia biasa lihat. Maksudnya juga anda menghantar mesej teks secara rambang untuk memberitahunya anda sedang memikirkannya ataupun e-kad.

Juga, anda meluangkan masa lebih untuk mendengarnya berbual dengan anda mengenai masalahnya tanpa menukar topik. Boleh jadi juga anda membuat kuih-muih, mengajaknya pada hari istimewa yang telah anda rancang, memberikan hadiah kepadanya ataupun membersihkan mejanya.

Boleh jadi juga anda memakai anting-anting yang anda jarang pakai di rumah, ataupun meluangkan masa dengannya untuk bersenam dan menjalankan hobinya, atau membantunya bersedia pada waktu pagi dengan menyiapkan makanan dengan nota di dalamnya.

Hakikatnya tiada penghujung dan dengan sedikit masa dan usaha, suami anda akan menghargai butiran kecil yang anda berikan perhatian, insha Allah.

10. Ucapkan terima kasih - Bersyukur atas perkara kecil dan besar

Salah satu hadis yang sangat menakutkan saya adalah, "Ramai penghuni wanita adalah daripada kalangan wanita yang tidak berterima kasih kepada suaminya."

Jadi, ucapkanlah terima kasih setiap malam kepada suami anda sebelum anda tidur atas apa-apa sahaja dan segala yang telah dia lakukan untuk anda. Jangan abaikan perkara yang anda sudah biasa lakukan seperti membelikan barang-barang runcit, membantu membersihkan pinggan mangkuk, mendengar masalah anda ataupun pergi ke kerja setiap hari.

Ingat perkara besar dan kecil dan tidak lama lagi, semua perkara kecil akan menjadi besar bagi anda, insha Allah.

Berterima kasihlah kepadanya dengan ikhlas : "Terima kasih kerana membantu membasuh pinggan kerana ia benar-benar memendekkan masa yang saya luangkan di dapur." Terangkan kepadanya kenapa ia penting, dan bukan hanya mengucapkan terima kasih.

Dia akan gembira kerana dapat membantu dan ia membuatkannya berasa untuk melakukannya lagi untuk anda. Paling penting, bersyukur kepada Allah, Yang Maha Pemurah, kerana Dia yang akan meningkatkan rumah tangga anda, insha Allah.

Perkara Terakhir

Senarai ini merupakan peringatan buat diri saya dahulu sebelum saya kirimkan kepada anda. Semua ini adalah berdasarkan pengalaman perkahwinan saya selama hampir tiga tahun. Anda boleh bersetuju atau tidak, tetapi ini hanyalah sebahagian daripada perkara yang telah membantu kami selama beberapa lama.

Dan, kita sentiasa belajar dan membesar dan melakukan kesilapan, alhamdulillah, ia adalah sebahagian daripada perjalanan ini. Sila kongsikan pandangan ataupun tips anda dengan kami di ruangan komen di bawah.

Insha Allah, semoga Allah limpahkan keberkatan-Nya dalam rumah tangga kita semua! Amin!

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel '10 Habits of  Highly Effective Muslim Wives'

Monday 20 January 2014

Jesus (Isa a.s.) Dalam Islam

Dilahirkan oleh Seorang Ibu Dara

Seperti orang Kristian, Muslim juga percaya bahawa Mary, Maria dalam bahasa Sepanyol, ataupun Maryam dalam bahasa Arab, ialah seorang wanita suci dan dara yang dengan ajaib melahirkan Jesus (Isa a.s.). Kelahiran baginda merupakan satu keajaiban kerana baginda tidak mempunyai bapa. Allah menerangkan perihal kelahirannya dalam al-Quran :

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) dalam al-Kitab perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri daripada keluarganya di sebuah tempat di sebelah timur. Kemudian dia membuat penghalang, maka Kami hantarkan kepadanya roh Kami lalu ia menyamar sebagai seorang lelaki yang sempurna kejadiannya. Dia (Maryam) berkata : "Sesungguhnya aku berlindung dengan Ar-Rahman daripadamu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa." Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk mengurniakan seorang anak yang suci." Maryam bertanya : "Bagaimanakah aku mendapat seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" Ia menjawab: "Demikianlah; Tuhanmu berfirman : "Hal itu mudah bagi-Ku; dan Kami hendak menjadikannya sebagai satu tanda untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya." (Al-Quran, 19:16-21)

Walau bagaimanapun, hakikat ini tidak menjadikan Jesus a.s. Tuhan pada asasnya ataupun dari segi kerohanian, dan baginda tidak juga layak disembah, kerana kejadian Adam a.s. lebih ajaib berbanding Jesus a.s.. Jika kelahiran ajaibnya ialah bukti bahawa baginda merupakan jelmaan Allah ataupun anak-Nya, maka Adam lebih berhak mendapatkan kedudukan ini berbanding Jesus a.s.. Akan tetapi, kedua-dua mereka hanyalah nabi yang mendapat wahyu daripada Tuhan Yang Maha Besar, dan mereka ialah hamba-Nya yang hidup berdasarkan perintah-Nya.

"Sesungguhnya perbandingan Isa di sisi Allah adalah sama seperti Adam. Allah telah menciptakannya daripada tanah lalu berfirman kepadanya : "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia." (Al-Quran, 3:59)



Keajaiban

Muslim, seperti orang Kristian percaya bahawa Jesus a.s. melakukan keajaiban. Keajaiban-keajaiban ini dilakukan dengan izin dan kehendak Allah Yang Berkuasa atas segala sesuatu.

"Ingatlah ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul Qudus, iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia dalam buaian dan sesudah dewasa; dan ingatlah ketika Aku mengajarmu al-Kitab dan al-Hikmah dan Taurat dan Injil; dan ingatlah ketika engkau jadikan daripada tanah bentuk burung dengan izin-Ku, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izin-Ku; dan ingatlah ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izin-Ku; dan ingatlah ketika Aku menghalang Bani Israil daripadamu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan, lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata : "Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata"" (Al-Quran, 5:110)




Allah mengutuskan para nabi dengan mukjizat (keajaiban) yang khas kepada kaum mereka untuk membuktikan kebenaran mesej yang dibawa. Keajaiban-keajaiban ini tidak dilakukan kerana kemampuan mereka, bahkan ia hanyalah kelihatan sedemikian dengan izin Allah. Keajaiban yang dilakukan oleh Jesus a.s. tidak berbeza. Orang-orang Yahudi pada waktu itu begitu maju dalam bidang perubatan, dan keajaiban yang dilakukan oleh baginda adalah dalam bidang ini, sekali gus membuktikan kebenaran mesej-Nya dan untuk meyakinkan orang-orang Yahudi.

Ketuhanan Baginda

Muslim mempercayai Keesaan Allah Yang merupakan Kuasa Besar yang bebas daripada had, keperluan dan kehendak manusia. Dia tidak mempunyai pasangan dalam kerajaan-Nya. Dia ialah Pencipta segalanya dan berbeza sepenuhnya dengan makhluk-Nya, dan segalanya patut menyembah-Nya sahaja.

Mesej inilah yang dibawa oleh semua nabi berkenaan Tuhan, termasuk Jesus a.s.. Baginda tidak pernah mengatakan dirinya Tuhan, dan tidak juga mengatakan dirinya layak disembah. Baginda tidak pernah mengatakan dirinya anak Allah ataupun sebahagian daripada 'Trinity', bahkan baginda ialah seorang rasul Allah yang dihantar kepada kaum Yahudi untuk mengembalikan mereka kepada agama yang sebenar, penyembahan Allah Yang Maha Esa dan mengikut ajarannya. Kebanyakan ayat al-Quran yang berkaitan dengan Jesus a.s. membincangkan aspek ini. Ayat-ayat tersebut membuktikan bahawa baginda dianggap sebagai objek penyembahan disebabkan penipuan yang diwujudkan terhadapnya. Hal ini menegaskan bahawa Jesus a.s. dalam hidupnya pernah menafikan bahawa baginda layak disembah, dan ia menyokong hakikat bahawa perumpamaan dan contoh yang Allah berikan membuktikan lumrah kemanusiaannya, dan bukan ketuhanannya atau hubungan anak-beranaknya dengan Allah. Allah menceritakan perihal Jesus a.s. dalam al-Quran :

"Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah al-Masih Ibni Maryam." Padahal al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Bahawasanya sesiapa yang menyekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah mengharamkan baginya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiada seorang penolong pun bagi orang-orang zalim". (Al-Quran, 5:72)

Allah menyatakan mengenai doktrin 'Trinity' di dalam Al-Quran:

"Sesungguhnya telah kafir orang-orang yang berkata : "Bahawasanya Allah adalah yang ketiga daripada tiga." Padahal tiada Tuhan melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir daripada mereka akan dikenakan azab yang tidak terperi sakitnya. Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya? Padahal Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.Tiadalah al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang rasul yang telah terdahulu sebelumnya rasul-rasul dan ibunya seorang perempuan yang benar, mereka berdua adalah memakan makanan. Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka keterangan-keterangan, kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan." (Al-Quran, 5:73-75)

Dan juga :

"Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam hal ehwal agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; Sesungguhnya al-Masih Isa ibn Maryam pesuruh Allah dan kalimah-Nya yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam, dan juga roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan : "Tiga." Berhentilah, ia baik bagi kamu. Bahawasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci-Nya daripada mempunyai anak. Bagi-Nya jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal." (Al-Quran, 4:171)


Gambar hiasan menunjukkan konsep 'Trinity'



Kepercayaan konsep ‘trinity’ merupakan sesuatu yang bercanggah terhadap zat-Nya :

"Dan mereka berkata : "Ar-Rahman mempunyai anak." Sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian, dan bumi pula hampir terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, kerana mereka mendakwa mengatakan Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tidak layak bagi Ar-Rahman untuk mempunyai anak. Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada Ar-Rahman, sebagai hamba." (Al-Quran, 19:88-93)

Pada Hari Kiamat, Jesus a.s. akan menjelaskan salah faham ini. Allah memberikan kita gambaran mengenai apa yang baginda ucapkan apabila ditanya mengapa manusia menyembahnya :

"Dan ingatlah ketika Allah berfirman : "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia : 'Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah?'" Isa menjawab : "Maha Suci Engkau! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak. Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri-Mu; Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib. Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu : 'Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu', dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Quran, 5:116-117)

Dalam ayat-ayat ini, Allah menyatakan bahawa penyifatan Jesus a.s. sebagai anak Allah ataupun sebahagian daripada 'Trinity' merupakan satu penghinaan terhadap-Nya. Hal ini adalah disebabkan oleh hakikat asas bahawa Allah Maha Esa dan berbeza dengan mana-mana ciptaan-Nya; dan juga dari sudut zat-Nya, Dia Unik dari segi kerajaan-Nya, sifat-sifat-Nya dan kebesaran-Nya. Semua di atas membentuk monoteism ketat yang Dia wahyukan dalam risalah-risalah-Nya, dan daripadanya adalah yang pertama daripada Sepuluh Rukun (Ten Commandments). 

Mengatakan Allah mempunyai anak ialah sesuatu yang bertentangan dengan tujuan Dia menciptakan makhluk dan mengutuskan para rasul. Allah menyatakan dalam al-Quran :

"Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku." (Al-Quran, 51:56)

Dia juga berfirman :

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan setiap umat seorang rasul (untuk menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut." Maka di antara mereka, ada yang diberi hidayah oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itun kembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasul-Nya." (Al-Quran, 16:36)

Misi Baginda

Seperti yang sudah dibincangkan, al-Quran dengan jelas menegaskan bahawa Jesus a.s. ialah seorang nabi, dan tidak lebih daripada itu. Sesungguhnya para nabi ialah ciptaan terbaik. Mereka dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu-Nya, dan pada masa yang sama, mereka ialah perwakilan Allah dan tidak layak disembah. Jesus a.s., seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, tidak berbeza daripada mereka dalam hal ini.

Sepanjang al-Quran, Jesus a.s. diterangkan secara asasnya sebagai utusan Allah yang dihantar kepada orang-orang Yahudi yang setelah beberapa lama, menyimpang daripada ajaran Moses (Musa a.s.) dan nabi-nabi lain.

"Dan ingatlah ketika Isa ibni Maryam berkata : "Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku pesuruh Allah kepada kamu, untuk mengesahkan kebenaran apa yang diturunkan sebelumku, iaitu Taurat..." (Al-Quran, 61:6)

Isa bin Maryam a.s. ialah nabi terakhir daripada keturunan Yahudi. Baginda hidup berdasarkan kitab Taurat, iaitu Undang-undang Musa, dan mengajar pengikut-pengikutnya perkara yang sama.

Dalam aspek ini, baginda dan mesejnya tidak berbeza daripada yang dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya yang diutus oleh Allah. Mereka semua menyeru kepada menyembah Tuhan Yang Satu, dan mentaati perintah-perintah-Nya. Baginda secara ajaib dikuatkan oleh Allah semasa dalam kandungan, kelahiran dan zaman kanak-kanaknya. Baginda juga disokong oleh pelbagai keajaiban untuk membuktikan baginda ialah utusan Allah. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang Yahudi menolak kerasulannya.

Jesus a.s. bukan hanya menegaskan kebenaran kitab-kitab sebelumnya, malah baginda memberitahu perihal kedatangan seorang rasul selepasnya. Allah berfirman :

"Dan ingatlah ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata : 'Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku pesuruh Allah kepada kamu, untuk membenarkan apa yang diturunkan sebelumku, Taurat, dan memberikan berita gembira berkenaan kedatangan seorang rasul selepasku yang bernama Ahmad.'" (Al-Quran, 61:6)


Kedatangan Kedua Jesus a.s.

Seperti orang Kristian, Muslim juga mempercayai kedatangan semula Jesus a.s. ke bumi, walaupun peranan dan sebab kedatangannya berbeza dengan yang dipercayai oleh orang Kristian. Kembalinya baginda ke bumi adalah untuk membuktikan sifat kemanusiaan baginda dan menyangkal salah faham manusia terhadapnya. Baginda akan menjalani hidup biasa, berkahwin, dan juga mati sebagai seorang manusia. Pada waktu itu, hal berkenaannya menjadi jelas, dan manusia akan mempercayai bahawa baginda ialah seorang manusia.

"Dan tidak ada seorang pun dari kalangan Ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepadanya sebelum kematiannya dan pada Hari Kiamat kelak dia akan menjadi saksi terhadap mereka." (Al-Quran, 4:159)



Jesus a.s. juga akan menentang al-Masih palsu yang akan menyeru manusia agar mempercayai dialah Tuhan dan yang akan muncul sebelum kedatangan baginda. Jesus a.s. akan menewaskan Antichrist itu, dan manusia akan menerima agama sebenar daripada Allah. Dunia akan menyaksikan keamanan dan kedamaian yang belum pernah dinikmati dalam sejarah, kesemuanya menyembah Tuhan yang sama, menyerah diri kepada-Nya sahaja dan berdamai antara satu sama lain.

*Artikel dipetik, diubahsuai dan diterjemahkan daripada artikel 'Jesus in Islam' oleh M. Abdul Salam

Saturday 18 January 2014

Ummah Awakening Seminar 2014




[ PENDAFTARAN DIBUKA SEKARANG ]

Program:
UMMAH AWAKENING SEMINAR 2014

Tarikh:
21-22 Februari 2014 (Jumaat - Sabtu)

Masa:
8.00am - 5.00pm (Hari pertama)
8.00am - 1.00pm (Hari kedua)

Tempat:
Dewan Al-Banna, Kompleks IKRAM Johor.
Alamat: No. 10-11, Jalan Pendidikan 3, Taman Universiti, 81300 Skudai, Johor Bahru, Johor Darul Takzim.

Maklumat:
-Terbuka kepada 80 peserta pertama (muslim sahaja) sahaja.
-Sijil, buku, makan & minum akan disediakan.
-Seminar adalah dalam Bahasa Malaysia.
-Sila daftar melalui Online dibawah:

[UPDATE 29 JANUARI 2013: PENDAFTARAN DITUTUP]

Monday 13 January 2014

Bagaimana Rasulullah s.a.w. Melayan Muslim-muslim Baru

Kita semua menyukai satu saat bilamana seseorang lelaki ataupun wanita memasuki masjid pada hari Jumaat, kemudian mengucapkan syahadah, dan seluruh masjid akan mengucapkan "Takbir, Allahu Akbar"; Saya tidak dapat menafikan bahawa saat ini memang mengagumkan, menyaksikan seseorang baru sahaja menemui jalan yang benar, dan mengambil satu langkah lebih dekat kepada Tuhan.

Soalan yang pahit : Apakah seterusnya? Bagaimanakah komuniti Muslim mengalu-alukan Muslim baru itu? Apakah nasihat yang akan diberikan kepada mereka dan bagaimanakah mereka memulakan perjalanan panjang mempelajari agama Allah?




Saya cuba mencari kehidupan Rasulullah s.a.w. untuk mengkaji cara apa yang digunakan ke atas para sahabat yang baru memeluk Islam. Kadang-kadang aspek ini kita terlepas pandang apabila kita hanya fokus kepada peristiwa tersebut (mengucapkan syahadah) dan menganggapnya matlamat mutakhir dalam dakwah, dan kita tinggalkan - atau menganggap kurang penting - nasihat atau kurikulum pasca syahadah yang diberikan kepada saudara baru.

1. Mengiktiraf bakat saudara baru tersebut

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Orang yang terbaik dalam kalangan kamu semasa zaman Jahiliyyah adalah yang terbaik selepas memeluk Islam, dengan syarat mereka mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang benar mengenai Islam." (Bukhari dan Muslim).

Setiap insan mempunyai bakat dan kebolehan yang unik, dan Rasulullah s.a.w. mengakui hakikat ini dan menggalakkan para sahabat sejak detik mereka memeluk Islam. Dua insan hebat dalam sejarah Islam, Khalid ibn al-Walid dan 'Amr ibn al-'As, memeluk Islam pada hari yang sama dan memberikan kelebihan yang besar kepada agama ini. Khalid ialah orang yang membawa tentera Islam menakluk Iraq, Parsi, Armenia dan Syam (Syria dan Lubnan). 'Amr ibn al-'As ialah orang yang menyebarkan Islam di Palestin dan Mesir.




Bayangkan impak besar yang dua orang ini berikan kepada Islam, dan berapa ramai orang diperkenalkan kepada Islam dan kemudian menyumbang kepadanya dan kepada umat manusia. Semua ini dipengaruhi oleh mereka yang baru (dalam perbandingan kepada sahabat yang lain, lewat) memeluk Islam. Amat menarik untuk kita ketahui bahawa kedua-dua mereka menentang Rasulullah s.a.w. dan orang Muslim dengan hebat pada awalnya; kedua-duanya pernah menumpahkan darah Muslim, terutamanya Khalid ibn al-Walid yang merupakan sebab utama kekalahan Muslim dalam peperangan di Uhud. Walaupun begitu, lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. mengalu-alukan kedua-dua mereka ke dalam keluarga Muslim :

- "Ya Allah, dia (Khalid) ialah salah satu pedang-Mu, maka bantulah dia." Sejak itu, Khalid digelar Pedang Allah.

- "Semua orang menjadi Muslim, tetapi 'Amr ibn al-'As menjadi mukmin." (menunjukkan bahawa dia dengan segera mendapat kedudukan yang lebih tinggi berbanding Muslim lain. Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmidzi)

Khalid diberikan hak kepemimpinan tentera Muslim dalam banyak peperangan, tanpa menjadi masalah kepada sahabat yang lebih mengetahui al-Quran daripadanya dan memeluk Islam bertahun-tahun lebih awal daripadanya. Sirah nabi memberitahu kita mengenai sesetengah peperangan di mana Khalid mengambil tindakan yang salah kerana kekurangan pengetahuannya; hal ini tidak menjatuhkan kedudukannya atau tidak menjadikan Rasulullah s.a.w. merendahkan kebolehannya dan sumbangannya kepada umat Islam.

2. Memberikan mereka perhatian istimewa



'Amr ibn al-'As berasa kagum terhadap perhatian khas yang Rasulullah s.a.w. berikan kepadanya. Dia menyangka bahawa dialah sahabat yang paling dikasihi oleh baginda, dan terus bertanya kepada baginda pada suatu hari : "Wahai Rasulullah, siapakah yang paling engkau cintai?" dan baginda menjawab : "Aishah";

- daripada kalangan lelaki?
- bapanya (Abu Bakr)
- Kemudian?
- Umar...

Daripada kata-kata 'Amr : "Selepas itu, Rasulullah menyebut banyak nama, dan hal ini membuatkan aku diam, kerana aku takut baginda akan meletakkan aku di hujung senarainya..." (Al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w. mempunyai kesan lembut ini ke atas semua yang berada di sekelilingnya, terutamanya mereka yang baru memeluk Islam, yang membuatkan 'Amr benar-benar menyangka dialah sahabat yang paling rapat di sisi baginda.

3. Misi dakwah sejak hari pertama

Sesetengah sahabat ditugaskan untuk mengajar Islam sejak hari pertama, dan diberikan kursus dakwah untuk tujuan tersebut. At-Tufail ibn 'Amr ad-Dawsi menerima Islam pada awalnya di Makkah, dan terus kembali ke kabilahnya untuk menyampaikan mesej kebenaran. Dia mempunyai cara yang kasar dalam menyampaikan Islam di mana dia memberitahu orang : "Sama ada kamu mengikut Islam ataupun saya tidak akan bercakap dengan kamu lagi!" Walaupun cara ini tidak berkesan pada tahun 2014 di pinggir bandar Manhattan atau Paris, nampaknya ia berkesan untuk sesetengah ahli kabilahnya dan bukan pada kesemuanya.

Dia kembali kepada Rasulullah s.a.w. (ini ialah perjumpaan keduanya dengan baginda selepas memeluk Islam) dan mengadu mengenai kaumnya. Baginda berdoa untuk kabilah Daws dan memberitahunya : "Kembali kepada kabilahmu, ajak mereka kepada Allah dan berlembutlah dengan mereka." (Ibn Ishaq)





4. Perubahan sikit demi sikit pada akhlak manusia

Ramai orang mungkin menerima idea menyerah diri kepada satu Tuhan, tetapi mereka mempunyai masalah dengan sesetengah perintah (seperti hijab, berpuasa sepanjang Ramadan, dll.). Kabilah Thaqif bersetuju memeluk Islam tetapi mereka memberitahu Rasulullah s.a.w. : "Kami tidak akan melakukan kebajikan, dan kami tidak akan berperang di jalan Allah." Baginda menerimanya, dan memberitahu sahabatnya : "Mereka akan (dengan rela) melakukan kebajikan dan berjihad apabila mereka memeluk Islam." (Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani). Sekali lagi, kita nampak kebijaksanaan baginda dalam mengenal pasti kelemahan manusia dan berurusan dengan mereka berdasarkan hal tersebut.

Sahabat lain mempunyai sesetengah permintaan, seperti bersolat dengan sujud tanpa rukuk (Ibn Rajab, Jami' al-'Ulum Wal-Hikam), dan yang lain meminta kebenaran untuk menunaikan dua solat fardu sahaja dan bukannya lima.

Adalah penting untuk kita lihat bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mengubah ajaran Islam untuk orang seperti mereka; bahkan baginda menganggapnya sebagai peringkat pengenalan yang diberikan kepada orang tertentu dalam perjalanan baru mereka kepada Islam. Pengecualian tersebut tidak diberikan semasa khutbah Jumaat, contohnya, dan tidak diajar dan disebarkan oleh sahabat lain; Semua insiden tersebut dan yang lain mengajar kita bagaimana utusan Rasulullah s.a.w. (iaitu kita) sepatutnya bijak dalam mengajak manusia kepada agama yang hebat ini.

Kadang-kadang dan dalam sesetengah situasi dengan sesetengah orang, meningkatkan kesusahan dan mencabar orang akan memberikan hasil yang terbaik. Dalam situasi lain, kita perlu memahami kelemahan manusia dan memberikan mereka rancangan sikit demi sikit sementara mereka membiasakan diri, sudah tentu tanpa kompromi terhadap asas-asas dan perkara penting dalam agama kita.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'How The Prophet Treated New Muslims' oleh Mohannad Hakeem

Mencari Kawan Yang Betul

'Orang yang menjadi kawan kita melambangkan diri kita'

Saya masih ingat suatu masa dahulu, ibu bapa saya sentiasa menasihati saya dan adik-beradik saya agar berkawan dengan orang yang baik. Bapa saya mempunyai satu kata kegemarannya, "Tunjukkan kepada saya kawan anda dan saya akan beritahu siapa awak."




Saya sentiasa sedar dan berhati-hati dalam memilih orang yang betul untuk mengelilingi diri saya. Dalam Islam, adalah sangat benar dan penting untuk berkawan dengan orang-orang yang baik akhlaknya kerana mereka akan membantu kita untuk tetap di atas jalan yang benar, manakala melakukan sebaliknya boleh membawa diri kita kepada kesesatan.

Ahmad ibn Harb rahimahullah pernah berkata, "Tidak ada sesuatu pun yang lebih bermanfaat bagi hati seseorang Muslim berbanding bergaul dengan orang-orang yang berakhlak dan melihat perbuatan mereka, dan tidak ada sesuatu yang lebih berbahaya kepada hati seseorang Muslim berbanding bergaul dengan pendosa dan melihat perbuatan mereka." Tidak kira siapa anda, atau bagaimana kuat anda rasa ataupun anda tidak suka bergantung pada orang lain, tiada lelaki atau wanita menjadi sebuah pulau, anda tidak boleh melalui kehidupan ini sendiri. Inilah sebabnya Islam menekankan jemaah, ataupun kumpulan. Kata-kata yang menyatakan terdapat kekuatan dalam keramaian dan seekor biri-biri yang dimakan oleh serigala adalah benar.

Maka, kita perlu mengamalkan adab yang betul, kita perlu bersungguh-sungguh untuk tidak melakukan sesuatu atau berkawan dengan seseorang tanpa mengetahui di sana terdapat reda Allah s.w.t. atau tidak, dan tidak mencintai atau membenci kerana sebab duniawi. Kerana Rasulullah s.a.w. pernah berkata, "Barangsiapa mencintai kerana Allah, dan membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan kerana Allah, sudah melengkapkan keimanannya." (Abu Dawud) Jadi, siapa yang patut menjadi teman kita?




Pertama, mereka patut menjadi Muslim yang baik, yang mengimani Allah dan rasul-Nya. Kerana Allah Ta'ala berfirman dalam al-Quran, "Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya, maka mereka akan bersama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu para nabi, orang-orang Siddiqin, dan orang-orang shahid serta orang-orang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman." (Al-Quran, 4:69)

Kedua, berada hampir dengan mereka patut membuatkan kita ingin meningkatkan amalan baik. Allah Ta'ala berfirman, "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Kitab dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka daripada apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan suatu syariat dan jalan agama. Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya." (Al-Quran, 5:48). Dengan merapati orang-orang yang melakukan amalan baik, kita akan berasa ingin bersaing dengan mereka dalam hal ini, dan seterusnya membaiki sifat dan agama antara satu sama lain.




Akhir sekali, namun ia bukan yang kurang penting, teman-teman kita patut membantu kita mengingati Allah Ta'ala. Kerana Allah s.w.t. berfirman : "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan barangsiapa melakukan yang demikian, mereka itulah orang-orang yang rugi." (Al-Quran, 63:9). Dalam masa berhempas-pulas ini, amat mudah untuk kita terperangkap dalam mengejar keduniaan. Inilah sebabnya sangat penting untuk kita dikelilingi orang yang akan menggalakkan kita untuk mengingati Allah s.w.t. pada setiap detik dalam hidup kita.

Kepentingan mengingati Allah diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. : "Perbandingan orang yang mengingati Tuhannya dengan orang yang tidak mengingati Tuhannya ialah makhluk yang hidup dengan makhluk yang mati." (Bukhari)

Jadi, marilah kita mencari orang untuk diluangkan masa bersama. Adakah mereka termasuk dalam kategori di atas? Jika rakan-rakan kita tidak melakukan perkara-perkara ini, maka apakah kewujudan mereka bersama kita katakan mengenai kita? Kita perlu berusaha untuk mencintai mereka yang mencintai Allah Ta'ala, dan membenci mereka yang membenci Allah Ta'ala, dan apa yang telah Dia turunkan sebagai panduan untuk umat manusia. Kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Barangsiapa yang mempunyai tiga perkara akan menemui kemanisan iman, Allah dan rasul-Nya lebih dicintainya daripada semua yang lain; mencintai seseorang kerana Allah; dan membenci kekufuran sebagaimana dia membenci untuk dihumban ke neraka." (Bukhari)

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'Keeping The Right Friends' oleh Sumayyah bint Joan

Friday 10 January 2014

10 Perkara Untuk Dilakukan Dalam Bulan Rabiulawal dan Sepanjang Tahun

Senarai ini diharapkan dapat menjadi panduan mudah kepada perkara-perkara berfaedah yang boleh, dengan bantuan Allah, membaiki kehidupan dan keimanan kita dalam dan luar bulan mulia Rabiulawal. Mari kita memohon keikhlasan dan penerimaan daripada Allah.




1. Membaca dan mendengar al-Quran setiap hari - Salah satu cara untuk mendekati Allah dan rasul-Nya s.a.w. adalah dengan membaca ayat-ayat-Nya. 'A bit a day, keeps the devil at bay'. Malangnya, sebahagian daripada kita langsung tidak menunaikan solat, apatah lagi memikirkan hal al-Quran. Mulakan hari ini! Perbetul bacaan anda, pelajari tajwid. Rasulullah s.a.w. yang dikasihi sangat suka mendengar bacaan al-Quran. Jika anda tidak membacanya, sekurang-kurangnya dengarkannya.

2. Belajar mengenai Nabi Muhammad s.a.w. - Tahukah anda bahawa baginda pernah menghadiri satu kenduri perkahwinan dan tertidur di sana? Bacalah biografi Rasulullah s.a.w. yang dikasihi. Pelajari sifat-sifatnya, akhlaknya, kata-katanya dan perbuatannya. Terdapat banyak hasil penulisan baik yang boleh dibaca atas talian mengenainya.

3. Mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. - Mendengar itu penting. Banyak perkara berubah melalui pendengaran. Kita perlu bertanya kepada diri kita, adakah kita benar-benar mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w.? Hadis-hadis membawa satu jalan kepada nabi kita dan juga jalan kepada dimensi dalaman kita. Memahami diri kita. Cari satu hadis yang seolah-olah berkata-kata dengan anda, teruskan membacanya sehingga ia menembusi anda sehingga anda mengimplementasinya. Saya akan berikan yang pertama, "Syurga terletak di bawah tapak kaki ibu kamu." (Imam Ahmad)




4. Berkongsi Rasulullah s.a.w. dengan umat manusia - Kita sudah menyimpannya dalam diri kita dan pada tasbih kita. Jika anda benar-benar mengasihi baginda, terjemahkan 'kasih tersebut kepada satu bahasa yang boleh didengari oleh orang pekak dan perbuatan yang boleh dilihat oleh orang buta.' (Usama Canon)

5. Tingkatkan selawat dan salam ke atas baginda - Anda patut cuba meningkatkan selawat dan salam sebanyak mungkin. Hal ini ialah satu penghubung sebenar dan penjana kasih sayang. Tidak ada apa-apa dalam hal ini melainkan peningkatan demi peningkatan. Terdapat banyak faedah - Imam Sha'rani menyatakan lebih 40 faedah dalam bukunya, The Gardens of Light Due to the Praising and Greetings upon the Chosen Prophet. Juga, terdapat banyak kompilasi hadis yang menerangkan kelebihan dan kepentingan berselawat. Ia penuh dengan rahsia. Lihat inisiatif 10-juta ini!




6. Hadiri dan anjurkan perkumpulan - Anda boleh lakukan ini dengan keluarga, saudara mara, rakan-rakan, di mana sahaja anda sukai. Jadilah produktif. Cuba libatkan seluruh komuniti. Contohnya, kumpulkan pelbagai komuniti, ataupun kumpulkan jiran-jiran anda. Berikan hadiah antara satu sama lain, dan berbual dengan mereka.




7. Ingat mereka yang kurang bernasib baik - Beri makan kepada gelandangan, jalankan sebuah 'soup kitchen', kumpulkan makanan, derma kepada tempat perlindungan, jadi aktif, berikan bunga mawar, dan jadi kreatif. Lakukan kerana nabi yang tercinta.

8. Pergi ke masjid ataupun pertubuhan setempat dan bantu mereka! - Tanya jika mereka memerlukan sukarelawan, dan tanya mereka apa yang mereka usahakan. Selalunya anda akan mendapati terdapat isu di sekeliling yang anda langsung tidak tahu-menahu mengenainya. Jika anda boleh bantu mereka, bantulah. Jika tidak, cari orang yang boleh menghulurkan bantuan.

9. Berdoa untuk umat Rasulullah s.a.w. yang mana anda merupakan sebahagian daripadanya - Perlukah diterangkan lagi?

10. Berhajat untuk mendekati Allah s.w.t. dan rasul-Nya s.a.w. - Mendekati Rasulullah s.a.w. akan mendekatkan anda dengan Allah. Mendekatkan diri kepada baginda boleh memberikan kita pengampunan.

Semoga Allah s.w.t. memberikan kepada kita taufik dan hidayah.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada artikel 'Ten Things To Do In Rabi' al Awwal and Throughout The Year' oleh Mubashir Anwar

Sunday 5 January 2014

Soalan-soalan Lazim yang Ditanya oleh Bukan Muslim Bahagian 7 : Cara Islam Menyembelih Haiwan Kelihatan Kejam

Soalan : Kenapa Muslim menyembelih haiwan menggunakan cara yang kejam dengan menyeksanya dan membunuhnya dengan perlahan dan penuh kesakitan?

Jawapan :




Cara penyembelihan haiwan dalam Islam, dikenali sebagai zabiha menjadi bahan kritikan bagi ramai orang.

Sebelum saya menjawab soalan ini, biarkan saya kaitkan satu insiden mengenai satu perbincangan antara seorang Sikh dengan seorang Muslim berkenaan penyembelihan haiwan.

Pernah sekali seorang Sikh bertanya seorang Muslim, "Mengapakah kamu menyembelih haiwan dengan penuh kesakitan dengan memotong kerongkong dan bukannya dengan cara kami lakukan dengan satu pukulan, iaitu jhatka?" Kata si Muslim, "Kami berani dan menyerang dari depan. Kami marad ka baccha (lelaki macho), kamu pengecut dan menyerang dari belakang."

Ketepikan jenaka itu, seseorang boleh mengambil kira poin-poin berikut yang membuktikan kaedah zabiha bukan sahaja berperikemanusiaan, malah kaedah yang terbaik dari sudut saintifik :

1. Kaedah penyembelihan haiwan dalam Islam.

Zakkaytum ialah satu kata kerja yang didapati daripada kata dasar zakah (menyucikan). Kata namanya tazkiyah bermaksud penyucian. Cara penyembelihan haiwan dalam Islam perlu memenuhi syarat-syarat berikut :




a. Haiwan mestilah disembelih dengan objek tajam (pisau).

Haiwan haruslah disembelih dengan objek tajam (pisau) dengan cara yang cepat supaya kesakitan semasa penyembelihan dapat dikurangkan.




b. Memotong trakea (saluran udara), kerongkong dan pembuluh darah di leher.

Zabiha merupakan perkataan Arab yang bermaksud 'telah menyembelih'. 'Penyembelihan' perlu dilakukan dengan memotong kerongkong, trakea dan pembuluh darah di leher sehingga menyebabkan kematian haiwan tersebut tanpa memotong saraf tunjang.

c. Darah perlu dialirkan keluar.

Darah perlu dialirkan keluar sepenuhnya sebelum kepala dialihkan. Tujuannya adalah untuk membuang kebanyakan darah yang boleh menjadi medium pembiakan mikro organisma. Saraf tunjang tidak boleh dipotong kerana saraf yang disambung ke jantung akan rosak semasa proses tersebut dan menyebabkan kegagalan jantung, sehingga menakung darah di dalam pembuluh darah.




2. Darah merupakan medium yang baik bagi kuman dan bakteria.

Darah merupakan yang baik bagi kuman, bakteria, toksin dan sebagainya. Maka, cara penyembelihan dalam Islam adalah lebih bersih kerana kebanyakan darah yang mengandungi kuman, bakteria, toksin dan sebagainya, yang merupakan penyebab beberapa penyakit disingkirkan.

3. Daging kekal segar untuk tempoh masa yang lebih panjang.

Daging yang disembelih dengan cara Islamik kekal segar lebih lama kerana kekurangan darah dalam daging tersebut berbanding dengan cara penyembelihan lain.




4. Haiwan tidak merasa sakit.

Pemotongan saluran yang pantas di leher memutuskan hubungan aliran darah ke saraf di otak menyebabkan kesakitan. Maka, haiwan tersebut tidak merasa sakit. Semasa mati, haiwan tersebut menggelupur, bergerak-gerak, bergoyang-goyang dan menendang-nendang bukan kerana kesakitan, tetapi kerana pengecutan dan rehat otot yang kekurangan darah dan juga kerana pengaliran darah keluar daripada badan.

*Artikel diambil dan diterjemahkan daripada buku 'Most Common Questions Asked By Non Muslims' oleh Dr Zakir Naik daripada Islamic Research Foundation

Bulan Rabiulawal

Bulan Rabiulawal dianggap sebagai salah satu bulan yang paling istimewa dan signifikan, kerana umat manusia diberkati dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. kesayangan kita. Berkenaan dengan peristiwa istimewa ini, Allah s.w.t. telah menyatakan dalam al-Quran, "Dan tidak Kami hantarkan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam (manusia, jin dan segala makhluk)." (Al-Quran, 21:107)

Muhammad s.a.w., ketua para nabi dilahirkan di kota Makkah pada pagi Isnin, 8, 9, 10, 11 atau 12 Rabiulawal. Ibn Sa'd melaporkan bahawa ibu Muhammad s.a.w., Aminah mengatakan mengenai kelahiran anaknya, "Apabila beliau dilahirkan, terdapat cahaya yang bersinar daripada faraj saya dan ia menerangi istana-istana di Sham." (Mukhtasar Seerat-ul-Rasool)

Seperti yang dinyatakan di atas, Allah s.w.t. menyatakan di dalam al-Quran : "Dan tidak Kami hantarkan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam (manusia, jin dan segala makhluk)." Rasulullah s.a.w. bukan sahaja sumber pelbagai keberkatan selepas menerima tugas rasul, malah dari waktu kelahiran sehinggalah kematian baginda dan juga sehingga Hari Kiamat ramai manusia mendapat faedah daripada keberkatannya. Contoh yang jelas bagi hal ini adalah apabila Halimah, anak kepada Abu Dhu'ayb yang ditemani suaminya, Harith dan anak mereka sendiri yang baru dilahirkan, ingin berjalan dari sebuah kampung kecil yang terletak di tenggara Makkah ke kota Makkah al-Mukarramah. Perjalanan ini dibuat bagi mencari anak susuan. Beliau meriwayatkan : "Tahun itu merupakan tahun kemarau, dan kami tidak mempunyai apa-apa lagi. Saya berjalan dengan menunggang seekor unta betina saya yang berwarna kelabu, dan kami mempunyai seekor unta betina tua yang langsung tidak boleh mengeluarkan setitik susu pun. Kami berjaga sepanjang malam kerana anak lelaki kami menangis disebabkan kelaparan, kerana saya tidak mempunyai susu yang cukup untuk menyusukannya; dan unta betina tua saya sangat lemah dan sangat kurus. Saya kerap membuatkan orang lain (kabilah Bani Sa'd ibn Bakr) menunggu."




Tatkala semua orang mula mencari anak susuan, ibu Rasulullah s.a.w., Aminah menawarkan anaknya dahulu kepada seseorang dan kemudian orang lain sehinggalah akhirnya, beliau sudah bertanya mereka dan kesemuanya menolak. "Itu," kata Halimah, "adalah kerana kita mengharapkan bayaran daripada bapanya." "Seorang anak yatim," kami berkata, "apakah yang ibu dan datuknya boleh lakukan untuk kami?" Bukanlah mereka inginkan bayaran terus atas perkhidmatan mereka, kerana jika seseorang wanita meminta bayaran untuk penyusuan bayi, perbuatan itu dianggap kurang beradab. Balasan yang mereka harapkan, walaupun bukan secara terus, mempunyai skop yang lebih luas. Contohnya, membina hubungan dan perkenalan dengan orang di bandar.

Di sudut yang lain, walaupun ibu bapa tumpang tidak berharap menjadi kaya, mereka tidak boleh menjadi terlalu miskin, dan hakikatnya jelas bahawa Halimah dan suaminya lebih miskin daripada sahabat-sahabat mereka. Apabila pilihan diberikan antaranya dengan orang lain, orang lain itu lebih disukai dan dipilih; dan masanya tidak lama untuk semua wanita Bani Sa'd mendapatkan bayi sebelum Halimah mendapatkan bayi juga. Hanya ibu susuan yang paling susah gagal mendapatkan anak susuan; dan hanya anak susuan yang paling susah gagal mendapatkan ibu susuan.




"Apabila kami mengambil keputusan untuk meninggalkan Makkah," kata Halimah, "saya memberitahu suami saya : 'Saya tidak suka kembali bersama rakan-rakan saya tanpa mendapat seorang bayi untuk disusukan. Saya akan pergi kepada anak yatim itu dan mengambilnya.' 'Lakukanlah apa yang engkau kehendaki' katanya. 'boleh jadi Tuhan akan merahmati kita melalui bayi itu.' Maka, saya pun pergi dan mengambilnya, tanpa sesuatu sebab melainkan kerana saya tidak dapat mencari bayi selainnya. Saya membawanya kembali ke tempat kenderaan kami ditinggalkan, dan pada saat saya menyusuinya, saya merasakan begitu banyak susu yang mengalir. Dia minum sehingga kenyang, dan anak saya pun minum juga sehingga kenyang. Kemudian, mereka berdua tidur; suami saya pergi ke unta betina tua kami dan alangkah terkejutnya dia kerana mendapati kelenjar susu unta itu penuh. Dia pun memerah susu unta itu dan minum susu tersebut, dan saya minum susu itu sehinggalah kami tidak boleh minum lagi dan kelaparan kami hilang.

Kami melalui malam yang terbaik, dan pada waktu pagi, suami saya berkata kepada saya : "Demi Tuhan, wahai Halimah, itu merupakan makhluk terbaik yang kamu ambil.' 'Inilah harapan saya,' kata saya. Kemudian, kami keluar berjalan, dan saya menunggang unta saya sambil membawa bayi itu. Unta itu mendahului orang lain, dan unta mereka juga tidak mampu menyaingi unta saya. 'Wah!' Mereka berkata kepada saya, 'Tunggu kami! Bukankah itu unta sama yang kamu tunggang semasa datang ke sini?' Ya, demi Tuhan,' saya kata, 'Ini unta yang sama.' 'Sesuatu yang ajaib berlaku kepadanya,' kata mereka.

Kami sampai ke khemah kami di Bani Sa'd, dan saya tidak mengetahui satu tempat di bumi Tuhan yang lebih kering daripada tempat ini. Tetapi selepas kami membawa bayi itu untuk tinggal bersama kami, binatang ternakan saya akan datang dalam keadaan dipenuhi susu. Kami memerah susu binatang tersebut dan minum apabila binatang lain tidak mempunyai susu; jiran kami berkata kepada penggembala mereka 'Pergi bawa binatang kamu meragut rumput di mana dia membawa binatangnya meragut rumput', dengan maksud penggembala saya. Tetapi binatang mereka kembali dalam keadaan masih kelaparan, tidak mempunyai susu, manakala binatang saya kembali dengan kekenyangan dan mempunyai banyak susu; dan kami tidak berhenti menikmati pertambahan dan kurniaan Tuhan ini sehinggalah bayi itu berusia dua tahun."




Semasa zaman pra-Islamiyyah di Tanah Arab, semua orang termasuk orang Rom dan Parsi berada dalam kejahilan dan kegelapan. Mereka adalah antara manusia yang paling tidak bertamadun yang pernah disaksikan oleh dunia. Mereka bukan sahaja melakukan perbuatan yang keji dan jahat seperti penzinaan, sumbang mahram, rogol, mencuri dan pembunuhan, malah perbuatan buruk mereka sampai ke satu tahap di mana mereka mengebumikan anak perempuan hidup-hidup! Allah s.w.t. menyatakan dalam al-Quran, "Dan apabila berita kelahiran anak perempuan dibawa kepada salah seorang daripada mereka, wajahnya menjadi muram dan hatinya dipenuhi kekecewaan! Dia menyembunyikan dirinya daripada orang lain kerana berita buruk yang disampaikan kepadanya. Adakah dia menyimpannya dengan kehinaan atau mengebumikannya? Sungguh buruk apa yang mereka putuskan itu." (Al-Quran, 16:58-59)

Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. dihantar ke alam ini dengan cahaya monoteism, menyingkirkan segala kejahilan dan budaya, ritual, amalan dan kepercayaan yang tidak bertamadun. Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran "Sesungguhnya Allah telah memberikan kurniaan ke atas orang-orang yang beriman apabila Dia mengutuskan seorang nabi (Muhammad) dari kalangan mereka, dengan membacakan ayat-ayat-Nya dan menyucikan mereka dan mengajarkan mereka al-Kitab dan al-Hikmah dan sesungguhnya, mereka sebelum itu  berada dalam kesesatan yang nyata." (Al-Quran, 3:164)

*Artikel dicedok dan diterjemahkan daripada artikel 'Rabiul Awwal'
Back to top ↑
Connect with Us

    Popular Posts

    Pages

    Powered by Blogger.

    Flickr

What they says

© 2013 Hidayah Centre Johor. WP Mythemeshop Converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.